Pages

Tuesday, November 27, 2012

Kursus Penentuan dan Semakan Arah Kiblat

Salam.

Pada 21-24 Nov 2012 yang lalu, berpeluang mengikuti Prof Madya Dr Baharrudin mengendalikan Kursus Penentuan dan Semakan Arah Kiblat anjuran Jabatan Mufti Negeri Pahang di Kuantan.



Kursus dihadiri lebih 60 orang peserta dari pelbagai agensi di negeri Pahang ini mendedahkan peserta kepada pelbagai kaedah menentukan arah kiblat, seperti penggunaan teodolit dan kompas, penggunaan bayang dan perisian di internet (online), termasuk kaedah asas hitungan kiblat menggunakan kalkulator.

Kursus diakhiri dengan sesi amali yang dijalankan di Masjid Tanjung Api, Kuantan. Melalui amali ini, peserta juga didedahkan dengan kelemahan penggunaan kompas di dalam premis yang ketara, di mana penggunaan kompas di beberapa sudut dalam masjid tersebut mendapati arah utara atau arah kiblat yang ditunjukkan oleh kompas tidak sama. Justeru, kompas hanya sesuai digunakan untuk tujuan sementara, seperti dalam musafir, atau anggaran arah peringkat awal sahaja, sebelum diperbetulkan dengan kaedah lain yang lebih jitu.




Arah kiblat kompas (tanda palang) sama dengan arah sebenar dari sudut dalam gambar di atas. Gambar di bawah menunjukkan arah kiblat serong dari posisi lain walau kompas yang sama.



Kesimpulan : Kompas sesuai untuk anggaran arah awal, atau penggunaan sementara ketika musafir dan sebagainya.

Terima kasih kepada Jabatan Mufti Negeri Pahang, Ust Rosli, Zaidi, Ghazali dan lain-lain. Sangat bagus.

- Posted using BlogPress from my iPad

Wednesday, November 7, 2012

Ijtimak, Gerhana Matahari dan Anak Bulan

Salam.

Menjelang awal Muharram 1434 nanti, fenomena gerhana matahari dijangka akan berlaku pada awal pagi waktu Malaysia, sekitar jam 4 pagi. Fenomena ini hanya dapat disaksikan dari lokasi atau negara yang sedang atau masih mengalami siang pada ketika itu, seperti di timur Australia yang dapat menyaksikannya selepas matahari terbit. Sehari sebelum itu, selepas subuh pada 13hb Nov, dari Malaysia, kita akan dapat menyaksikan bulan fasa sabit tua terbit sebelum matahari terbit di ufuk timur. Bulan terbenam sebelum matahari terbenam pada 13hb. Bulan hanya segarisan (bumi, bulan, matahari) pada sekitar jam 6 pagi 14hb, selepas gerhana berlaku. Fenomena segarisan ini dinamakan 'ijtimak' dalam ilmu falak, iaitu detik pertukaran fasa bulan lama dengan bulan baru. Dalam astronomi ia disebut 'new moon' atau 'conjunction'.

Monday, November 5, 2012

KEPENTINGAN PENDIDIKAN ILMU FALAK


KEPENTINGAN PENDIDIKAN ILMU FALAK[1]
Ahmad Taufan bin Abdul Rashid
UniSZA

1.         Pendahuluan

Ilmu Falak menurut Kamus Dewan (Edisi 4) bermaksud ‘kajian saintifik tentang bintang, matahari, bulan dan planet yang terdapat dalam alam semesta. Menurut Kamus Pelajar (Edisi 2), Ilmu Falak adalah ilmu tentang bintang-bintang. Ia bersinonim dengan ‘ilmu bintang’,‘kaji bintang’ dan ‘Astronomi’. Kamus Dewan Edisi 4, Astronomi adalah ‘ilmu falak (pengetahuan tentang bintang-bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan dan perkiraan serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang). Perkataan ‘Falak’ pula dinyatakan sebagai berasal daripada perkataan Arab, bermaksud bulatan langit, lengkung langit, cakerawala. ‘Ilmu’ juga dinyatakan sebagai berasal daripada perkataan Arab, bermaksud pengetahuan, kepandaian, kepakaran, keahlian, kemahiran, kebijakan, kebijaksanaan, kepintaran, pelajaran, pendidikan, seni, sains. Al-Quran menggunakan perkataan ‘falak’ yang ditafsirkan sebagai garis peredaran, atau sebutan kini ‘orbit’. (Tambahan: Bagaimanapun, Ilmu Falak dan Astronomi perlu didefinisi secara berbeza menurut perspektif budaya termasuk agama, apabila tidak semua aplikasi Astronomi itu boleh atau sesuai diaplikasikan dalam Ilmu Falak. Ini menjadikan istilah Ilmu Falak sebagai disiplin ilmu khusus orang Islam, manakala Astronomi lebih umum, merangkumi semua budaya/agama - penulis)

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing (Ya-sin: 40)

Merujuk kepada tidak hanya satu ayat yang menceritakan tentang mekanik alam semesta, terutamanya bulan dan matahari, serta bumi, menunjukkan peri pentingnya sistem alam semesta ini dikaji tabienya sebagai makhluk, yang akan menjurus kepada mengenali ‘khaliq’, iaitu Allah swt.

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar (Fussilat: 53)

Sunday, November 4, 2012

PENETAPAN AWAL BULAN



PENETAPAN AWAL BULAN HIJRIYAH DI MALAYSIA[1]
 Ahmad Taufan bin Abdul Rashid
UniSZA

Pendahuluan

Sistem penyusunan takwim di Malaysia mengalami beberapa pengubahsuaian seiring dengan perkembangan ilmu dan perubahan pentadbiran. Berdasarkan maklumat perbahasan Parlimen Malaysia contohnya, di bawah tajuk Penentuan Puasa dan Hari Raya, cukup untuk menunjukkan bahawa kaedah penetapan tarikh puasa dan hari raya pada suatu ketika turut merujuk kaedah hisab di samping amalan rukyah, dan pada satu ketika lain menggunakan keputusan rukyah sahaja. Manakala bagi penentuan awal Zulhijjah, terdapat dua ‘cerita’, iaitu menggunakan hasil rukyah atau menurut Arab Saudi. Penulisan ini bagaimanapun tidak akan menelusuri sejarah, bahkan menumpu kepada kaedah yang digunapakai di Malaysia masa kini dan isu-isu berkaitan. Bagi mengungkap kaedah dan isu yang berkaitan sistem takwim ini, penulis berpendapat adalah perlu untuk memulakan perbincangan daripada aspek dasar atau asas pembentukan sistem takwim itu sendiri, iaitu Sistem Suria yang kita diami ini.