Wednesday, September 4, 2013

Yakin

Bismillah.

Yakin. Bermaksud betul-betul percaya , tidak ragu-ragu (syak-syak) lagi, pasti benar.

Dalam membuat satu-satu keputusan, yakin memainkan peranan yang paling utama. Tanpa 'yakin', keputusan tidak dapat dibuat, atau dibuat dalam keadaan berbelah-bahagi, dan hasilnya belum tentu seperti diharapkan.

Sebagai contoh, peristiwa pengakuan Mat Siam di Pahang bahawa beliau adalah Mat Kilau yang dikatakan telah mati, menyebabkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa penyiasat khas untuk memastikan kesahihan bahawa beliau adalah Mat Kilau. Sekalipun jawatankuasa itu telah memutuskan, dan kerajaan Pahang telah mengisytiharkan bahawa Mat Siam adalah Mat Kilau, ahli akademik, pakar sejarah seperti Prof. Em. Tan Sri Khoo Kay Kim mengatakan bahawa beliau 'belum diyakinkan' bahawa Mat Siam adalah benar Mat Kilau berdasarkan maklumat yang ada. Namun tegas beliau, 'tidak yakin' itu tidak pula bermaksud bahawa Mat Siam benar bukan Mat Kilau, cuma beliau belum benar yakin berdasarkan bukti/petunjuk yang ada.

Situasi berbelah-bahagi ini selalunya menahan kita dari berubah. Tanpa 'yakin', berubah menjadi suatu ketidakpastian, lebih baik, atau sebaliknya. Tanpa 'yakin', seseorang tidak akan melangkah. Ini fenomena harian. Ditemui dan dihadapi di mana-mana, oleh sesiapa sahaja, dalam pelbagai perkara.

Masalahnya, apabila dua orang contohnya, seorang telah yakin akan suatu perkara, seorang lagi belum atau tidak yakin. Kadangkala, ia mampu menyebabkan kawan menjadi lawan. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, selalunya punca pertelingkahan adalah apabila pihak yang telah yakin gagal menghormati pemikiran pihak yang belum yakin. 

Contoh paling mudah adalah seorang bukan Muslim semestinya berstatus tidak yakin, atau mungkin juga belum yakin dengan Islam, lantas kekal sebagai bukan Muslim. Bagaimanakah pendirian seorang Muslim terhadap bukan Muslim ini? Apakah Muslim menghormati pendirian mereka? Atau bagaimana? Seterusnya, apakah tindakan kita untuk meningkatkan keyakinan bukan Muslim untuk yakin dengan Islam, dan memeluk Islam?

Bagaimana pula dengan sesama Islam? Apakah tindakan kita untuk menjadikan Muslim 'biasa-biasa' menjadi Muslim 'yang lebih baik', atau 'luar biasa'? Apalagi jika menghadapi Muslim yang 'kurang yakin' dengan Islam sendiri?

Apakah 'yakin' mereka yang kurang disebabkan kelemahan mereka sendiri? Kedegilan mereka sendiri? Sifat 'bangang' dan 'bodoh' mereka sendiri?

Atau, apakah 'yakin' yang kurang itu berpunca daripada Muslim sendiri? Daripada 'kita' sendiri?

اللهم انصر الإسلام والمسلمين

والله أعلم



 


Monday, September 2, 2013

Arah Kiblat

Bismillah. Segala puji bagi Allah swt. Salawat dan Salam ke atas junjungan mulia Muhammad s.a.w.

Allahumma, mohon rahmat dan berkatMu ke atas umat NabiMu seluruh alam.

Pembaca yang budiman.

Penulisan kali ini, merupakan penulisan ke sekian kali bagi membincangkan perkara yang asas dalam urusan harian umat Islam - arah kiblat. Namun seperti biasa, memandangkan secara asasnya perkara ini telah dibincangkan di sini sebelum ini, malah di merata laman dan buku, justeru izinkan saya menulis hanya fokus kepada beberapa permasalahan berbangkit yang belum disentuh dalam penulisan saya sebelum ini. Jika telah ada pada penulisan lainnya, anggaplah ia sebagai peringatan semata-mata untuk manfaat bersama. Penulisan ini terdedah kepada khilaf, dan pandangan pembaca budiman amat dihargai.

Definisi
Arah Kiblat bermaksud arah hadap ke Kiblat. Kiblat pula merujuk Kaabah, dan bagi mereka di luar Mekah, berkiblatkan Masjidil Haram. Ini jelas disebut lebih terperinci dalam kitab-kitab fekah.
gambar hiasan

Syatra (شطر)
Kalimah syatra (شطر) dalam beberapa ayat berkaitan yang dijadikan sandaran hukum berkaitan menghadap ke arah kiblat, menjadi asas kepada perbahasan mengenai tahap kejituan diperlukan syarak bagi ketepatan menghadap arah kiblat. Ini juga telah dibahaskan lebih terperinci oleh para ahlinya.

Melihat maksud شطر dalam bahasa Inggeris, terdapat beberapa maksud, antaranya bisect dan intersect yang mempunyai maksud tersendiri dari aspek ilmu matematik. Intersect bermaksud to divide by crossing over, manakala bisect bermaksud divides into two equal parts. 

Merujuk maksud di atas, arah hadap ke Kiblat boleh diterjemahkan menurut ilmu matematik menjadi satu garisan lurus yang melalui tengah-tengah Masjidil Haram (melalui tengah Kaabah). Maksud ini juga menjadikan menghadap Kaabah (jika di dalam Masjidil Haram) hendaklah ke tengahnya, bukan ke tepi atau sipi.

Bagi mereka yang berada jauh, ulama membahaskan mengenai tahap kejituan yang perlu, dan dipersetujui bahawa mereka berada dalam hukum menghadap secara zhon (ظن) sahaja (iktikad اعتقاد atau i'timad اعتماد) ke arah kaki langit yang diyakini secara zhon sebagai arah ke Kiblat.

Kejituan Arah Hadap Ke Kiblat
Ulama telah memutuskan bahawa terdapat kelonggaran bagi mereka yang jauh, dengan menggunakan hukum zhon ini. Kelonggaran ini menjadikan arah ke kiblat yang tersasar dari arah yang betul secara geometrinya, masih boleh diterima sebagai arah yang betul menurut syarak, selagi ia tidak berubah dari 'arah yakin' menjadi 'arah yang diragui' ketika hendak melakukan ibadat wajib. Hukum berkaitan 'mihrab muktamad' adalah jelas merujuk arah yang diguna ramai tanpa persoalan.

Keperluan Menyemak Arah Kiblat
Menelusuri perbahasan ulama, kita dapati banyak kelonggaran diberikan berkaitan usaha mendapatkan arah kiblat yang betul secara geometri, kerana keutamaan dalam melakukan ibadah adalah arah kiblat yang diyakini secara zhan, sebagai syarat sah solat contohnya. Juga dalam aspek arah kiblat masjid yang ditentukan oleh Sahabat r.a. yang sesetengahnya didapati tidak betul secara geometri, tetap diterima sebagai ijithad yang betul menurut syarak, turut memperjelaskan tentang kelonggaran hukum fekah berkaitan ini. Justeru, keperluan menyemak arah kiblat boleh dibahagikan seperti berikut:-
  1. Arah kiblat masjid sedia ada, yang tidak diragui penduduk tempatan adalah mihrab muktamad yang tidak perlu disemak lagi.
  2. Arah kiblat masjid yang diragui, apabila disemak, hanya diperbetulkan jika mengekalkan arah lama hanya mengaibkan masjid dan pihak pengurusan, menimbulkan kegelisahan penduduk dan sebagainya. Jika tidak, kekalkan ia sebagai arah yang betul menurut syarak, sekalipun tersasar menurut geometri. 
  3. Arah kiblat individu, seperti di rumah atau pejabat (musolla), memadai ditentukan dengan kaedah sesuai yang boleh digunakan ketika itu.
  4. Arah kiblat masjid baharu yang akan dibina, hendaklah ditentukan dengan kaedah terbaik yang boleh digunakan masa kini, supaya ia betul menurut geometri, kerana zaman kini, maklumat begitu mudah diperolehi, kaedah lebih baik dan maju, dan menjadi keaiban kepada banyak pihak jika masjid didapati tersasar secara geometri ketika hendak digunakan.
Kesimpulan
Fahami maksud dalam setiap penetapan hukum oleh para ulama, kerana hikmah hanya lebih difahami mereka, bukan kita. Solat jamaah, memerlukan kerjasama dan penerimaan secara jamaah. Justeru, menjaga maslahat hubungan jamaah lebih penting berbanding ketepatan kiblat secara geometri, yang mungkin membahagikan jamaah kepada dua pihak - satu kekalkan, satu lagi ubah.

والله أعلم بالصواب


Related Posts with Thumbnails