Wednesday, February 13, 2013

Bilakah waktu Asar?

Bismillah.

Topik kali ini, bilakah masuknya waktu asar. Walaupun telah ada penerangan berkaitan ini dalam titipan sebelum ini, titipan kali ini adalah fokus hanya kepada waktu asar.

Umum mengetahui bahawa kaedah atau tanda masuknya waktu asar adalah "apabila bayang sesuatu sama panjang dengannya". Kaedah ini adalah berdasarkan zahir Hadis Nabi s.a.w. Namun ia diperincikan oleh ulama secara teknikal di dalam kitab mereka melalui kenyataan tambahan "tidak termasuk panjang bayang waktu tengahari" (غیر ظل استواء). Tetapi keterangan tambahan ini tiada dalam kebanyakan teks edaran awam, mungkin untuk memudahkan pemahaman (andaian saya), namun memberi kesan besar kemudian.



Beberapa ayat Alquran menunjukkan bahawa matahari berubah kedudukan di langit utara dan selatan, dikaitkan dengan musim panas dan musim sejuk. Perubahan kedudukan di langit utara dan langit selatan ini sudah cukup memberi petunjuk mengapa ayat "tidak termasuk panjang bayang waktu tengahari" diutarakan dalam kitab muktabar. Menghairankan kenapa ia tidak disebut dalam teks sekolah, mahupun poster pendidikan seperti contoh di atas?

Menarik sekali apabila Allah swt melalui Alquran mengarahkan solat dilakukan, menyebutnya bermula dengan zohor, apabila waktu asar sebenarnya ditentukan dengan menggunakan maklumat ketika zohor (tengahari). Panjang bayang diukur setelah ditolak panjang bayang waktu tengahari. Itu kaedahnya.

Dengan keadaan matahari berubah kedudukan, panjang bayang waktu tengahari akan berubah. Apa lagi negara hampir kutub, yang menyaksikan panjang bayang objek waktu tengahari sudah melebihi panjang objek, lalu bilakah masuknya asar? Sila maklum bahawa bayang terpendek harian adalah ketika tengahari.

Belajar berilmu.

والله اعلم

Friday, February 8, 2013

Ingin Melihat Hilal? (Bhg. 2)

(samb. Bhg. 1)

Perisian

Perisian yang sesuai, ialah perisian yang telah diuji kejituannya, sebenarnya. Bagaimana pun, boleh saya titipkan beberapa perisian yang pernah dan sedang saya gunakan. Perisian percuma boleh diperolehi di stellarium.org yang menyediakan perisian percuma untuk pengguna Windows, Mac dan Linux. Menarik bukan? Stellarium adalah perisian jenis simulasi planetari, memaparkan rajah posisi objek langit dalam bentuk 3D, berasaskan pandangan mata seorang pencerap. Pilih masa yang anda kehendaki, dan anda boleh lihat posisi objek langit yang berkenaan.

Thursday, January 31, 2013

Ingin Melihat Hilal? (Bhg. 1)

Salam.

Titipan kali ini saya berikan tajuk "Ingin melihat hilal?", dengan tujuan menerangkan serba sedikit langkah-langkah yang biasa dilakukan oleh seorang ahli falak, sebelum, semasa dan selepas aktiviti melihat (merukyah) hilal (anak bulan) dilakukan. Aktiviti melihat hilal termasuk juga aktiviti melihat bulan sabit tua, iaitu aktiviti yang dilakukan sebelum matahari terbit pada hari ijtimak (conjunction), atau sehari sebelum ijtimak berlaku. Aktiviti melihat bulan sabit tua menjadi penting disebabkan faktor berikut:-
  1. Hilal hanya ada 12 kali setahun. Disebabkan sifat bulan sabit tua yang seakan-akan sifat hilal, menjadikan peluang melihat 'hilal' adalah 24 kali setahun. 
  2. Bulan sabit tua tidak boleh kelihatan pada hari yang sama dengan hilal. Kenampakan bulan sabit tua menjadi indikasi kepada kenampakan hilal.
  3. Cuaca pagi dan cuaca petang adalah berbeza. Peluang kenampakan antara keduanya juga berbeza.

Salawat dan Salam

Bismillah.

Salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya.

Seawal ingatan yang ada terhadap Nabi s.a.w. adalah disaat awal persekolahan. Saya tidak bermula dengan tadika. Tidak kenal pun, masa itulah. Maklumlah, membesar di kampung yang mula mendapat kemudahan elektrik semasa berumur 9 tahun. Masih ingat bersama beberapa warga kampung, termasuklah emak dan abah, serta adik beradik ke 'tanjung', istilah kawasan tiada penduduk di seberang sungai, mengumpul kayu api. Paling awal ingatan yang ada adalah ketika kelahiran adik bongsu, saya berusia 3 tahun berada di ribaan seseorang, waktu malam yang disinari cahaya pelita. Ketika itu kelahiran menggunakan khidmat bidan (nenek saudara) kampung. Adik selamat dilahirkan di rumah.