Tuesday, June 7, 2011

Bila Matahari Terbenam

Salam.

Bila Matahari terbenam pada petang setiap kali rukyah Anak Bulan dilakukan, mereka yang melakukan rukyah pasti sedar bahawa setiap kali itu juga Bulan berada di kiri Matahari, atau di kanan Matahari, atau di atas. Bulan juga boleh terbenam bersama Matahari, lebih awal, atau kemudian daripada Matahari. Keadaan ini boleh dilihat pada perbezaan altitud dan azimut Bulan dengan altitud dan azimut Matahari. Ketika Matahari terbenam, altitud Bulan di atas ufuk menjadi salah satu syarat bagi justifikasi 'boleh nampak atau tidak' Anak Bulan. Sudut elongasi atau jarak lengkuk Bulan-Matahari termasuk dalam syarat ini. Syarat untuk sifat 'boleh nampak' itu adalah apabila altitud Bulan tidak kurang 2 darjah, dan jarak lengkuk tidak kurang 3 darjah.

Satu lagi syarat ialah umur Bulan, dan Malaysia menggunakan umur Bulan ketika Bulan terbenam bagi menentukan syarat tersebut dipenuhi atau tidak, iaitu tidak kurang 8 jam. Kedua-dua syarat ini, (1) altitud dan jarak lengkuk, dan (2) umur, merupakan syarat pilihan, di mana jika salah satu daripada dua syarat dipenuhi, Anak Bulan disabitkan telah wujud, dan bulan baharu boleh dimulakan.

Suatu yang menarik pada kedua-dua syarat ini adalah sifat 'tidak seiring' antara keduanya. Sebabnya dibincang melalui rajah 1 di bawah.



Rajah di atas adalah contoh berdasarkan lokasi Kuala Terengganu di latitud 5 darjah Utara, menjadikan Khatulistiwa Samawi condong 5 darjah. Ekliptik Matahari condong lagi 28 darjah, dan satah orbit Bulan condong lebih 30 darjah. Bagi situasi di atas, sekalipun umur Bulan telah melampaui 8 jam, di mana syarat umur dipenuhi, altitud Bulan ketika Matahari terbenam masih terlalu rendah, dan tidak memenuhi justifikasi 'boleh nampak'. Namun Anak Bulan disabitkan wujud berdasarkan syarat umur telah dipenuhi. Situasi kedua pula seperti rajah 2 di bawah.



Rajah di atas menunjukkan kedudukan Bulan berbanding Matahari pada ketika yang lain. Umur Bulan mungkin telah mencapai 8 jam atau lebih, atau kurang 8 jam, tetapi kedudukan satah orbit seperti situasi di atas menjadikan altitud Bulan memenuhi syarat, sekalipun umur Bulan mungkin kurang 8 jam.

Namun, suatu yang perlu difikir dan selanjutnya dikaji, atau dinilai semula, adalah Bulan pada altitud yang rendah ketika Matahari baru saja terbenam, masih bersifat 'tidak boleh nampak' menurut kajian sains kenampakan Anak Bulan. Ini menyebabkan umur Bulan sekalipun telah memenuhi syarat 8 jam (seperti rajah 1), Anak Bulan masih bersifat 'tidak boleh kelihatan', suatu justifikasi yang penting pada syarak, yang pada hemat saya, memerlukan pertimbangan 'adakah umur 8 jam yang tidak memenuhi sifat boleh nampak itu memenuhi kehendak syarak?' yang menjadi keutamaan. Pertimbangan yang penting supaya justifikasi yang digunakan tidak mengelirukan masyarakat yang nyata semakin hari semakin celik.

Wallahuaalam.

- ATR
Related Posts with Thumbnails