Pages

Thursday, December 14, 2023

Awal bulan Rajab 1445 | 11 & 12 Jan 2024

 14 Dis 2023 bersamaan 1 Jumadal Akhir 1445. Maka 29 Jumadal Akhir adalah bersamaan 11 Jan 2024. Berdasarkan tarikh ini, kita lihat peta kenampakan hilal dunia pada 11 Jan 2024 nanti. Peta ini dijana menggunakan sistem asas PHP dan masih berstatus prototaip (R&D). Penjanaan peta menggunakan julat latitud dan longitud setiap 1° dan tempoh penjanaan dilakukan adalah antara 2-5 saat bergantung kepada komputer dan server (internet).


Saya kira, memadai saya merujuk kepada nilai elongasi 6.4° (garisan lengkuk hijau) iaitu garisan  minimum hilal boleh kelihatan. Rujukan kedua adalah tinggi 3° (zon warna silver), 4.3° (kuning) dan 5° (biru) yang berada sebelah kiri garisan lengkuk hijau. Berdasarkan rujukan-rujukan ini, hilal hanya boleh kelihatan bermula di benua amerika pada 11 Jan 2024, menjadikan tarikh 12 Jan 2024 adalah hari ke 30 bagi Malaysia.

Pada 12 Jan 2024 pula, hilal boleh kelihatan di kebanyakan negara sebelah timur kecuali beberapa negara di sebelah utara, iaitu zon warna merah dan zon tiada warna.


Kita lihat pula rajah kedudukan hilal bagi dua tarikh tersebut berdasarkan potensi kenampakan dari Malaysia.

11 Jan 2024

12 Jan 2024
 

Sebahagian pencerap akan melakukan cerapan atau rukyah pada kedua-dua hari tersebut. Sebahagian pula memilih untuk mencerap pada hari 12 Jan sahaja. Anda bagaimana?

Saturday, December 9, 2023

Menjelang Jumadal Akhir 1445 | 13 Dis 2023

 13 Disember 2023 ini, merupakan hari ke 29 bulan Jumadal Awal 1445 menurut susunan takwim Hijri asas imkanurrukyah Malaysia. Menurut takwim juga, hari terakhir adalah 29 Jumadal Awal, apabila esoknya 14 Dis 2023 adalah bersamaan 1 Jumadal Akhir 1445. Ayuh lihat keterangan ringkas bergambar mengenai tarikh awal Jumadal Akhir 1445 ini. 


Sifat anak bulan atau hilal setiap lokasi ditandakan dengan warna berbeza. Zon tidak berwarna adalah zon tiada klasifikasi, atau zon bulan di bawah ufuk. Zon berwarna membahagikan kawasan berdasarkan altitud bulan iaitu merah (antara 0° hingga 3°) ungu (3° - 4.3°) kuning (4.3° - 5°) biru (5° - 6.4°) oren (6.4° - 9°) pink (9° - 12°) dan hijau (12° ke atas, dan lazimnya adalah hari ke 30). Had altitud adalah perkadaran kasar sahaja melainkan pada had 3°, 4.3°, 5° dan 6.4° yang ada banyak kajian dan perbincangan. a lengkuk pula adalah pembahagian zon menurut had elongasi atau jarak lengkung iaitu hijau (6.4°) putih (7.5°) kuning (9°) dan oren (12°). Berdasarkan petunjuk ini, kita boleh tentukan zon-zon mustahil boleh kelihatan (tiada warna), tidak boleh kelihatan (merah), boleh kelihatan dengan alat optik sahaja(ungu, kuning dan biru, tidak lepasi garisan hijau), boleh kelihatan dengan mata dengan bantuan optik (ungu, kuning, biru dan oren, lepasi garisan hijau), boleh kelihatan dengan mata (lepasi garisan putih) mudah kelihatan (garisan kuning) dan sangat mudah kelihatan (garisan oren). Rajah ini masih dalam proses penyelidikan dan kejituan zon dan garisan masih boleh dipersoalkan. Bolehlah dikategorikan tahap kejituan sederhana, terutama bagi garisan lengkuk elongasi.

Apakah kategori kenampakan bagi Malaysia pada 13 Disember ini?

Malaysia terbahagi kepada dua kategori, Malaysia Timur masuk kategori boleh nampak menerusi alat optik sahaja, Malaysia Barat pula kategori boleh nampak dengan mata, berbantukan alat optik. Secara mudah, jika disatukan, menjadi kategori 'boleh kelihatan, agak sukar', apa lagi dalam keadaan cuaca terkini, had kenampakan akan menurun satu atau dua kategori. Turun dua maknanya merah, tidak kelihatan. Itu aspek rukyahlah. Aspek hitungan dan kategori sama ada memenuhi kriteria atau tidak, itu aspek penetapan dan penyusunan takwim oleh kerajaan. Kita fokus pada aspek rukyah saja.

Selamat Tahun Baharu.


Sunday, March 5, 2023

2023 dan Ramadhan, Syawal 1444 menjelang tiba

Sudah hampir setahun, ketika mesej bertalu-talu mendesak, tentang tarikh hari raya 1443, disebabkan hitungan hilal di bawah kriteria yang digunakan, namun sifat bulan adalah melepasi keupayaan kenampakan melalui peralatan, sedikit di bawah Had Danjon elongasi 6.4 degree. 

Sudah hampir setahun, saya hanya memberikan jawapan akan wujudnya 'peluang tipis' (there's a slight chance) untuk hilal kelihatan melalui alat, pada masa sama kriteria tidak memakai had tersebut (5-6.4 degree), justeru sukar untuk menepis kemungkinan kenampakan alat ditolak kerana di bawah kriteria, pada masa sama sukar juga menolak kemungkinan ia diterima kerana 'telah nampak'.

Sudah hampir setahun, ada dua bulan hijrah selepas Syawal 1443, di mana bulan/hilal berada pada posisi yang agak hampir dengan Syawal 1443, namun ia adalah bulan-bulan biasa, dan kisahnya berkisar di kalangan pihak tertentu sahaja.

Sudah hampir setahun, sejak anggota rukyah menerima berita 'esok raya' semasa memandu pulang. 

Sudah hampir setahun, mengulang aktiviti yang sama, yang dilakukan sejak tahun 1995.

Allahummaghfir zunuubi.