Pages

Thursday, January 26, 2012

Sang penglipurlara

Mendengar sang penglipurlara (penghibur jiwa lara) bercerita, hanya boleh membayangkannya dari buku hikayat. Kehebatan bercerita tidak ubah kehebatan tok dalang menggambarkan cerita menerusi bayang-bayang. Malah lebih hebat daripada tok dalang, kerana gambaran cerita hanya melalui gerak tubuh dan gaya cerita, mampu membuat penonton terbayang bagaikan menyaksikan di depan mata.

Rupanya bila ada insan bertanya tentang Ilmu Falak, diri ini menyedari situasi yang sama, tidak mampu menjadi sang penglipurlara dan tok dalang, lalu pen dan kertas menjadi gambar cerita. Pun tidak sehebat pelukis grafik, namun bila yang menanya mengangguk juga, tentunya gambar dilakar sudah mampu menerangkan cerita.



Kesempatan yang ada, situasi sebenar berjaya dirakam juga, Alhamdulillah. (klik imej untuk saiz penuh)






- Posted using BlogPress from my iPad

Wednesday, January 25, 2012

Rukyah Hilal Rabiul Awal 1433

Alhamdulillah, menunaikan tugas bersama staf Unit Falak UniSZA untuk merukyah hilal, akhirnya diberi peluang untuk menyaksikan, dan seterusnya merakam hilal tersebut. Berikut imej yang berjaya di rakam.



Untuk malam-malam berikutnya, Bulan akan semakin mendekati Planet Zuhrah, dan melepasinya untuk berada semakin ke Timur dari hari ke hari. Bulan bergerak ke Timur? Ya, pada orbitnya mengelilingi Bumi, tetapi tetap dilihat terbit di Timur dan terbenam di Barat kerana putaran Bumi yang lebih laju. Bulan bergerak ke Timur berdasarkan kedudukannya berbanding bintang-bintang dan planet dari hari ke hari. Perhatikan. Anda akan faham.

Thursday, January 19, 2012

Jalan lama

Pagi tadi, melalui jalan lama, jalan kampung tepi pantai untuk sampai ke pejabat, tertarik dengan persekitaran yang sebahagiannya mungkin tidak terusik, sebahagian lagi adalah 'tinggalan', kerana ada satu kawasan tu, ada telaga lama, dan tangga batu. Sisa kekal sebuah rumah. Entah siapa punya. Tetapi tarikan keliling tetap burung dan pepohon. Nikmatilah, jika masih sedap dipandang, 'buah tangan' yang tidak seberapa...

Tiong Gajah/Indian Roller
Coracias benghalensis
Oops.. dah terbang..
Tidak tersentuh... (Klik gambar untuk saiz penuh)
Apa cerita gambar hutan nih? Tidak cantik, tetapi sedang memproses, baru sedar ada burung dalam ni,  Raja Udang/Pekaka - Common Kingfisher (Alcedo atthis). Takpe.. lain kali tunggu, boleh zoom.. huhu

Wednesday, January 18, 2012

Allah...

Memegang kamera, walaupun kamera kita tidak hebat mana berbanding insan lain yang dah ke hadapan, memadailah untuk insan kerdil ini untuk 'cuba cuba', pastu seronok pulak dah... walaupun imej tidak sebaik mana, tapi oklah untuk tatapan sesedap rasa... hehe

Dan, inilah 'breakfast' saya pagi tadi, hanya sekitar pejabat, tidak ku sangka...

Takor Kukup
Lineated Barbet
Perling Mata Merah
Aplonis panayensis/Asian Glossy Starling
Sambar Kuning/Kunyit Besar/Merbah Kunyit
Golden Oriole/Black Naped Oriole
Out focus.. payah juga nak tangkap ketika terbang...
Kerak Nasi
Chestnut-bellied Malkoha


Ini saya tidak tahu namanya.. hehe
Ada sepasang kenyalang/enggang (hornbill) spesis oriental pied, (contoh di bawah - gambar lama, rasanya masih sepasang yang sama kut...) tapi tidak sempat dirakam. Lain kali. Insya Allah.
di luar tingkap jer..
Hebat ciptaan Allah.. baru sikit nih...


Tuesday, January 17, 2012

Renungan 1

Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang semasa di dunia, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di akhirat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Ibnu Hajar berpendapat bahawa maksud hadis ini adalah berusaha menutup keaiban orang lain supaya tidak diketahui orang ramai. Sikap suka mencari keburukan orang lain dan menyebarkannya dengan tujuan buruk adalah perkara dibenci Allah SWT dan haram hukumnya di sisi agama Islam.


Daripada Nafi’ dan Ibnu Umar, Baginda SAW naik mimbar dan menyeru dengan suara yang lantang dalam sabda: “Wahai mereka yang mengaku dirinya beriman, janganlah kamu menyusahkan orang lain, janganlah kamu memalukan mereka serta berusaha mencari keburukan mereka serta menyebarkannya kerana Allah tidak akan melepaskan kamu dan keburukanmu akan terserlah walau di mana kamu berada.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Fokus
  1. Mencari keburukan
  2. Menyebar keburukan
  3. Tujuan
  4. Menutup keaiban/keburukan
 Rumusan:
  1. Tindakan
  2. Niat
 Sekiranya seseorang di depan mata telah melakukan keburukan, maka,

hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim )

Ketidakupayaan untuk melakukan pengubahan langkah pertama dan kedua, atas faktor perlakuan bukan di depan mata, disebabkan jarak lokasi, dan status kedudukan yang menghalang sampainya tindakan dan suara, seperti berita akhbar/internet tentang keburukan seseorang, berdasarkan pedoman di atas,  langkah sepatutnya yang diambil adalah;
  1. Tidak menyebarkannya kepada orang lain yang hanya mendapat tahu keburukan seseorang itu sahaja dan menimbulkan kebencian, tanpa apa-apa faedah yang membawa kepada terhalangnya keburukan itu terus dilakukan oleh pelakunya.
  2. Tidak menyebarkan keburukan itu kepada orang lain dikhuatiri penyebaran itu menjadikan keburukan itu suatu kebanggaan kepada pelakunya.
  3. Tidak menyebarkan keburukan itu kepada orang lain dikhuatiri penyebaran itu menjadikan keburukan itu suatu kehebatan, yang akhirnya mungkin menyebabkan penerima sebaran akan turut melakukan keburukan yang sama (menjadi ikutan).
  4. Langkah mendiamkan (tidak menyebarkan) mungkin lebih baik kesannya kepada umat Islam berbanding menyebarkannya. 
Menyebar, dengan memberitahu (menyampaikan maklumat) tidak sama. Menyampaikan maklumat sepatutnya merujuk kepada tindakan menyampaikan maklumat kepada pihak tertentu yang dianggap boleh berbuat sesuatu bagi memastikan keburukan itu dapat dihalang. Manakala menyebar lebih kepada tindakan memberitahu semua orang tentang pelaku dan keburukannya semata-mata. Menyebar dengan niat supaya keburukan itu tidak menjadi ikutan (teladan buruk) sepatutnya hanya secara umum, iaitu tidak memberitahu siapa pelakunya secara khusus. Langkah itu lebih selamat kepada pelakunya yang mungkin kemudiannya insaf secara diam-diam, tetapi tentunya masih buruk pada mata ramai orang.






Kesimpulannya, berfikir sebelum bertindak.


alfakir memberi noktah.

Monday, January 16, 2012

Sesekali, lihatlah sekitar kita

Kadangkala, terasa sangkakala begitu dekat dengan kita, namun sekejap cuma, selepas itu kita kembali seperti biasa.... ah.. manusia..


Tinggal Nama

Salam.

KUSZA. Sekarang ini agaknya, siapa yang masih ingat nama itu. Kolej Agama Sultan Zainal Abidin. Kemudiannya dieja Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin.



Biarlah orang ingat, lupa atau tidak tahu. Ia cerita lama. Entah ditulis atau tidak sejarahnya, entah direkod atau tidak dalam muzium. Biarlah. Siapalah saya untuk menceritakannya. Namun entry hari ini hanya untuk berkongsi betapa setiap hari saya tersenyum sendiri, dan kenapa memori KUSZA masih tidak hilang dari hati dan diri ini, kerana hampir setiap hari, saya akan melalui jalan ini, satu-satunya jalan yang masih tidak diusik papan tandanya. Lihatlah sendiri, dan beritahu saya, kenapa saya masih tidak boleh melupakan memori ini?

Dan, yang membuat senyum saya semakin lebar... apabila tiba di pejabat..
Kenapa begini? Papan tanda, no komen. Itu JKR. Jangan lepas entry ni terus pi buang.. hehe.. Yang ini pula sebab tanah negeri, dan nama yang digazetkan oleh Majlis Raja-Raja. Itu sahaja.

Thursday, January 12, 2012

Tidak kenal

Semasa membantu kawan menghantar keretanya ke bengkel, ada sepohon pokok di sebelah bengkel tersebut. Bukan sepohon, 3 pohon. Rupa daun seperti gambar di bawah ini. Batangnya pula ditumbuhi seperti akar rerambut sebesar batang mancis, berjurai keluar dari batang dan dahannya.

Mengikis sedikit daun dan rantingnya, keluar getah bagaikan nangka, tetapi akar rerambut berjurai dan bentuk liuk dahan dan ranting tidak seperti nangka atau cempedak.

Apa lagi, tanya tuan dia lah. Katanya, orang yang bagi kat dia cakap itu pokok EPAL......


Nanti time dia berbuah, ada ruang dan peluang, ingatkan saya untuk ziarah.. hehe betul ke tidak? Tuannya pun tidak pasti... sapa boleh tolong?

Tuesday, January 10, 2012

Equinox

Ekuinoks. Pada 20/21 Mac setiap tahun. Detik apabila Matahari berada setentang dengan Khatulistiwa Bumi (Equator), atau berada pada Celestial Equator. Ketika itu, Matahari terbit dan terbenam pada latitud 0°.

Secara 'kasar', siang dan malam adalah sama di seluruh dunia pada hari itu.
Namun, dari pandangan pemerhati di Bumi, sebenarnya siang masih lebih panjang pada hari itu berbanding malam.


Kenapa? Definisi, atau fenomena matahari terbit dan terbenam, merujuk Matahari sebagai cakera, bukan objek satu titik kecil. Matahari terbit (permulaan siang), adalah apabila cakera sebelah atas Matahari mula menyentuh garisan ufuk, manakala Matahari terbenam, yang merupakan akhir siang, adalah apabila cakera matahari terbenam seluruh di ufuk. Saiz cakera Matahari secara purata adalah berdiameter 32' (minit arka), menjadikan separuh cakera adalah 16'. Ini menyebabkan sudut waktu siang (Matahari berada di atas ufuk) ada lebihan 16' pagi dan 16' petang. Atmosfera Bumi pula memainkan peranan yang lebih besar memanjangkan waktu siang, dengan memberikan kesan pembiasan sudut sebanyak 34' lagi kepada posisi Matahari, menyebabkan Matahari masih dilihat berada di atas ufuk, sekalipun tambahan 16' sudut diberikan. Justeru, untuk melihat Matahari terbenam sepenuhnya pada pandangan pemerhati di Bumi, tambahan sudut 34' perlu ditambah kepada nilai 16' sedia ada, menjadikan sudut lebihan siang adalah 50' pagi, dan 50' petang.



Secara 'kasar', setiap 1' arka, bersamaan 4 saat waktu, 16' = 1 minit 4 saat, dan 50' = 3 minit 20 saat. Keseluruhannya adalah 100' = 6 minit 40 saat.


Berdasarkan hitungan 'kasar' di atas, waktu siang ketika ekuinoks, lebih panjang kira-kira 6.5 minit berbanding malam. Kecil kadarnya? Tidak, apabila berkait dengan akhir Subuh dan awal Maghrib.


Semoga bermanfaat.

Monday, January 9, 2012

Next

Sentiasa kebetulan, bila keadaan mengizinkan, Insya Allah, sempat.

agak blur, sini panggil merbah (ngebok).
menggunakan teleskop
lagi sekali, next day
chestnut bellied malkoha, spesis hampir terancam. Orang Teganu panggil 'burung kerak nasi'
Ini peluang yang jarang datang, kebetulan muncul dekat rumah. Apa lagi, shoot!

AlhamdulilLah..

Sunday, January 8, 2012

Rupanya begitu...!

(Kemaskini 2014)
Tulisan berkaitan pagar makan padi adalah berpandukan ulasan DBP dan beberapa blog. Bagaimanapun, penulis berpendirian bahawa budaya sebutan menjadi tulisan, di mana tiada petunjuk bahawa penulisan terdahulu pernah menggunakan harapkan pegar, sebaliknya harapkan pagar. Justeru penggunaan harapkan pagar lebih tepat, kerana ia menggambarkan tidak logiknya (hampir mustahil) orang yang diamanahkan itu pecah amanah. Sebaliknya penggunaan harapkan pegar lebih menunjukkan bahawa tidak bijaknya mereka yang mengharapkan burung menjaga padi.  Justeru penulis menarik balik penulisan berkaitan pegar di bawah. Sekian.

-----

Saat memasuki alam persekolahan, bermacam perasaan melanda diri. Apabila dewasa, perasaan itu masih sebati di lain lokasi, lain situasi. Bekal hidup yang dikirim ibu bapa dan guru, sebenarnya itulah 'makanan penguat' diri ini kini. Jika tidak, kita tidak mengambil bekal itu sebenarnya.. entah terlupa, atau malu membawa bekal. Entahlah.

Ilmu yang diisi di dada ini, kadang kala 'berbeza' atau 'berubah' kala dewasa. Ada disebabkan faktor usia, kerana anak kecil pahamnya berbeza, lalu diisi dengan ilmu sesuai usia, kala dewasa bertambah 'isinya', 'padat' kandungannya, 'elok' kegunaannya. Justeru mereka yang ilmunya masih sama seperti zaman tadikanya, mereka 'masih anak-anak' jiwanya, ilmunya dan sudah barang tentu, kelakuan dan tertibnya.

Berubah itu juga disebabkan ilmu yang ada ketika itu hanya buku sebuah dua, berbeza dewasa dengan buku berjilid banyaknya. Saat itu ketemu jua dengan 'ilmu baharu' yang mungkin lebih baik disebut 'pemurnian ilmu' - istilah sendiri (takut salah istilah.. :-)

Contoh terdekat dalam bahasa - pepatah. DBP juga telah membincangkan ini, jadi ia isu lama, namun entah kenapa tidak sampai ke mata dan telinga ini. Lalu kutanya rakan taulan, pun sama, maklumat tidak meluas juga rupanya. Jadi kutitipkan di ruang ini, untuk perkongsian mereka yang belum terima. Kalau 'udah, takper le..'.

Harapkan pagar, pagar makan padi - biasa dengar kan? cuba dengan ejaan Jawi dahulu, tentunya di eja 'fa' yang dibaca 'pa', 'ga' dan 'ro'. Ejaan fa, ga dan ro ini boleh dibaca 'pagar' juga boleh dibaca 'pegar'. Apa beza pagar dengan pegar? Tengok kamus. Pagar - tidak perlu dijelaskan. Sudah jelas. Pegar - apa dia? Sejenis burung/ayam, burung tatera, Lophura ignita rufa nama saintifiknya. Rupanya?

burung pegar


Malah pernah dijadikan gambar untuk setem Malaysia bernilai 1 ringgit. Tentunya lebih munasabah dibaca - Harapkan pegar, pegar makan padi.

Malah ia dititipkan dalam sebuah seloka lama,


Selasih-selasih merak melayang,
     Burung pegar dalam padi;
Minta kasih abang tak sayang,
     Baru tersedar dalam hati.

Baik. Seterusnya,

melepaskan batuk di tangga - ini pun biasa juga kan? Sekali lagi ejaan Jawi, batuk dieja 'ba', 'alif', 'ta', 'wau' dan 'qof'. Ejaan dahulu mungkin mengabaikan 'alif'. Kerana tiada sebutan 'betuk'. Tanpa alif, tetap dibaca batuk. Isunya, 'batuk' atau 'batok'? Apa itu batuk? Jelas. Batok? Batok bermaksud tempurung. Batok di tangga merujuk tempurung yang dibelah dua, dipasang tangkai (juga dipanggil gelok), diletakkan dalam tempayan di tepi tangga untuk basuh kaki sebelum naik rumah. Ibarat melepaskan batok di tangga - lebih sesuai maksudnya bukan? Pakai campak aje!

batok

Jangan salahkan siapa, cuma tentu masih banyak untuk dikaji dan diutara, untuk pemurnian ilmu di kala dewasa, sebelum senja... ayuh!

Insan fakir memberi noktah.

Fotografi Metod 'Afocal'

Salam.
Tahun baharu.  Jika kita melihat faktor masa, kita sentiasa di masa baharu.  Setiap detik.  Demikian ulangan tahunan yang menambah bilangan tahun, adalah ulangan perkelilingan (orbit) bumi yang disebut tahun tropika, sedangkan bumi dan matahari ketika ini, berada di kedudukan baharu, di orbit matahari mengelilingi pusat galaksi, dan galaksi kita ini juga, berada di posisi baharu dalam pergerakannya... Allah jua yang maha mengetahui.

Fotografi metod 'afocal' adalah metod paling mudah.  Situasinya semasa anda mempunyai kamera kompak, dan anda berada di lokasi di mana sesi cerapan langit menggunakan teleskop sedang diadakan.  Objek langit yang terang seperti bulan dan planet cerah, yang anda boleh lihat menerusi kanta mata (eyepiece), boleh juga anda rakam menggunakan kamera anda, seperti imej di bawah.

Mudah bukan?

Cuma mungkin anda dapati hasilnya kurang memberangsangkan, imej 'blur', kabur disebabkan gegaran dek tangan anda yang 'gementar'.  Justeru, bagaimana untuk mengatasinya?  Tukar DSLR?  Bukan pilihan yang bagus ketika ini, mungkin.

Melalui google'ing', saya ketemu langkah di bawah ini.  Langkah yang saya 'fikir nak buat' tetapi tidak terbuat kerana telah memiliki DSLR.  Tetapi jika saya tidak memiliki DSLR, pasti saya buat.

Diameter kanta mata teleskop kebanyakannya 1.25 inci.  Anda boleh buat anggaran saiz berdasarkan ini. Jadikan ia saiz boleh laras menggunakan skru.  Ukur saiz kamera milik anda untuk memastikan kanta kamera sejajar dengan pusat lubang kanta mata, dengan sudut sesiku 90 darjah.






Selepas ini, jika ada apa-apa acara melibatkan cerapan langit malam, anda boleh bawa bersama 'perkakas' anda ini, untuk merakam imej lebih baik daripada menggunakan tangan 'gementar' anda.  Jika tidak sabar dengan acara yang 'entah bila', mungkin boleh bermula dengan sebuah teleskop murah, untuk melihat bulan.

Selamat mencuba.