Tuesday, January 10, 2012

Equinox

Ekuinoks. Pada 20/21 Mac setiap tahun. Detik apabila Matahari berada setentang dengan Khatulistiwa Bumi (Equator), atau berada pada Celestial Equator. Ketika itu, Matahari terbit dan terbenam pada latitud 0°.

Secara 'kasar', siang dan malam adalah sama di seluruh dunia pada hari itu.
Namun, dari pandangan pemerhati di Bumi, sebenarnya siang masih lebih panjang pada hari itu berbanding malam.


Kenapa? Definisi, atau fenomena matahari terbit dan terbenam, merujuk Matahari sebagai cakera, bukan objek satu titik kecil. Matahari terbit (permulaan siang), adalah apabila cakera sebelah atas Matahari mula menyentuh garisan ufuk, manakala Matahari terbenam, yang merupakan akhir siang, adalah apabila cakera matahari terbenam seluruh di ufuk. Saiz cakera Matahari secara purata adalah berdiameter 32' (minit arka), menjadikan separuh cakera adalah 16'. Ini menyebabkan sudut waktu siang (Matahari berada di atas ufuk) ada lebihan 16' pagi dan 16' petang. Atmosfera Bumi pula memainkan peranan yang lebih besar memanjangkan waktu siang, dengan memberikan kesan pembiasan sudut sebanyak 34' lagi kepada posisi Matahari, menyebabkan Matahari masih dilihat berada di atas ufuk, sekalipun tambahan 16' sudut diberikan. Justeru, untuk melihat Matahari terbenam sepenuhnya pada pandangan pemerhati di Bumi, tambahan sudut 34' perlu ditambah kepada nilai 16' sedia ada, menjadikan sudut lebihan siang adalah 50' pagi, dan 50' petang.



Secara 'kasar', setiap 1' arka, bersamaan 4 saat waktu, 16' = 1 minit 4 saat, dan 50' = 3 minit 20 saat. Keseluruhannya adalah 100' = 6 minit 40 saat.


Berdasarkan hitungan 'kasar' di atas, waktu siang ketika ekuinoks, lebih panjang kira-kira 6.5 minit berbanding malam. Kecil kadarnya? Tidak, apabila berkait dengan akhir Subuh dan awal Maghrib.


Semoga bermanfaat.

Monday, January 9, 2012

Next

Sentiasa kebetulan, bila keadaan mengizinkan, Insya Allah, sempat.

agak blur, sini panggil merbah (ngebok).
menggunakan teleskop
lagi sekali, next day
chestnut bellied malkoha, spesis hampir terancam. Orang Teganu panggil 'burung kerak nasi'
Ini peluang yang jarang datang, kebetulan muncul dekat rumah. Apa lagi, shoot!

AlhamdulilLah..

Sunday, January 8, 2012

Rupanya begitu...!

(Kemaskini 2014)
Tulisan berkaitan pagar makan padi adalah berpandukan ulasan DBP dan beberapa blog. Bagaimanapun, penulis berpendirian bahawa budaya sebutan menjadi tulisan, di mana tiada petunjuk bahawa penulisan terdahulu pernah menggunakan harapkan pegar, sebaliknya harapkan pagar. Justeru penggunaan harapkan pagar lebih tepat, kerana ia menggambarkan tidak logiknya (hampir mustahil) orang yang diamanahkan itu pecah amanah. Sebaliknya penggunaan harapkan pegar lebih menunjukkan bahawa tidak bijaknya mereka yang mengharapkan burung menjaga padi.  Justeru penulis menarik balik penulisan berkaitan pegar di bawah. Sekian.

-----

Saat memasuki alam persekolahan, bermacam perasaan melanda diri. Apabila dewasa, perasaan itu masih sebati di lain lokasi, lain situasi. Bekal hidup yang dikirim ibu bapa dan guru, sebenarnya itulah 'makanan penguat' diri ini kini. Jika tidak, kita tidak mengambil bekal itu sebenarnya.. entah terlupa, atau malu membawa bekal. Entahlah.

Ilmu yang diisi di dada ini, kadang kala 'berbeza' atau 'berubah' kala dewasa. Ada disebabkan faktor usia, kerana anak kecil pahamnya berbeza, lalu diisi dengan ilmu sesuai usia, kala dewasa bertambah 'isinya', 'padat' kandungannya, 'elok' kegunaannya. Justeru mereka yang ilmunya masih sama seperti zaman tadikanya, mereka 'masih anak-anak' jiwanya, ilmunya dan sudah barang tentu, kelakuan dan tertibnya.

Berubah itu juga disebabkan ilmu yang ada ketika itu hanya buku sebuah dua, berbeza dewasa dengan buku berjilid banyaknya. Saat itu ketemu jua dengan 'ilmu baharu' yang mungkin lebih baik disebut 'pemurnian ilmu' - istilah sendiri (takut salah istilah.. :-)

Contoh terdekat dalam bahasa - pepatah. DBP juga telah membincangkan ini, jadi ia isu lama, namun entah kenapa tidak sampai ke mata dan telinga ini. Lalu kutanya rakan taulan, pun sama, maklumat tidak meluas juga rupanya. Jadi kutitipkan di ruang ini, untuk perkongsian mereka yang belum terima. Kalau 'udah, takper le..'.

Harapkan pagar, pagar makan padi - biasa dengar kan? cuba dengan ejaan Jawi dahulu, tentunya di eja 'fa' yang dibaca 'pa', 'ga' dan 'ro'. Ejaan fa, ga dan ro ini boleh dibaca 'pagar' juga boleh dibaca 'pegar'. Apa beza pagar dengan pegar? Tengok kamus. Pagar - tidak perlu dijelaskan. Sudah jelas. Pegar - apa dia? Sejenis burung/ayam, burung tatera, Lophura ignita rufa nama saintifiknya. Rupanya?

burung pegar


Malah pernah dijadikan gambar untuk setem Malaysia bernilai 1 ringgit. Tentunya lebih munasabah dibaca - Harapkan pegar, pegar makan padi.

Malah ia dititipkan dalam sebuah seloka lama,


Selasih-selasih merak melayang,
     Burung pegar dalam padi;
Minta kasih abang tak sayang,
     Baru tersedar dalam hati.

Baik. Seterusnya,

melepaskan batuk di tangga - ini pun biasa juga kan? Sekali lagi ejaan Jawi, batuk dieja 'ba', 'alif', 'ta', 'wau' dan 'qof'. Ejaan dahulu mungkin mengabaikan 'alif'. Kerana tiada sebutan 'betuk'. Tanpa alif, tetap dibaca batuk. Isunya, 'batuk' atau 'batok'? Apa itu batuk? Jelas. Batok? Batok bermaksud tempurung. Batok di tangga merujuk tempurung yang dibelah dua, dipasang tangkai (juga dipanggil gelok), diletakkan dalam tempayan di tepi tangga untuk basuh kaki sebelum naik rumah. Ibarat melepaskan batok di tangga - lebih sesuai maksudnya bukan? Pakai campak aje!

batok

Jangan salahkan siapa, cuma tentu masih banyak untuk dikaji dan diutara, untuk pemurnian ilmu di kala dewasa, sebelum senja... ayuh!

Insan fakir memberi noktah.

Fotografi Metod 'Afocal'

Salam.
Tahun baharu.  Jika kita melihat faktor masa, kita sentiasa di masa baharu.  Setiap detik.  Demikian ulangan tahunan yang menambah bilangan tahun, adalah ulangan perkelilingan (orbit) bumi yang disebut tahun tropika, sedangkan bumi dan matahari ketika ini, berada di kedudukan baharu, di orbit matahari mengelilingi pusat galaksi, dan galaksi kita ini juga, berada di posisi baharu dalam pergerakannya... Allah jua yang maha mengetahui.

Fotografi metod 'afocal' adalah metod paling mudah.  Situasinya semasa anda mempunyai kamera kompak, dan anda berada di lokasi di mana sesi cerapan langit menggunakan teleskop sedang diadakan.  Objek langit yang terang seperti bulan dan planet cerah, yang anda boleh lihat menerusi kanta mata (eyepiece), boleh juga anda rakam menggunakan kamera anda, seperti imej di bawah.

Mudah bukan?

Cuma mungkin anda dapati hasilnya kurang memberangsangkan, imej 'blur', kabur disebabkan gegaran dek tangan anda yang 'gementar'.  Justeru, bagaimana untuk mengatasinya?  Tukar DSLR?  Bukan pilihan yang bagus ketika ini, mungkin.

Melalui google'ing', saya ketemu langkah di bawah ini.  Langkah yang saya 'fikir nak buat' tetapi tidak terbuat kerana telah memiliki DSLR.  Tetapi jika saya tidak memiliki DSLR, pasti saya buat.

Diameter kanta mata teleskop kebanyakannya 1.25 inci.  Anda boleh buat anggaran saiz berdasarkan ini. Jadikan ia saiz boleh laras menggunakan skru.  Ukur saiz kamera milik anda untuk memastikan kanta kamera sejajar dengan pusat lubang kanta mata, dengan sudut sesiku 90 darjah.






Selepas ini, jika ada apa-apa acara melibatkan cerapan langit malam, anda boleh bawa bersama 'perkakas' anda ini, untuk merakam imej lebih baik daripada menggunakan tangan 'gementar' anda.  Jika tidak sabar dengan acara yang 'entah bila', mungkin boleh bermula dengan sebuah teleskop murah, untuk melihat bulan.

Selamat mencuba.