Bismillah.
Yakin. Bermaksud betul-betul percaya , tidak ragu-ragu (syak-syak) lagi, pasti benar.
Dalam membuat satu-satu keputusan, yakin memainkan peranan yang paling utama. Tanpa 'yakin', keputusan tidak dapat dibuat, atau dibuat dalam keadaan berbelah-bahagi, dan hasilnya belum tentu seperti diharapkan.
Sebagai contoh, peristiwa pengakuan Mat Siam di Pahang bahawa beliau adalah Mat Kilau yang dikatakan telah mati, menyebabkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa penyiasat khas untuk memastikan kesahihan bahawa beliau adalah Mat Kilau. Sekalipun jawatankuasa itu telah memutuskan, dan kerajaan Pahang telah mengisytiharkan bahawa Mat Siam adalah Mat Kilau, ahli akademik, pakar sejarah seperti Prof. Em. Tan Sri Khoo Kay Kim mengatakan bahawa beliau 'belum diyakinkan' bahawa Mat Siam adalah benar Mat Kilau berdasarkan maklumat yang ada. Namun tegas beliau, 'tidak yakin' itu tidak pula bermaksud bahawa Mat Siam benar bukan Mat Kilau, cuma beliau belum benar yakin berdasarkan bukti/petunjuk yang ada.
Situasi berbelah-bahagi ini selalunya menahan kita dari berubah. Tanpa 'yakin', berubah menjadi suatu ketidakpastian, lebih baik, atau sebaliknya. Tanpa 'yakin', seseorang tidak akan melangkah. Ini fenomena harian. Ditemui dan dihadapi di mana-mana, oleh sesiapa sahaja, dalam pelbagai perkara.
Masalahnya, apabila dua orang contohnya, seorang telah yakin akan suatu perkara, seorang lagi belum atau tidak yakin. Kadangkala, ia mampu menyebabkan kawan menjadi lawan. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis, selalunya punca pertelingkahan adalah apabila pihak yang telah yakin gagal menghormati pemikiran pihak yang belum yakin.
Contoh paling mudah adalah seorang bukan Muslim semestinya berstatus tidak yakin, atau mungkin juga belum yakin dengan Islam, lantas kekal sebagai bukan Muslim. Bagaimanakah pendirian seorang Muslim terhadap bukan Muslim ini? Apakah Muslim menghormati pendirian mereka? Atau bagaimana? Seterusnya, apakah tindakan kita untuk meningkatkan keyakinan bukan Muslim untuk yakin dengan Islam, dan memeluk Islam?
Bagaimana pula dengan sesama Islam? Apakah tindakan kita untuk menjadikan Muslim 'biasa-biasa' menjadi Muslim 'yang lebih baik', atau 'luar biasa'? Apalagi jika menghadapi Muslim yang 'kurang yakin' dengan Islam sendiri?
Apakah 'yakin' mereka yang kurang disebabkan kelemahan mereka sendiri? Kedegilan mereka sendiri? Sifat 'bangang' dan 'bodoh' mereka sendiri?
Atau, apakah 'yakin' yang kurang itu berpunca daripada Muslim sendiri? Daripada 'kita' sendiri?
اللهم انصر الإسلام والمسلمين
والله أعلم
1 comment:
terkadang....keYAKINan menjadi ampuh... mENGAPA YA? iMAN DI HATI BELUM benar2 menjadi besi waja...
Post a Comment