Tuesday, March 17, 2026

Kriteria Imkanurrukyah, Rukyah dan Hisab

Perbincangan tentang awal bulan Hijri di Malaysia sering bercampur antara dua perkara yang sebenarnya sedikit berbeza: 

  1. Penyusunan takwim tahunan
  2. Pengisytiharan rasmi awal bulan bagi bulan Ramadan, Syawal & Zulhijjah

Ramai menyangka semua bulan ditentukan dengan cara yang sama, sedangkan dalam amalan, ada dua pendekatan yang saling berkait.

1. Penyusunan Takwim Tahunan

Untuk menyediakan takwim Hijri bagi setahun lebih awal, kaedah yang digunakan ialah kriteria imkanur rukyah (KIR).

Kriteria Imkanur Rukyah 

KIR ini menilai sama ada anak bulan berpotensi kelihatan atau tidak berdasarkan parameter astronomi seperti:

  1. Altitud bulan ketika matahari terbenam
  2. Elongasi bulan-matahari
  3. Umur bulan
  4. Parameter geometri lain

Di rantau MABIMS, kriteria yang digunakan sekarang (KIR 2016) ialah ketika matahari terbenam (telah terbenam):

  1. Altitud bulan ≥ 3° DAN
  2. Elongasi bulan-matahari ≥ 6.4°
menjadi penentu suatu bulan itu 29 hari atau 30 hari.

Semasa menyusun takwim tahunan, jika pada hari ke-29 bulan Hijri kedudukan bulan melepasi kriteria ini, maka tarikh keesokannya akan menjadi 1 hb bulan berikutnya.

Jika tidak, bulan digenapkan menjadi 30 hari.

Perlu difahami bahawa pada peringkat ini ia adalah penyusunan kalender berdasarkan KIR supaya urusan pentadbiran, perancangan dan jadual rasmi boleh dibuat lebih awal. Namun, KIR juga mengalami proses penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan perubahan tarikh bulan baharu setiap bulan adalah menepati maksud rukyah (selari) dan ini dibuktikan dengan laporan aktiviti rukyah yang dilakukan setiap bulan oleh pihak bertanggungjawab, agensi, persatuan dan individu penggiat falak. Menjelang bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah pula, tarikh sebenar adalah tertakluk kepada perisytiharan rasmi kerajaan yang menetapkan kaedah 'Rukyah dan Hisab' sejak dahulu.

2. Penentuan Awal Bulan Perayaan

Bagi bulan penting seperti:

  • Ramadan
  • Syawal
  • Zulhijjah

Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab.

Prosesnya berlaku begini:

1. Hisab digunakan untuk mengetahui kedudukan bulan pada petang 29 haribulan Syaaban iaitu menurut takwim tahunan yang disusun menggunakan KIR.

2. Rukyah dilakukan di lokasi cerapan rasmi di seluruh negara setiap 29 Syaaban, 29 Ramadan dan 29 Zulkaedah.

3. Jika hilal berjaya dilihat dan disahkan, maka malam itu bermulalah bulan baru (Ramadan/Syawal/Zulhijjah).

4. Jika tidak kelihatan, maka bulan digenapkan menjadi 30 hari.

Dalam proses ini, hisab berfungsi sebagai panduan, manakala rukyah menjadi pengesahan praktikal di lapangan.

Apabila KIR dilaksanakan sepenuhnya dahulu, beberapa perubahan berlaku berkaitan tidak kelihatan anak bulan ketika rukyah, diputuskan menjadi 30 hari atau ikut hitungan hisab (KIR), sehingga akhirnya kaedah kembali kepada KIR digunakan. Antara penyebabnya adalah seperti contoh kronologi berikut;


Keadaan / Peristiwa

KIR

Rukyah

Catatan

Rukyah Syaaban

29 Syaaban

29 Syaaban

Hari rukyah hilal, tidak kelihatan

Hilal cukup syarat

1 Ramadan

30 Syaaban

Syaaban 30 hari

Hari berikutnya

2 Ramadan

1 Ramadan

Awal Ramadan/puasa

 

Keadaan / Peristiwa

KIR

Rukyah

Catatan

Awal Syawal

29 Ramadan

28 Ramadan

Belum hari rukyah rasmi (bulan tiada)

Hilal tiada

30 Ramadan

29 Ramadan

Hari rukyah hilal, tidak kelihatan

Hari berikutnya

1 Syawal

30 Ramadan

Ramadan 30 hari

Hari berikutnya

2 Syawal

1 Syawal

Hari raya

 

Keadaan / Peristiwa

KIR

Rukyah

Catatan

Awal Zulkaedah/ penentu rukyah Zulhijjah

29 Syawal

28 Syawal

Belum hari rukyah

(bulan ada & cukup syarat)

Hilal cukup syarat

1 Zulkaedah

29 Syawal*

Tiada rukyah, ikut KIR (bulan ada)

Hari berikutnya

2 Zulkaedah

1 Zulkaedah*

 

Keadaan / Peristiwa

KIR

Rukyah

Catatan

Awal Zulhijjah

29 Zulkaedah

28 Zulkaedah

Belum hari rukyah rasmi

(bulan ada & kelihatan)

Hilal cukup syarat

1 Zulhijjah

1 Zulhijjah*

Awal Zulhijjah*

 * Beberapa negara pernah melaksanakan pelarasan semula disebabkan situasi begini, iaitu bulan telah kelihatan selepas maghrib pada hari 28 (mula lambat), atau bulan masih tidak wujud atas ufuk pada hari ke 30 atau hari 1hb (mula cepat).

3. Kenapa Dua Pendekatan Ini Digunakan?

Sebab fungsi kedua-duanya berbeza:

Takwim tahunan

  • Untuk perancangan awal setahun.
  • Berdasarkan hisab menggunakan kriteria kebolehnampakan.
  • Penting untuk pengurusan cuti dan sebagainya.

Penentuan bulan perayaan

  • Ketetapan kerajaan dan ada pengisytiharan secara rasmi.
  • Melibatkan cerapan/rukyah sebenar di lapangan.
  • Pengumuman hanya selepas rukyah selesai.

Penggunaan KIR membolehkan sistem takwim berjalan teratur dari sudut pentadbiran kerana hasil rukyah dan hitungan hisab itu hampir selari apabila KIR digunakan. Kerajaan pula masih mengekalkan tradisi penetapan awal bulan dengan kaedah yang sama sejak dahulu bagi 3 bulan perayaan, menjadikan tarikh-tarikh perayaan kadang kala mendebarkan masyarakat kerana bulan berada pada posisi berbeza-beza seperti gambaran tahap berikut;

  1. Mustahil dilihat - bulan berada di bawah ufuk ketika maghrib/terbenam sama dengan matahari.
  2. Hampir mustahil dilihat - bulan sangat rendah/dekat dengan matahari dan secara praktikal tidak boleh dilihat
  3. Sangat sukar dilihat tetapi masih berkemungkinan - bulan ada di atas ufuk, masih rendah dan secara teori ada kemungkinan kecil jika keadaan langit sangat baik dan menggunakan peralatan yang sesuai.
  4. Peluang sangat kecil untuk dilihat (guna alat)- bulan lebih tinggi namun sangat dipengaruhi cuaca dan alat.
  5. Peluang kecil untuk dilihat (guna alat)- lebih baik dari no 4.
  6. Ada kemungkinan untuk dilihat (guna alat) - bulan hampir memenuhi syarat KIR
  7. Berpotensi kelihatan - bulan memenuhi syarat KIR minimum
  8. Mudah kelihatan - bulan ketara lebih tinggi dari syarat KIR
Tahap ini boleh berubah disebabkan faktor cuaca. Tahap 7 boleh turun ke 4 atau 3 disebabkan cuaca.

Hanya jika bulan berada pada posisi 4, 5 dan 6, barulah debaran terasa kerana potensi kecil yang ditunjukkan memungkinkan tarikh berubah, apalagi peralatan kini makin bertambah baik dan kemahiran anggota rukyah juga semakin tinggi.


Simulasi rupa bentuk anak bulan yang sangat halus


Ringkasnya, di Malaysia, untuk 3 bulan itu, kalau nampak, guna rukyah. Jika tidak nampak, guna hisab/KIR. Bersedialah saja akan apa jua kemungkinan, walau hakikatnya ia sangat-sangat tipis (extremely unlikely but still possible) menurut hisab.

Selamat hari raya.



No comments: