Thursday, July 28, 2011

Jangkaan Awal Ramadhan dan Syawal

Salam.

Sekali lagi mudah-mudahan dengan izin Allah swt kita akan lalui bulan Ramadhan yang mulia beberapa hari lagi. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini dapat dilalui dengan lebih baik berbanding tahun lepas. Mohon keampunan dan rahmat Allah swt jua, supaya dipanjang usia melepasi bulan penuh berkat ini.

Sekali lagi, memanjangkan perbincangan sebelum ini, pada topik Bila Matahari Terbenam, mengenai kedudukan bulan dan matahari ketika matahari terbenam, dan aspek kenampakan berkaitan.

Perbincangan ini bukan untuk menyelar mana-mana pihak, tidak juga bertujuan untuk mengubah sesuatu peraturan atau sistem, tetapi lebih merupakan perbincangan asas ilmu yang terdedah kepada sebarang komen dan ulasan, betul dan khilaf. Moga Allah swt memberikan kita rahmat kasih sayangnya supaya perbincangan ini mengarah kepada suatu yang baik, dan menghasilkan suatu yang baik jua.


Tuesday, June 7, 2011

Bila Matahari Terbenam

Salam.

Bila Matahari terbenam pada petang setiap kali rukyah Anak Bulan dilakukan, mereka yang melakukan rukyah pasti sedar bahawa setiap kali itu juga Bulan berada di kiri Matahari, atau di kanan Matahari, atau di atas. Bulan juga boleh terbenam bersama Matahari, lebih awal, atau kemudian daripada Matahari. Keadaan ini boleh dilihat pada perbezaan altitud dan azimut Bulan dengan altitud dan azimut Matahari. Ketika Matahari terbenam, altitud Bulan di atas ufuk menjadi salah satu syarat bagi justifikasi 'boleh nampak atau tidak' Anak Bulan. Sudut elongasi atau jarak lengkuk Bulan-Matahari termasuk dalam syarat ini. Syarat untuk sifat 'boleh nampak' itu adalah apabila altitud Bulan tidak kurang 2 darjah, dan jarak lengkuk tidak kurang 3 darjah.

Satu lagi syarat ialah umur Bulan, dan Malaysia menggunakan umur Bulan ketika Bulan terbenam bagi menentukan syarat tersebut dipenuhi atau tidak, iaitu tidak kurang 8 jam. Kedua-dua syarat ini, (1) altitud dan jarak lengkuk, dan (2) umur, merupakan syarat pilihan, di mana jika salah satu daripada dua syarat dipenuhi, Anak Bulan disabitkan telah wujud, dan bulan baharu boleh dimulakan.

Suatu yang menarik pada kedua-dua syarat ini adalah sifat 'tidak seiring' antara keduanya. Sebabnya dibincang melalui rajah 1 di bawah.



Rajah di atas adalah contoh berdasarkan lokasi Kuala Terengganu di latitud 5 darjah Utara, menjadikan Khatulistiwa Samawi condong 5 darjah. Ekliptik Matahari condong lagi 28 darjah, dan satah orbit Bulan condong lebih 30 darjah. Bagi situasi di atas, sekalipun umur Bulan telah melampaui 8 jam, di mana syarat umur dipenuhi, altitud Bulan ketika Matahari terbenam masih terlalu rendah, dan tidak memenuhi justifikasi 'boleh nampak'. Namun Anak Bulan disabitkan wujud berdasarkan syarat umur telah dipenuhi. Situasi kedua pula seperti rajah 2 di bawah.



Rajah di atas menunjukkan kedudukan Bulan berbanding Matahari pada ketika yang lain. Umur Bulan mungkin telah mencapai 8 jam atau lebih, atau kurang 8 jam, tetapi kedudukan satah orbit seperti situasi di atas menjadikan altitud Bulan memenuhi syarat, sekalipun umur Bulan mungkin kurang 8 jam.

Namun, suatu yang perlu difikir dan selanjutnya dikaji, atau dinilai semula, adalah Bulan pada altitud yang rendah ketika Matahari baru saja terbenam, masih bersifat 'tidak boleh nampak' menurut kajian sains kenampakan Anak Bulan. Ini menyebabkan umur Bulan sekalipun telah memenuhi syarat 8 jam (seperti rajah 1), Anak Bulan masih bersifat 'tidak boleh kelihatan', suatu justifikasi yang penting pada syarak, yang pada hemat saya, memerlukan pertimbangan 'adakah umur 8 jam yang tidak memenuhi sifat boleh nampak itu memenuhi kehendak syarak?' yang menjadi keutamaan. Pertimbangan yang penting supaya justifikasi yang digunakan tidak mengelirukan masyarakat yang nyata semakin hari semakin celik.

Wallahuaalam.

- ATR

Wednesday, May 18, 2011

28 Mei

28 Mei. Apa istimewanya 28 Mei? Dan kenapa 28 Mei? Sejak ia mula disiarkan di akhbar menerusi tulisan Baharrudin Zainal sekitar awal 90an, ia mula rancak sekitar 2005 apabila disiarkan dalam satu slot televisyen. Dengan objektif menentukan arah kiblat, tarikh 28 Mei diwarwarkan sebagai tarikh yang memberi peluang untuk rakyat Malaysia menyemak arah kiblat di premis masing-masing. Tidak kurang juga masjid dan surau yang turut disemak. Hasilnya, ramai yang mula mengetahui arah yang betul, termasuk menemui serongan arah pada sesetengah masjid atau surau. Tulisan saya kali ini, adalah untuk membincangkan beberapa aspek arah kiblat dan pergerakan matahari, fenomena matahari sama arah dengan kiblat dan isu berkaitan.

Bumi mengorbit matahari untuk satu tempoh purata 365.242191 hari dinamakan tahun tropika. Ia sedikit berbeza dengan tahun kalendar, yang memerlukan kitaran lengkap 24 jam sehari, menyebabkan satu tahun tetap menjadi 365 atau 366 hari, dalam jujukan tersusun 4 tahun sekali. Paksi putaran Bumi yang condong kira-kira 23.5 darjah, merupakan punca kenapa Matahari boleh berada di langit Utara, dan di langit Selatan pada ketika yang lain dalam gerakan tahunannya. Pertengahan Jun merupakan tahap paling ke Utara, manakala pertengahan Disember tahap paling ke Selatan. Ini boleh dilihat pada maksud ayat surah Ar-Rahman ayat 17.

Perubahan inilah yang menjadikan arah Matahari terbenam tidak boleh dijadikan panduan arah kiblat secara langsung, kecuali kita mengetahui selisih atau beza sudut arah Matahari dengan arah kiblat sebenar.

28 Mei adalah tarikh bila penduduk Mekah melihat Matahari terbit, dan ketika Zohor di sana, iaitu detik rembang (istiwa), Matahari berada betul-betul di atas kepala (titik ghayah/zenit). Pada detik yang sama, iaitu selepas Asar bagi penduduk Malaysia, yang mendahului 5 jam, masih dapat mellihat Matahari yang berada betul-betul di atas kepala penduduk Mekah, dengan kata lain, berada betul-betul di atas Kaabah. Justeru Matahari menjadi penunjuk terbaik ketika itu di mana arah sebenar Kaabah. Detik tersebut telah dihitung sebagai jam 5.16 petang waktu Malaysia pada 28 Mei. Kaabah yang hanya ditentukan arahnya secara zhan, menjadi seperti 'ain' ketika itu.

Jam 5.16 petang hanya hitungan tepat detik istiwa di sana, namun kedudukan matahari antara jam 5 hingga 6 petang tidak banyak berubah, justeru cepatan atau lewat beberapa minit tidak memberikan kesan yang besar kepada arah kiblat. Menarik bukan?

Sebaran maklumat berkaitan semakan arah kiblat, tidak membawa maksud arah kiblat yang telah ditandakan sebelum ini perlu disemak semula. Maksud sebenar kepada sebaran berkaitan (termasuk yang ini) adalah bagi menentusah arah kiblat bagi yang belum melakukannya. Ini termasuk arah yang ditentukan dengan kaedah lain, yang mungkin kurang jitu seperti penggunaan kompas (kompas kurang jitu - kesan magnetik), atau agak-agak berdasarkan kedudukan masjid terdekat.

28 Mei adalah detik Matahari bergerak ke langit Utara. Peristiwa yang sama akan berlaku lagi pada 16 Julai, jam 5.28 petang ketika Matahari bergerak ke langit Selatan. Pada tahun lompat, awalkan satu hari. Itu hitungan jitunya. Tidak mengapa jika kekal tarikh yang sama. Kaedah yang murah, mudah dan jitu, hanya dua kali setahun. Terlepas? Ada kaedah lain. Jom belajar!

- ATR

Monday, May 16, 2011

Untukmu guru

Guru
Insan berilmu
Melakar kisah luhur
Anak anak melangkah umur
Di batas waktu di tangga usia
Berlari mengejar mimpi dunia
Mengingat bekal di hujung nyawa
Memori yang menyesak dada
Memori yang memecah tawa
Terpahat dalam diri manusia
Yang pernah turut serta merasa
Seronoknya ketawa gurau senda
Seksanya menahan rasa terdenda
Masih berbekas hingga dewasa
Aku tidak boleh lupa rupanya
Pohon temesu tegak dan sasa
Bas merah bertingkap kayu sekali sekala
Aspura yang sebuah cuma
Guru yang hebat-hebat belaka
Dominasi sejarah hidupku sebagai manusia

Allah.. Di usia begini
Terima kasihku tidak terhingga
Maaf juga boleh kukata
Untuk guru yang besar jasa
Walau habis untaian kata
Tidak terkikis di dalam kepala

Allah.. Rupanya di mamah usia
Berpisah waktu berpisah masa
Banyak berubah rupa wataknya
Selisih tidak bertegur sapa

Allah.. Ampunilah hamba yang alpa





- ATR