Showing posts with label peta hilal. Show all posts
Showing posts with label peta hilal. Show all posts

Tuesday, May 7, 2024

Menjelang Zulkaedah 1445

 Apabila 1 Syawal bersamaan 10 April 2024, maka tarikh 29 Syawal adalah bersamaan 8 Mei 2024. Kita lihat peta kenampakan hilal dunia pada tarikh 8 Mei 2024.


Melihat kepada peta visibiliti, kenampakan hilal hanya bermula dari tanah Arab. Malaysia pula berada dalam zon tiada kenampakan kerana bulan berada terlalu hampir dengan matahari ketika maghrib.


Bagi anda yang ingin melakukan cerapan, dan melihat hilal Zulkaedah 1445, maka tarikhnya adalah pada 9 Mei 2024. Menurut sistem takwim Malaysia, anak bulan tidak wujud pada petang 8 Mei, menjadikan ia wujud pada petang 9 Mei. Walaupun secara teknikal agak besar fasanya pada petang 9 Mei, namun ia tetap dinamakan hilal, kerana ia wujud pada malam pertama bulan Zulkaedah.


Selamat mencerap.



Monday, April 8, 2024

Menjelang Syawal 1445

Hari ini 28 Ramadhan 1445. 

Esok adalah hari rukyah bagi negara yang memulakan Ramadhan pada 12 Mac yang lalu. Bagi yang memulakan pada 11 Mac, hari ini adalah hari rukyah mereka, hari ke 29 bagi mereka.

Kita lihat kenampakan hilal pada maghrib 8 April 2024 bagi seluruh dunia.

Berdasarkan peta di atas, boleh dikatakan setiap maghrib di setiap lokasi, anak bulan pada kategori tidak kelihatan atau tidak boleh dilihat. Ini memungkinkan semua tempat tersebut akan meneruskan puasa keesokan hari, menjadi hari ke 30. Jika tidak, mereka tidak menggunakan kaedah kenampakan sama sekali. Jika ada laporan nampak, laporan itu sebenarnya boleh ditolak dengan merujuk hisab, sebagaimana dinukil dalam kitab fiqh. Lihat rajah kedudukan hilal bagi lokasi Malaysia, bulan telah terbenam lebih awal dan jauh ke bawah ufuk ketika maghrib.

Kita lihat pula peta kenampakan pada 9 April 2024. Ini untuk negara yang hari 29 adalah bersamaan 9 April. 


Peta menunjukkan warna hijau bagi hampir majoriti lokasi di dunia. Hampir semua tempat akan berpeluang nampak hilal jika cuaca baik. Rajah kanan menunjukkan kedudukan hilal ketika maghrib di Malaysia. 

Dalam kaedah fiqh rukyah pada keadaan hilal boleh kelihatan menurut hisab, dua pendapat masyhur ini dipakai oleh sebilangan negara. Pertama, sifat boleh nampak (imkanurrukyah) itu TIDAK BOLEH dipakai untuk memutuskan permulaan puasa dan hariraya. Kedua, sifat boleh nampak (imkanurrukyah) itu BOLEH digunakan untuk menetapkan tarikh puasa dan hariraya. Tidak hairan jika berlaku permulaan tarikh yang berbeza antara negara sekalipun hisab menunjukkan hilal boleh kelihatan.

Walaupun hisab menunjukkan hilal boleh nampak, pemutusan tarikh hari raya tetap tertakluk kepada perisytiharan oleh pihak berkuasa, seperti Malaysia, oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. 

Selamat merukyah kepada semua anggota rukyah, dan 

Selamat Hari Raya Aidilfitri.