Pages

Thursday, August 30, 2012

Penyaksian Melihat Anak Bulan (II)

Salam. (tulisan ini dikemaskini semula pada 2 Sep 2012 kerana ada ralat)

Saya percaya pembaca telah faham tentang bayyinah, syahadah dan qarinah dalam penyaksian seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.

Seterusnya saya cuba hubungkan aspek tersebut dengan Rukyah dan Hisab yang diamalkan di Malaysia. Pihak pertama iaitu pihak berkuasa yang bertanggungjawab (JAKIM) telah menggunakan maklumat pihak ketiga (formula hitungan objek langit yang dihasilkan oleh ahli falak dalam/luar negara yang diterima sebagai jitu dan benar) untuk menyusun Takwim Hijrah. Kaedah yang digunapakai (pada pandangan saya) adalah "suatu bulan hijriyah itu menjadi 29 hari jika Anak Bulan disifatkan wujud apabila hitungan (pre-calculation data) menunjukkan ia boleh dilihat dalam keadaan cuaca baik selepas Matahari terbenam pada hari ke 29. Jika sebaliknya, bulan itu menjadi 30 hari".

Merujuk kaedah di atas, penetapan tersebut mungkin boleh dilihat juga pada aspek bayyinah, syahadah dan qarinah. Memandangkan takwim perlu disusun sebelum suatu tahun itu bermula, maka penyaksian yang boleh digunakan hanyalah bayyinah dengan qarinah sahaja. Menggunakan bayyinah dengan qarinah, dalam hal ini 'maklumat hitungan/hisab' (pre-calculation data), pihak berkuasa menyusun takwim tahunan, sebelum tahun itu bermula.

Apabila takwim tahunan telah disusun, tidak bermaksud pihak berkuasa meninggalkan aspek bayyinah dengan syahadah (rukyah). Setiap bulan pihak bertanggungjawab (dalam hal ini - JAKIM dan Jabatan-Jabatan Mufti Negeri) melakukan rukyah termasuk rukyah rasmi (dengan perisytiharan) untuk memenuhi aspek bayyinah dengan syahadah ini. Apabila tiada khilaf, maka takwim yang telah disusun menggunakan bayyinah dengan qarinah disahkan benar.

Soalan 1: Jika ada khilaf? Jika ada khilaf, salah satu antara rukyah atau hitungan ada silap (error). Jika hitungan dibuktikan benar (banyak cara membuktikan hitungan itu benar dan jitu) maka rukyah yang dilakukan ada silap (kurang ilmu, kurang kemahiran, kondisi peralatan dan sebagainya).

Soalan 2: Syarat kenampakan yang digunakan terlalu minimum. Sukar untuk rukyah seiring dengan hitungan pada keadaan minimum. Bolehkah syarat itu diterima sebagai benar? Atau syahadah boleh membatalkan qarinah ketika itu? Dalam hal ini nampak ada benarnya soalan ini. Jawapannya agak panjang. Begini.

Dalam penentuan awal bulan, ada dua pendapat muktabar. Satu mengharuskan (tidak wajib) ikut kenampakan negeri lain (As-Syafi'iyyah). Satu lagi mewajibkan ikut. Sebelum lebih jauh, suka saya ingatkan bahawa kenampakan itu ada dua - (1) nampak yang benar, dan (2) nampak yang keliru (silap nampak) - dan kedua-duanya boleh dibuktikan secara sains. Baik. Penggunaan syarat minimum Malaysia, digunapakai di paling barat Pulau Langkawi. Jika Malaysia menggunakan kaedah matla', sepatutnya zon rujukan negara perlu lebih ke barat dari Langkawi. Dalam sistem putaran bumi dan orbit, lebih ke barat lebih lambat terbenam Matahari, lebih ke barat lebih besar umur Bulan, lebih ke barat lebih besar peluang nampak Anak Bulan.

Justeru, dalam hal ini, soal syarat minimum di Langkawi, boleh diihtimal (dianggap) sebagai  menggunakan syarat yang lebih tinggi di zon lebih barat dari Langkawi. Jika menganggap Mekah sebagai rujukan, ketika Anak Bulan memenuhi syarat minimum di Langkawi iaitu 2°, ketika Maghrib di Mekah, tinggi Anak Bulan 'boleh' mencapai 4.5°, ketinggian yang membolehkan ia benar boleh dilihat. Jika umurnya 8 jam ketika Maghrib di Langkawi, ia sudah berumur 13 jam ketika Maghrib di Mekah. Berdasarkan ini, penggunaan syarat minimum di Langkawi tidak boleh terus dianggap menyalahi syarak.

Soalan 3: Jika begitu, kenapa Malaysia berbeza dengan Mekah pula? Benar. Bagaimana pula boleh jadi demikian? Disinilah soal bayyinah, syahadah dan qarinah memainkan peranan. Kajian menunjukkan bahawa dalam banyak keadaan, bayyinah dengan syahadah di Arab Saudi telah diterima bulat-bulat dan membatalkan takwim yang disusun lebih awal menggunakan bayyinah dengan qarinah. Sama seperti yang berlaku di Selatan Thai. Berlaku kenampakan, dan diterima persaksian, walaupun ia tidak boleh dibuktikan dari segi sains falak. Tiada masalah dari aspek sah atau tidak puasa dan haji kerana masalah ini adalah masalah ijtihad (rujuk Al-Qardhawi). Merujuk kaedah di atas, Malaysia kelihatan menggunakan semua kaedah yang ada, rukyah untuk bayyinah dengan syahadah, dan hisab (bayyinah dengan qarinah) dalam menyusun takwim dan mengesahkan kenampakan (syahadah).

Soalan 4: Apa buktinya kenampakan yang keliru, atau silap nampak? Perhatikan setiap hari kedudukan Bulan. Anda akan dapati ia berubah kedudukan harian secara seragam, sekitar 13° sehari (24 jam) berbanding kedudukan Matahari. Jika Anak Bulan didakwa nampak petang ini pada ketinggian 5°, petang esok (selepas 24 jam) sepatutnya ia berada pada ketinggian sekitar 18°. Selepas 48 jam, tingginya sudah sekitar 30°. Banyak kes dakwaan kenampakan, selepas 24 jam kenampakan, Bulan berada pada ketinggian kurang 13°. Dari segi sains (pada adatnya) dakwaan kenampakan berlaku ketika Bulan berada di bawah ufuk - suatu yang mustahil menurut sains. Ini belum soal lakaran, bentuk, rupa dll. yang tidak munasabah.

Belajar berilmu.

Yang daif menekan noktah.

Wednesday, August 29, 2012

Penyaksian Melihat Anak Bulan

Salam. (tulisan ini dikemaskini semula pada 2 Sep 2012 kerana ada ralat)

  1. Menurut amalan di Malaysia, penyaksian kenampakan Anak Bulan pada hari rukyah rasmi dilakukan, hanya diterima di lokasi rasmi, dan oleh anggota rasmi. Penyaksian pula hendaklah sekurang-kurangnya dua orang atau tiga orang, bergantung kepada pihak berkuasa. Kenampakan yang tidak memenuhi justifikasi tersebut, masih boleh diterima sebagai rekod kajian pihak berkaitan.
  2. Kaedah penyaksian pula pada pandangan penulis, tidaklah seperti di mahkamah yang melibatkan aspek 'bayyinah', 'syahadah' dan 'qarinah', walaupun sejujurnya penulis mengharapkan begitu, kerana isu awal bulan adalah isu besar. Perkara ini mungkin tidak ketara disebabkan rukyah yang dilakukan (oleh pihak berkuasa sebagai pihak pertama) hari ini masih seiring (muafiq) dengan hitungan hisab (yang dibuat oleh pihak ketiga). Laporan yang tidak seiring hanya wujud dari pihak-pihak atau kumpulan minoriti yang tidak bersetuju dengan dasar sedia ada, dan melakukan rukyah sendiri.
  3. Menggunakan bayyinah, syahadah dan qarinah dalam kaedah penyaksian Anak Bulan mungkin boleh dibuat perbandingan, atau contoh seperti berikut;
    • Bayyinah : Seorang atau lebih, mengemukakan keterangan mengenai Anak Bulan yang dilihat, rupa, bentuk, warna, kedudukan, waktu dan sebagainya.
    • Bayyinah dengan Syahadah : Seorang atau lebih, membuat pengakuan telah menyaksikan Anak Bulan dengan mengemukakan keterangan mengenai Anak Bulan yang dilihat, rupa, bentuk, warna, kedudukan, waktu dan sebagainya.
    • Bayyinah dengan Qarinah : Menurut Hisab qat'ie (hitungan yang diterima sebagai jitu dan benar) Anak Bulan pada waktu tersebut boleh dilihat jika tidak terlindung awan. Keterangan dan lakaran oleh saksi adalah seiring (tidak bersalahan) dengan Hisab qat'ie.
  4. Menggunakan kaedah sama, untuk situasi berbeza;
    • Bayyinah : Seorang atau lebih, mengemukakan keterangan mengenai Anak Bulan yang dilihat, rupa, bentuk, warna, kedudukan, waktu dan sebagainya.
    • Bayyinah dengan Syahadah : Seorang atau lebih, membuat pengakuan telah menyaksikan Anak Bulan  dengan mengemukakan keterangan mengenai Anak Bulan yang dilihat, rupa, bentuk, warna, kedudukan, waktu dan sebagainya.
    • Bayyinah dengan Qarinah : Menurut Hisab qat'ie (hitungan yang diterima sebagai jitu dan benar) Anak Bulan pada waktu tersebut TIDAK BOLEH DILIHAT KERANA BULAN DAN MATAHARI TERBENAM HAMPIR SERENTAK. Keterangan dan lakaran oleh saksi adalah TIDAK SEIRING (bersalahan) dengan Hisab qat'ie. Ini dibuktikan dengan kedudukan Bulan pada hari berikutnya tidak munasabah secara saintifik, jika kedudukan hari sebelumnya (hari didakwa kelihatan) diterima.
  5. Fokus penulisan kali ini adalah untuk menjelaskan kepada pembaca, bahawa aspek sebenar permasalahan yang berlaku hari ini, bukan disebabkan oleh hukum mengenai rukyah, juga bukan kerana kaedah hitungan hisab, juga bukan masalah Ilmu Falak, bahkan masalah sebenar adalah 'kesilapan manusia dalam memastikan apakah yang dilihat itu benar Anak Bulan, atau objek yang dikelirukan sebagai Anak Bulan'.
  6. Jika aspek 'khilaf manusia' ini diterima sebagai masalah utama, maka apakah langkah wajar untuk menanganinya? Sama-samalah kita fikirkan dan zahirkan sebagai tindakan. Insya Allah. Amin.
Belajar berilmu.

Yang daif menekan noktah.

Wednesday, August 22, 2012

Bulan malam 5 Syawal 1433

Bulan pada fasa sabit muda adalah fasa paling indah untuk dirakam. Bentuk kawah lebih jelas dengan jumlah yang besar, berbanding rakaman ketika sabit tua.




Klik imej untuk saiz lebih besar.


- Posted using BlogPress from my iPad

Saturday, August 18, 2012

Rukyah lagi...

Salam.

1. Isu rukyah adalah isu yang tidak akan tamat, melihat kondisi hari ini. Maklumat diperolehi melalui sumber yang berbagai-bagai dengan pelbagai status. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, pastikan ada ilmu tentang sesuatu itu sebelum menilai dan menjatuhkan hukum, atau kita akan menghukum dengan kaifiyat dan dalil yang khilaf.

2. Rukyah (observation) masih dilakukan hingga hari ini adalah langkah yang betul. Sekalipun ada hisab qat'ie yang diakui benar dengan ralat pada kadar melebihi 0.0001 arka saat, ia adalah sumber hitungan yang dihasilkan oleh pihak ketiga (ahli falak, dalam negara/luar negara). Alam semesta adalah berubah dalam skala yang kecil, termasuk Bumi, Bulan dan Matahari. Pembetulan hitungan sentiasa ada seperti penambahan 3 saat kepada waktu dunia sejak 1970 hingga 2012, sebagai 1 contoh.

3. Pihak berkuasa sebagai pihak pertama dalam penentuan tarikh hijriyah, tentunya boleh menggunakan sumber pihak ketiga yang qat'ie. Ini dilakukan dalam penyusunan takwim rasmi tahunan. Manakala tarikh perayaan, ia melibatkan pelbagai aspek yang amat sensitif. Tiada siapa peduli Safar dan Rabiulakhir, tetapi tidak Ramadhan.

4. Pelaksanaan rukyah akan menjaga 2 kepentingan, pertama, dengan merukyah, bermakna pihak berkuasa telah melakukan kajian/pemerhatian sendiri untuk menentukan tarikh. Tindakan ini boleh dianggap sebagai menjaga hukum, dengan melakukan pengesahan terhadap hitungan yang dihasilkan oleh pihak ketiga. Kedua, menjaga kesinambungan ilmu. Meneruskan rukyah bermakna memastikan ada rekod observasi terhadap hitungan awal. Rekod ini berguna untuk hitungan dan observasi akan datang, sebagaimana kita menggunakan rekod observasi puluhan tahun terdahulu sebagai bahan rujukan dan analisis bagi meningkatkan kejituan hitungan masa kini. Ini maksudnya meninggalkan rukyah (observation) adalah tidak bijak untuk jangka panjang.



Fahami tradisi ilmu, atau kita akan kekal sebagai 'end user'. Almarhum Syeikh Tahir pernah menempelak umat Islam tentang ini dalam buku kecil 'Natijatul Umur' (1936) mengenai peristiwa isyarat letup meriam tanda jam 12 di Singapura telah dilewatkan 20 minit oleh British, dan orang Islam masih tidak sedar hampir atau lebih setahun!

Hari ini pun, kita tidak tahu masuknya waktu solat kalau tidak ada jam, masjid, TV atau takwim. Itu belum bab arah kiblat.

Belajar berilmu.

- Posted using BlogPress from my iPad

Friday, August 17, 2012

Tulisan Jawi...

Tulisan Jawi adalah tulisan asal bahasa dan bangsa Melayu. Bangsa Melayu meliputi sebahagian besar Asia Tenggara. Kita lihat Jawi di Vietnam, Kemboja apa lagi di Selatan Thai. Cop mohor William Farquhar (Singapura) dalam surat kepada Sultan Terengganu adalah menggunakan tulisan Jawi. Itu cerita lama.

Kini - orang Melayu ketawakan tulisan Jawi, malah mempersenda, melihat ejaan kitab agama, terutama kitab lama. Merasa pelik. Janggal. Entah apa lagi perasaan yang ada. Malah berfikir tentang 'kepandaian' orang Melayu dulu 'mengeja' dan 'membaca'.

Hakikatnya - perbandingan orang dulu (yang mengaji) membaca Jawi dengan kita, rasanya lebih kurang membandingkan 'orang putih' baca English dengan kita.

Tulisan Jawi dibaca, disebut perkataannya menurut konteks ayat. Bukan atas patah perkataan itu. Tiada beza antara 'puasa' dengan 'puas' pada perkataan, tapi berbeza dan jelas dalam ayat. Demikian hanya Jawi membezakan 'perang' dengan 'perang' dengan adanya huruf 'ya' atau tidak, apabila Rumi kehilangan 'e tanda'.

Rumi lama masih dipengaruhi Jawi. Rumi baharu yang betul-betul 'English style'.

Belajar berilmu.


- Posted using BlogPress from my iPad

Thursday, August 16, 2012

Jangan sesekali lupa

Salam.

Kisah Palestin masih berterusan hingga hari ini. Kisah Rohingya tidak terkecuali. Bak kata seorang wartawan, selepas 30 tahun beliau menulis kisah mereka, mereka masih begitu hari ini.

Mengenai isu berkaitan pencerobohan dan penafian hak ini, Al-Qardhawi (1999) dalam Muhammad Zaidi & Raja Hisyamudin (2008) menyebut;

Perumpamaan orang Yahudi boleh diibaratkan seperti seseorang yang merampas rumah. Orang itu mengusir penghuninya dengan kekuatan dan senjata. Orang yang terusir terus memeranginya, cuba membunuhnya dan dia pun memerangi dan membunuh mereka. Tujuannya berbuat demikian bagi menghalang hasrat orang yang terusir dari mengambil kembali rumah yang dia rampas. Kemudian setelah sekian lama berjalan pengusir berkata kepada tuan rumah asal "mari kita duduk bersama. Saya akan berdamai dengan kamu. Saya akan berikan satu ruangan besar bagi kamu (yang sebenarnya salah satu bahagian dari rumah yang diusir sendiri) - dengan syarat berdamai dengan saya (pengusir)- tidak memerangi saya dan mengganggu ketenteraman saya. Saya akan tinggalkan sebahagian tanah sebagai imbalan perdamaian yang kamu berikan kepada kami (pengusir)".

(Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Ia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu. - Muhammad: 35

Sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan gencatan senjata itu berlaku pemberhentian perang. Namun apakah yang terjadi dengan orang Yahudi itu hanya sebatas gencatan senjata, di mana perang dihentikan dan manusia saling tidak menyerang? Sesungguhnya yang terjadi di antara orang Yahudi dengan Muslimin Palestin bukan hanya sekadar isu pemberhentian perang, tetapi ada sesuatu yang jauh lebih besar dari itu dan jauh lebih berbahaya iaitu pengakuan terhadap orang Yahudi, bahawa bumi yang mereka rampas dengan besi dan api dan mereka yang telah mengusir warga Palestin berjuta-juta orang. Lalu mereka menganggap Haifa, Ramallah, Bi'r Al-Sab'u bahkan Al-Quds sendiri sebagai tanah milik Israel dan pengakuan bahawa negeri Islam yang selama lebih 13 abad berada di tangan orang Muslimin kini menjadi negara Yahudi Israel. Sedangkan mereka tidak menganggap kita memiliki hak untuk itu, bahkan hanya sekadar hak untuk menuntut tanah itu dari tangan mereka. Ini semua bererti bahawa sesuatu yang dirampas dengan senjata dan kekuatan adalah tindakan yang sah secara undang-undang jika perdamaian dilakukan.

Sekalipun kita mungkin (atau memang) tidak mampu untuk pergi lebih jauh, sekurang-kurangnya tidak lupa isu sebenar seperti dibincangkan, supaya suatu hari nanti, kita tidak melakukan kesilapan dengan menjadi orang yang menerima bahawa "sesuatu yang dirampas dengan senjata dan kekuatan adalah tindakan yang sah secara undang-undang jika perdamaian dilakukan".

Allahumma.. berilah kekuatan.

Yang daif menekan noktah.

------------------
Muhammad Zaidi Abdul Rahman & Raja Hisyamudin Raja Sulong (2008). Pengaruh Perubahan Dalam Pembinaan Hukum Siyasah Syar'iyyah. Jurnal Syariah Jilid 16 Bil. 1 (2008). UM









Thursday, August 9, 2012

Lailatulqadar dari aspek sains takwim

بسم الله الرحمن الرحيم

Topik kali ini adalah Lailatulqadar. Sekian banyak Nas mengenainya boleh dirumuskan sebagai merujuk 10 malam terakhir, dengan keutamaan malam-malam ganjil.

Namun, melihat kepada situasi dan penggunaan takwim di seluruh dunia Islam, seluruh dunia boleh dibahagikan kepada dua tarikh berbeza, iaitu ketika satu bahagian memulakan Ramadhan, satu bahagian lagi tentunya menghabiskan 30 Syaaban.

Melihat situasi ini, sudah tentu apabila satu bahagian mula memasuki 10 malam terakhir, tentunya malam ke 20, satu bahagian lagi sedang memasuki malam ke 19. Jika merujuk akhir Ramadhan adalah 29 hari, tentunya pula malam 10 terakhir adalah bermula malam ke 19.

Jika satu bahagian sedang memasuki malam ganjil, sudah tentu satu bahagian lagi memasuki malam genap. Lailatulqadar pula tentunya datang pada satu malam sahaja (betulkan saya jika silap) ke seluruh dunia, bermula dari terbenam Matahari di mana-mana bahagian terpilih, dan tamat selepas selesai pekelilingan bumi, sehingga terbit fajar di lokasi terakhir.

Untuk mendapat Lailatulqadar, sudah tentu Nas bagi 10 malam terakhir yang lebih masyhur paling sesuai diamalkan, bukan amalan terpilih untuk malam-malam ganjil, kerana jika teori di atas boleh diterima, Lailatulqadar boleh datang pada malam genap juga, bergantung kepada penetapan tarikh negara tersebut.

Moga bermanfaat.

Saya yang daif menekan noktah.

- Posted using BlogPress from my iPad

Tuesday, August 7, 2012

Sejarah Mengajar Kita

Salam. Sekadar renungan. Bila menilai sesuatu, nilailah dengan ilmu. Dan pastikan ada ilmu tentang apa yang dinilai. Belajar, kaji sebelum menilai (menghukum).



Bila Raja Saudi memulakan projek Telegraf dan Telefon sekitar 1920an, ini petikan satu research

"This system could give him a chance to communicate with his regional governors and military leaders. But that was not an easy matter to do with Al-Ekhwan and their religious leaders.

The king’s decision brought him to a clashing point with the religious conservative group regarding the essence of this system.
 

The key concept in modern communication technology as we know it, is the capability of carrying human voice and a picture (data) over a distance with or with out a physical connection. This concept was not an easy matter to be understood as a scientific phenomenon for the religious leaders. Their interpretation of it was that it is the work of devil or something with a magic origin." 

- Dr. Hamza A. Bait-Almal (2000). Transfer and Development of Modern communication Technology into Saudi Arabia: A Conservative Model.

Belajar berilmu.