Showing posts with label Kiblat. Show all posts
Showing posts with label Kiblat. Show all posts

Sunday, July 19, 2026

Istiwa Matahari di Atas Kaabah: Panduan Arah Kiblat Mudah Dua Kali Setahun

Istiwa Matahari di Atas Kaabah (Istiwa A'zhom): Panduan Arah Kiblat Mudah Dua Kali Setahun

Setiap tahun akan timbul persoalan:

"Sebenarnya istiwa a'zhom berlaku pada 27 Mei atau 28 Mei? pada 15 Julai atau 16 Julai?"

Jawapannya ialah kedua-duanya boleh ditemui dalam pelbagai sumber, bergantung pada kaedah pengiraan, tahun, pembundaran masa, zon waktu, serta model astronomi yang digunakan. Perbezaannya biasanya hanya beberapa minit, menyebabkan ada rujukan menyatakan 15 Julai, manakala yang lain menyatakan 16 Julai bagi waktu Malaysia (juga 27/28 Mei).

Hakikatnya, perbezaan sehari ini hampir tidak memberi kesan kepada kaedah semakan kiblat menggunakan bayang Matahari, selagi pemerhatian dibuat ketika waktu Matahari berada hampir tepat di atas Kaabah.

Apakah perlu ketepatan yang tinggi detik Matahari di atas Kaabah itu hingga menidakkan kaedah am - dua hari saja setahun - 28 Mei 5.16pm dan 16 Julai 5.28pm yang lebih mudah diingat?

Kaedah bayang bergantung kepada arah cahaya Matahari. Di sekitar waktu istiwa a'zhom berlaku, bersamaan selepas jam 5 petang waktu Malaysia - kedudukan Matahari berubah dengan sangat perlahan dari sudut arah. Perbezaan beberapa minit hanya menghasilkan perubahan arah yang amat kecil, jauh lebih kecil daripada ralat yang lazim berlaku ketika membuat garisan bayang menggunakan kayu, pembaris, lantai yang tidak rata, atau kesilapan manusia.

Dalam keadaan sebenar, faktor seperti:

  • kayu tidak benar-benar tegak,

  • hujung bayang yang kabur,

  • permukaan tidak rata,

  • kesilapan melukis garisan,

selalunya memberi ralat yang lebih besar berbanding perbezaan beberapa minit dalam waktu istiwa a'zhom.

Yang lebih penting ialah teknik pemerhatian yang betul, bukannya terlalu bimbang sama ada tarikhnya 15 atau 16 Julai.

Sebenarnya, semakan kiblat tidak terhad kepada dua hari istimewa sahaja.

Terdapat banyak lagi kaedah berasaskan bayang Matahari yang boleh digunakan, antaranya:

  • Kaedah bayang mengikut azimut Matahari pada bila-bila masa (kaedah Sun Compass).
  • Kaedah bayang harian menggunakan tarikh dan masa tertentu yang dikira untuk sesuatu lokasi.
  • Kaedah istiwa tempatan dan pelbagai teknik falak yang berasaskan kedudukan sebenar Matahari.

Ini bermakna semakan arah kiblat boleh dilakukan hampir setiap hari/masa, asalkan kedudukan Matahari diketahui dengan tepat melalui pengiraan falak.

Justeru, dua tarikh istiwa a'zham setiap tahun adalah fenomena istimewa untuk orang awam semak kiblat dengan cara termudah. Dengan pengetahuan ilmu falak, Matahari boleh menjadi "kompas semula jadi" pada bila-bila masa.

"Matahari sentiasa menunjukkan arah. Tambahlah ilmu betullah langkah."

Monday, April 6, 2015

Kaedah Mudah Menentukan Arah Kiblat

Salam.

Pembaca yang budiman,

Untuk ke sekian kali, saya bincangkan semula tajuk Menentukan Arah Kiblat. Setelah mengendali beberapa kursus Arah Kiblat di beberapa negeri, saya cuba permudahkan beberapa kaedah supaya sesuai dengan tahap dan keupayaan orang awam pada aspek kemudahan dan peralatan yang ada pada mereka.

Keutamaan orang awam adalah menentukan Arah Kiblat di premis kediaman mereka sahaja, atau surau persendirian di pejabat, sebagai contoh. Justeru, mereka tidak memerlukan tindakan pihak berkuasa untuk menanda, atau menggunakan alat yang mahal.

Sayangnya, punca masalah kepada kegusaran tentang ketepatan Arah Kiblat adalah penggunaan kompas biasa, atau perisian kompas dalam smartfon. Kompas, adalah alatan magnetik yang mudah menerima kesan atau gangguan magnetik persekitaran. Ini menyebabkan kompas gagal menunjukkan arah yang betul terutama bagi penggunaan "indoor".

Untuk menyemak ketepatan kompas anda, atau untuk menentukan Arah Kiblat tanpa menggunakan kompas, sayugia saya cadangkan satu lagi kaedah yang mudah, sesuai untuk kegunaan awam sahaja. Kaedah ini tidak memerlukan sebarang hitungan dll.

Begini;

1) dapatkan sehelai kertas, atau kadbod. Kertas A4 biasa sudah memadai.
2) pergi ke masjid terdekat dengan kediaman atau lokasi anda pada waktu siang.
3) lihat bayang matahari pada tiang/dinding tegak atau tingkap/pintu masjid tersebut.
4) jajarkan satu sisi kertas dengan Arah Kiblat masjid. Pastikan bayang tiang melalui kertas tersebut. Buat garisan lurus yang mewakili garis bayang. Tandakan sisi kertas yang mewakili Arah Kiblat. Tulis waktu tandaan. Contoh jam 10.00 pagi.
5) sekarang, pada kertas anda, ada satu sisi yang mewakili Arah Kiblat dan satu garisan mewakili arah matahari. Tandakan arah dalam bentuk anak panah.
6) seterusnya, kembali ke lokasi anda. Anda hanya perlu tunggu keesokan hari, pada waktu yang sama, contoh jam 10 pagi, lihat bayang dinding/tiang/tingkap/pintu tegak rumah atau premis anda, dan selarikan garis bayang matahari sama seperti bayang di masjid (jangan terbalik arah). Sisi kertas Arah Kiblat akan selari dengan Arah Kiblat sebenar.
7) jika tandaan mahu dilakukan pada hari yang sama, waktu tandaan di masjid hendaklah sekitar setengah jam hingga sejam selepas Waktu Syuruk tempatan (pagi), atau dua jam hingga satu setengah jam sebelum Maghrib (petang). Kemudian kembali segera ke lokasi anda, buat tandaan arah dengan cara yang sama. Sela masa, atau tempoh antara tandaan di masjid dengan premis anda hendaklah dalam lingkungan setengah jam. Lebih cepat lebih baik.

(Kaedah 7 adalah disebabkan arah posisi matahari tidak banyak berubah dalam tempoh tersebut)

Allahumma. Moga bermanfaat.





Wednesday, November 26, 2014

Azimut Objek Tanda Rujuk Dengan Kaedah Interpolasi Koordinat

Salam.

Penentuan Azimut Objek Tanda Rujuk (T.R) menggunakan Cerapan Matahari (Solar Observation) merupakan kaedah yang penulis pelajari semasa mengikuti kursus Falak suatu ketika dahulu. Kaedah ini juga yang diajar kepada peserta kursus Falak sehingga hari ini. Kaedah ini asalnya merupakan salah satu kaedah Ukur Tanah yang dipermudahkan tatacaranya sesuai dengan objektif amali Falak.

Kaedah Cerapan Matahari dilakukan ketika Matahari masih rendah di ufuk Timur atau Barat sebelah petangnya. Dilakukan sekitar jam 8 - 9 pagi, 5 - 6 petang secara umum. Ia juga terhad kepada faktor 'kelihatan' Matahari untuk dicerap.

Amali Falak tidak memerlukan prosedur ketat sebagaimana kaedah Ukur. Justeru penulis meneliti kaedah penentuan sudut dari aspek matematik dan 'engineering', selain kaedah Ukur yang pelbagai. Setelah melakukan beberapa ujian, penulis merumuskan kaedah interpolasi koordinat boleh diaplikasikan sebagai alternatif kepada kaedah Cerapan Matahari, ketika 'ketiadaan' Matahari, dengan tahap kejituan yang sesuai untuk aplikasi Ilmu Falak seperti Penentuan Arah Kiblat dan Cerapan Hilal. Tahap kejituannya penulis anggap tidak sesuai untuk kerja-kerja Ukur.

Tatacara Kaedah Interpolasi Koordinat


  1. Dapatkan koordinat (latitud/longitud) stesen cerapan dengan sebarang peranti GPS. Untuk kejituan lebih tinggi, gunakan nilai koordinat sehingga perpuluhan saat.
  2. Dapatkan koordinat objek tanda rujuk dengan langkah yang sama. Contoh, jika objek tersebut adalah menara pencawang, seseorang perlu ke menara tersebut untuk mendapatkan koordinatnya menggunakan peranti GPS. ATAU
  3. Gunakan kemudahan peta laman web 'Google Maps' untuk mendapatkan koordinat objek berkenaan, itupun jika objek tersebut boleh dikenalpasti kedudukannya dalam peta. Jika tidak dapat dikenalpasti, anda perlu lakukan langkah (2).
  4. Menggunakan perisian ringkas yang penulis bangunkan sendiri (contoh gambar di bawah), Masukkan koordinat stesen dan tanda rujuk dalam ruang disediakan dan nilai azimut objek tanda rujuk akan diperolehi.
  5. Sekali lagi penulis tegaskan, nilai azimut yang diperolehi melalui kaedah ini tahap kejituannya tidak sebaik kaedah Cerapan Matahari, namun ia memadai dan sesuai untuk aplikasi Ilmu Falak.
  6. Menggunakan nilai tersebut, anda boleh menentukan Arah Kiblat atau membuat Cerapan Hilal menggunakan peralatan seperti Teodolit, atau sebarang instrumen atau kaedah lain yang sesuai.

WalLahu a'alam.


Monday, September 2, 2013

Arah Kiblat

Bismillah. Segala puji bagi Allah swt. Salawat dan Salam ke atas junjungan mulia Muhammad s.a.w.

Allahumma, mohon rahmat dan berkatMu ke atas umat NabiMu seluruh alam.

Pembaca yang budiman.

Penulisan kali ini, merupakan penulisan ke sekian kali bagi membincangkan perkara yang asas dalam urusan harian umat Islam - arah kiblat. Namun seperti biasa, memandangkan secara asasnya perkara ini telah dibincangkan di sini sebelum ini, malah di merata laman dan buku, justeru izinkan saya menulis hanya fokus kepada beberapa permasalahan berbangkit yang belum disentuh dalam penulisan saya sebelum ini. Jika telah ada pada penulisan lainnya, anggaplah ia sebagai peringatan semata-mata untuk manfaat bersama. Penulisan ini terdedah kepada khilaf, dan pandangan pembaca budiman amat dihargai.

Definisi
Arah Kiblat bermaksud arah hadap ke Kiblat. Kiblat pula merujuk Kaabah, dan bagi mereka di luar Mekah, berkiblatkan Masjidil Haram. Ini jelas disebut lebih terperinci dalam kitab-kitab fekah.
gambar hiasan

Syatra (شطر)
Kalimah syatra (شطر) dalam beberapa ayat berkaitan yang dijadikan sandaran hukum berkaitan menghadap ke arah kiblat, menjadi asas kepada perbahasan mengenai tahap kejituan diperlukan syarak bagi ketepatan menghadap arah kiblat. Ini juga telah dibahaskan lebih terperinci oleh para ahlinya.

Melihat maksud شطر dalam bahasa Inggeris, terdapat beberapa maksud, antaranya bisect dan intersect yang mempunyai maksud tersendiri dari aspek ilmu matematik. Intersect bermaksud to divide by crossing over, manakala bisect bermaksud divides into two equal parts. 

Merujuk maksud di atas, arah hadap ke Kiblat boleh diterjemahkan menurut ilmu matematik menjadi satu garisan lurus yang melalui tengah-tengah Masjidil Haram (melalui tengah Kaabah). Maksud ini juga menjadikan menghadap Kaabah (jika di dalam Masjidil Haram) hendaklah ke tengahnya, bukan ke tepi atau sipi.

Bagi mereka yang berada jauh, ulama membahaskan mengenai tahap kejituan yang perlu, dan dipersetujui bahawa mereka berada dalam hukum menghadap secara zhon (ظن) sahaja (iktikad اعتقاد atau i'timad اعتماد) ke arah kaki langit yang diyakini secara zhon sebagai arah ke Kiblat.

Kejituan Arah Hadap Ke Kiblat
Ulama telah memutuskan bahawa terdapat kelonggaran bagi mereka yang jauh, dengan menggunakan hukum zhon ini. Kelonggaran ini menjadikan arah ke kiblat yang tersasar dari arah yang betul secara geometrinya, masih boleh diterima sebagai arah yang betul menurut syarak, selagi ia tidak berubah dari 'arah yakin' menjadi 'arah yang diragui' ketika hendak melakukan ibadat wajib. Hukum berkaitan 'mihrab muktamad' adalah jelas merujuk arah yang diguna ramai tanpa persoalan.

Keperluan Menyemak Arah Kiblat
Menelusuri perbahasan ulama, kita dapati banyak kelonggaran diberikan berkaitan usaha mendapatkan arah kiblat yang betul secara geometri, kerana keutamaan dalam melakukan ibadah adalah arah kiblat yang diyakini secara zhan, sebagai syarat sah solat contohnya. Juga dalam aspek arah kiblat masjid yang ditentukan oleh Sahabat r.a. yang sesetengahnya didapati tidak betul secara geometri, tetap diterima sebagai ijithad yang betul menurut syarak, turut memperjelaskan tentang kelonggaran hukum fekah berkaitan ini. Justeru, keperluan menyemak arah kiblat boleh dibahagikan seperti berikut:-
  1. Arah kiblat masjid sedia ada, yang tidak diragui penduduk tempatan adalah mihrab muktamad yang tidak perlu disemak lagi.
  2. Arah kiblat masjid yang diragui, apabila disemak, hanya diperbetulkan jika mengekalkan arah lama hanya mengaibkan masjid dan pihak pengurusan, menimbulkan kegelisahan penduduk dan sebagainya. Jika tidak, kekalkan ia sebagai arah yang betul menurut syarak, sekalipun tersasar menurut geometri. 
  3. Arah kiblat individu, seperti di rumah atau pejabat (musolla), memadai ditentukan dengan kaedah sesuai yang boleh digunakan ketika itu.
  4. Arah kiblat masjid baharu yang akan dibina, hendaklah ditentukan dengan kaedah terbaik yang boleh digunakan masa kini, supaya ia betul menurut geometri, kerana zaman kini, maklumat begitu mudah diperolehi, kaedah lebih baik dan maju, dan menjadi keaiban kepada banyak pihak jika masjid didapati tersasar secara geometri ketika hendak digunakan.
Kesimpulan
Fahami maksud dalam setiap penetapan hukum oleh para ulama, kerana hikmah hanya lebih difahami mereka, bukan kita. Solat jamaah, memerlukan kerjasama dan penerimaan secara jamaah. Justeru, menjaga maslahat hubungan jamaah lebih penting berbanding ketepatan kiblat secara geometri, yang mungkin membahagikan jamaah kepada dua pihak - satu kekalkan, satu lagi ubah.

والله أعلم بالصواب


Saturday, July 13, 2013

Piring Astro dan Arah Kiblat

Bismillah.

Arah Kiblat adalah arah ke Mekah, secara khususnya, arah ke Kaabah. Dari Malaysia, arahnya adalah pada sekitar bering N 67 W hingga N 70 W, atau azimut 290° hingga 293°. Jika menggunakan kompas dengan penunjuk yang ringkas, ke kanan (Utara) sedikit dari arah Barat sekitar 20°. Maklumat arah Kiblat ini boleh diperolehi menggunakan Kalkulator Falak di alamat www.falak.unisza.edu.my/calc.

Apa kaitan piring Astro dalam tulisan ini? Saya ada terbaca artikel lama (sebenarnya) yang disebar semula. Alhamdulillah atas keperihatinan. Namun, perlukan penjelasan semula jugalah jadinya. Begini.

Satelit komunikasi yang digunakan oleh pihak Astro setahu saya adalah MEASAT (maaf, saya tidak membuat kajian mendalam tentang ini, memadai dengan maklumat asas sahaja untuk teks ini. Maklumat lebih terperinci sila ke teks atau web lain, atau web Astro sendiri). Satelit- satelit yang digunakan kini ada dua jenis orbit, satelit di geostationary orbit yang kekal berada di longitud 91.5° Timur, dan khatulistiwa (latitud) 0°. Satu lagi pula berada di geosynchronous orbit yang berada di longitud yang sama, tetapi tidak kekal di latitud yang sama. Untuk penerima di Bumi (Malaysia), piring penerima dihalakan ke arah satelit yang berada di geostationary orbit untuk menerima siaran berterusan.




Melihat posisi satelit seperti peta di atas, jelas menunjukkan bahawa arah piring tentunya bukan sahaja menghala ke arah barat, bahkan sedikit ke kiri (ke selatan) dari arah barat sebenar. Arahnya juga sedikit berbeza bagi antara satu satu lokasi, seperti Perlis dengan Johor.

Sekitar 90an, hingga awal tahun 2000, kalau tidak silap, ketika itu satelit yang digunakan berada lebih utara dari khatulistiwa, menjadikan arah hadap piring lebih kurang ke arah Langkawi, dan kebanyakannya akan hampir dengan arah Kiblat. Kini, ia tidak lagi begitu. Justeru, piring Astro masih boleh dijadikan rujukan, tetapi dengan memberikan pembetulan arah kiblat sekitar 30°-45° ke kanan dari arah hadap piring tersebut.

Moga bermanfaat. Wallahua'alam.

- Posted using BlogPress from my iPad