Sunday, November 10, 2024

Rukyah Hilal Pada Hari Hilal Tiada Kemungkinan Kelihatan

 Penetapan awal bulan Hijriyah bagi penyusunan kalendar adalah berdasarkan hitungan awal bulan yang dengannya diketahui sama ada suatu bulan Hijrah itu 29 hari, atau 30 hari, menurut kriteria kenampakan 'imkanurrukyah' yang digunakan. Berdasarkan kaedah imkanurrukyah Malaysia yang baharu tahun 2021, di mana 1 Rabiulakhir 1446 adalah pada 4 Oktober 2024, maka tarikh 29 Rabiuakhir 1446 adalah pada 1 Nov 2024 yang lalu. Bagaimanapun, hitungan menunjukkan bahawa hilal tidak wujud di atas ufuk pada petang tersebut. Rukyah yang dilakukan di beberapa lokasi di Malaysia juga menunjukkan keputusan yang sama, tiada kenampakan.


Rukyah hari berikut telah dijalankan juga di beberapa lokasi di Malaysia dan beberapa lokasi melaporkan kenampakan sebagaimana dijangkakan.


Perlu difahami bahawa faktor cuaca terutama awan memainkan peranan besar dalam laporan kenampakan. Keberadaan dan jenis awan boleh menurunkan peluang kenampakan dari mudah menjadi sukar. Kenyataan di atas juga mewajarkan tarikh 1 Jamadilawal 1446 jatuh pada 3 Nov 2024 sebagaimana takwim/kalendar.

Seterusnya ini menjadikan 1 Dis 2024 adalah bersamaan 29 Jamadilawal 1446. Pada petang tersebut, lihat rajah kenampakan di bawah.


Sekali lagi data hitungan menunjukkan hilal tidak wujud di atas ufuk selepas matahari terbenam. Bulan terbenam kurang 1 minit selepas matahari terbenam. Berdasarkan data, takwim menunjukkan tarikh 2 Dis 2024 adalah bersamaan 30 Jamadilawal 1446. 



Ragam sifat hilal pada hari 29 sepanjang tahun berubah-ubah. Tidak mesti apabila rukyah pada hari 29 bulan ini, dan bulan kelihatan, lalu rukyah hari 29 bulan depan, bulan "boleh kelihatan juga". Terlalu banyak faktor dan elemen pergerakan bulan, bumi dan matahari yang akan menyebabkan rukyah setiap bulan sangat menarik, dan sangat wajar sentiasa dilakukan, tidak kira data menunjukkan bulan ada di atas ufuk, tiada di atas ufuk, bulan terbenam sama dengan matahari dan sebagainya. 

Ikut sahaja susunan takwim, rukyah adalah pada hari 29, sama ada esoknya 30 atau 1hb, rukyah 'hari berikut' boleh mengesahkan rukyah hari 'sebelum', dan begitulah yang dilakukan oleh ahli-ahli/penggiat falak dan petugas falak di seluruh Malaysia, dan dunia amnya.

Tiada istilah "Rukyah pada hari hilal tiada adalah hari yang salah". Penulis tidak tahu bagaimana susunan dan jumlah hari sebulan takwim jika tiap kali rukyah hari 29 MESTI ada hilal, nampak atau tidak sahaja", kerana setahun Hijriyah MESTI 354 atau 355 hari sahaja.





Tuesday, October 15, 2024

Maghrib, Syuruk, Senja dan Fajar

Foto diambil 12 minit selepas maghrib.

Menurut falak, cahaya senja bermula sebaik matahari terbenam (matahari dalam 1° di bawah ufuk, agak sukar membezakan warna langit detik ini) dan berakhir apabila matahari sekitar 18° di bawah ufuk, ketika langit mencapai kegelapan penuh (tanpa gangguan cahaya bulan, awan, atau lampu bumi).
Falak juga membahagikan senja/syafak kepada 3 bahagian atau peringkat, iaitu, ketika matahari terbenam (ghurub) hingga 6° bawah ufuk (hingga 24 minit selepas ghurub) dinamakan 'syafak awam' (civil twilight) di mana langit masih cukup terang untuk aktiviti tanpa lampu (ada kereta masih belum pasang lampu ketika ini), manakala dari 6° hingga 12° bawah ufuk (24 hingga 48 minit selepas ghurub) dinamakan 'syafak kelautan' (nautical twilight) di mana ufuk laut (kaki langit) masih boleh dilihat terutama untuk navigasi laut.
Bermula matahari 12° hingga 18° bawah ufuk (48 hingga 72 minit selepas ghurub), dinamakan 'syafak astronomi' (astronomical twilight), langit sudah mula gelap, tetapi masih ada sedikit cahaya matahari pada langit yang mungkin mempengaruhi cerapan astronomi. Bermula 18° bawah ufuk, langit sudah betul² gelap ketika normal.
Sayangnya sekarang ini, banyak cahaya buatan yg mempengaruhi kecerahan langit tempatan, termasuk juga formasi awan dan cahaya bulan pada tarikh² tertentu yang menyukarkan kita melihat perubahan ini. Cahaya fajar adalah sama, cuma ia berlaku secara berlawanan dengan keterangan di atas, bermula dari gelap menuju cerah.
Detik paling sukar ialah membezakan kecerahan langit seketika sebelum dan selepas matahari terbenam, juga sebelum dan selepas terbit (syuruk), melainkan kita menyaksikan sendiri pergerakan matahari melepasi ufuk. Cahaya merah pula biasanya lebih jelas kelihatan dengan adanya awan, maka formasi cahaya langit tiap hari tidak sama.


Monday, August 26, 2024

Rabiul Awwal 1446


 29 Safar 1446 bersamaan 3 Sep 2024 di Malaysia. Sekalipun ada negara yang tarikhnya berbeda, ia tidak mengubah hakikat bahawa jika rukyah dilakukan pada 3 Sep, anak bulan hanya boleh kelihatan di zon B dan C (mungkin memerlukan alat optik), juga di zon D (melalui alat optik sahaja) lalu memulakan bulan baru pada 4 Sep. Manakala zon E, F dan A adalah zon tidak mungkin kelihatan dan memulakan bulan baru pada 5 Sep (Safar 30 hari). Bagaimanapun, zon A boleh saja menerima kenampakan zon B sebagai isyarat memulakan bulan Rabiul Awwal 1446 atas dasar lokasi bersebelahan. 

Seperti yang pernah penulis jelaskan, faktor cuaca boleh mengubah kategori zon, contohnya zon hijau B jika agak berawan, akan bertukar menjadi kuning atau biru, malah boleh menjadi merah (tidak kelihatan). Ini antara faktor imkanurrukyah mengenepikan aspek cuaca dalam hitungan dan jangkaan kenampakan.

Sekali lagi dinyatakan, jika ada negara menggunakan 'asalkan bulan di atas ufuk sekalipun tidak boleh kelihatan' sebagai asas (bukan rukyahtul hilal atau imkanurrukyah), maka zon F dan E akan memulakan bulan baru pada 4 Sep juga.

Jika ada soalan: 

1. Dimanakah garis yang memisahkan zon 'boleh nampak' dengan zon 'tidak boleh nampak'? 

Jawapan: Zon C atau D (dengan alat).

2. Dimanakah zon yang mana bulan berada di atas ufuk apabila maghrib, tetapi masih tidak boleh kelihatan kerana terlalu hampir dengan matahari?

Jawapan: Zon E dan F.

Sunday, July 14, 2024

Sekilas pandang awal Safar 1446

Sekilas pandang terhadap awal bulan Safar 1446.

Awal Muharam 1446 adalah pada 7 Julai 2024 (Ada juga yang bermula pada 8 Julai 2024).

Maka 29 Muharam 1446 adalah pada 4 Ogos 2024 (Yang satu lagi tentulah 5 Ogos).

Lihat data pada 4 Ogos;


Kenampakan pada 4 Ogos hanya boleh berlaku di utara Amerika. Boleh dikatakan kebanyakan negara akan memulakan bulan Safar pada 6 Ogos jika menggunakan kaedah 'imkanurrukyah'. Pengguna kaedah 'wujud hilal' (asalkan bulan terbenam selepas matahari terbenam) tentulah akan memulakan bulan Safar pada 5 Ogos.

Lihat data 5 Ogos;


Data 5 Ogos menunjukkan hampir semua negara ada 'imkanurrukyah'. Maka 6 Ogos adalah mula bulan Safar 1446, melainkan jika ada yang merukyah, dan tidak kelihatan, lalu memulakan Safar pada 7 Ogos.

Itulah kesan penggunaan sistem dan kriteria berbeza.

Penyatuan? Sesukar usaha menyatukan mazhab (yang sebenarnya tidak perlu disatukan pun)