Tuesday, January 11, 2011

Berita 18SG

Salam.

Sepanjang perjalanan menggunakan kereta, pasti tidak lekang telinga dengan suara dari radio. Muzik hanya sekali sekala, kerana berita antara yang hendak didengar juga.

Hari ini terlintas di fikiran, bila mendengar laporan berita radio yang mungkin boleh mewakili berita media lain, TV dan sebagainya, termasuk akhbar apabila berita sukan terutamanya, menggunakan istilah-istilah yang cukup menarik, hingga saya terfikir untuk meletakkan istilah tersebut dalam kategori '18SG'!

Perhatikan antara lain ayat-ayat berikut (contoh) yang akan anda temui dalam berita sukan:
  1. Selangor membelasah Negeri Sembilan.....
  2. Johor mengenepikan Kelantan .... dalam pusingan kalah mati...
  3. Terengganu tewas kepada Kedah ....
  4. Sabah mengasak Sarawak...
  5. LCW menumpaskan .....
  6. Terengganu melanyak Perak....
  7. Perlis menggagalkan hasrat NS ....
  8. Melaka membenam Pahang ....
  9. Pulau Pinang tersungkur di .....
  10. Misi membalas dendam Terengganu di gelanggang lawan....
  11. Terengganu mempunyai penyerang berbisa....
  12. Dendam Pahang terbalas....
  13. Serangan bertubi-tubi Kelantan gagal ditampan...
Itu hanya beberapa contoh... mungkin banyak lagi yang sedap didengar untuk menggambar fenomena 'gah' sukan bolasepak terutamanya.. namun.. tidakkah istilah-istilah ini mungkin menyemarakkan perasaan marah, dendam dan semangat kenegerian melampau.. hingga hilang semangat kesukanan yang sepatutnya ditanam dalam diri setiap pemain dan penyokong?

Atau mungkin saya yang berfikir terlalu jauh?

Allah Maha Mengetahui....

Monday, January 3, 2011

Selamat Tahun Baharu

Tahun adalah salah satu unit sukatan masa, yang berupa hari, minggu, bulan dan tahun. Ia merupakan sukatan bagi pergerakan bumi dalam orbitnya, yang relatif kepada kedudukan matahari (takwim syamsiyah) atau kepada orbit bulan (takwim qamariyah). Bilangan tahun bertambah apabila bumi melengkapi orbitnya (tahun tropika) atau lengkap 12 kali orbit bulan (tahun qamariyah) bukanlah ulangan peristiwa secara hakiki, kerana orbit bulan dan orbit bumi adalah fenomena kecil dalam sistem orbit yang lebih besar, iaitu pergerakan matahari mengorbit pusat galaksi (tahun kosmik) yang mengambil masa kira-kira 226 juta tahun bumi.

 Disebabkan matahari berada kira-kira 26,000 tahun cahaya (laju cahaya kira-kira 292,000 km/saat) dari pusat galaksi, matahari membuat pergerakan mengorbit pada had laju kira-kira 782,000 km/jam. Bermakna itulah juga kelajuan bumi yang mengiringi matahari (jangan lupa kita di mana!). Sebagai perbandingan sahaja, pada masa yang sama bumi mengorbit matahari, berputar pada paksinya pada halaju 1770 km/jam di khatulistiwa, dan bergerak pada orbitnya pada halaju 108,000 km/jam. Lupakan angka kemudian ini. Lihat angka 782,000 km/jam di atas, iaitu kelajuan matahari bergerak. Itulah kelajuan matahari yang mengambil masa 226 juta tahun bumi untuk melengkapi orbitnya mengelilingi galaksi kita ini. Sejak bergenerasi, sejak sejarah manusia mula tertulis, hakikatnya, matahari belum lagi menyelesaikan satu pusingan orbitnya. Renungi Firman Allah swt dalam surah Yaasin ayat 38:

"Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;"

Jika bumi dan bulan Allah swt menyebut mengenai elemen orbitnya, berbeza dengan matahari dalam ayat di atas.

Jika matahari dikatakan berusia kira-kira 4500 juta tahun (4.5 bilion tahun), yang juga dikatakan detik terbentuknya semua makhluk angkasa raya ini, bermakna sehingga kini, matahari telah melengkapkan orbit galaksi sebanyak 19 kali sahaja. Betapa besarnya alam raya ini, sehingga Allah swt menggunakan hitungan masa yang khusus bagiNya, yang jauh bezanya dengan hitungan masa yang digunakan manusia. Renungi Firman Allah swt dalam surah Al-Hajj ayat 47:






"Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung."
 
Tahun baharu hanyalah tanda aras dalam sukatan masa, hakikatnya ia adalah catatan perjalanan semua makhluk Allah swt menuju detik akhirnya......


WalLahu A'alaam bis Sowaab...
Hamba yang fakir mengakhiri nota.
Related Posts with Thumbnails