Saturday, April 16, 2011

Menentukan Arah Kiblat

Salam.

Arah Kiblat. Merupakan syarat sah solat. Justeru ia menjadi keutamaan umat Islam dalam urusan seharian. Ia mungkin kurang dirasakan di negara ini, kerana kemudahan bersolat seperti surau dan masjid mudah ditemui, sebagaimana yang anda rasakan ketika melakukan perjalanan jauh. Namun ia ketara melibatkan premis persendirian seperti kediaman dan hotel.

Alhamdulillah, kebanyakan atau hampir semua hotel di Malaysia mempunyai tanda Arah Kiblat. Anda boleh temui di siling, di lantai atau dalam laci. Dalam laci? Kalau meja itu dialih? Alasan logik adalah penginap terdiri dari pelbagai agama. Sesetengahnya yang tidak tahu langsung mengenainya melihat tanda itu seperti simbol agama, seperti kalimah keagamaan (macam kalimah Allah, Muhammad, dan lain-lain). Tanda yang mungkin dianggap mempunyai unsur mistik, yang menyebabkan mereka menjadi takut melihatnya. Islam belum dikenali sepenuhnya.

Bagi rumah kediaman, masalah ini timbul biasanya ketika 'naik rumah baharu'. Panduan yang digunakan biasanya adalah jiran sebelah, surau atau masjid berdekatan. Jiran sebelah, itu bagi perumahan sedia ada, tetapi masalah juga bagi perumahan baharu, semua tidak tahu.

Justeru, di sini saya kemukakan satu kaedah yang boleh dipraktik oleh pemilik rumah. Kejituan dalam 2 darjah. Bagaimana? Dari Johor di Selatan tanah air, hingga Perlis dan Sabah, arah kiblat adalah dalam lingkungan 290 darjah hingga 293. Jika 3 darjah masih dalam khilaf yang boleh diterima, maka satu negeri satu arah boleh digunakan. Lebih kasar lagi, satu negara boleh menggunakan satu arah sahaja.

Ketika tengahari di satu tempat atau zon, atau boleh juga waktu Zohor, yang selisihnya hanya dua tiga minit, matahari berada di garis pemisah langit timur dan langit barat bagi tempat atau zon berkenaan. Garis pemisah ini adalah garis utara selatan bagi tempat tersebut (disebut garis meridian tempatan). Ketika matahari berada di garis ini (tengahari) bayang objek tegak akan mengarah ke utara atau ke selatan, bergantung kepada tarikh.

Pada sekitar April dan Ogos, bayang agak pendek ketika tengahari. Bayang objek ketika tengahari akan selari (atau hampir selari) dengan garis utara selatan tempat tersebut. Itulah langkah pertama untuk menentukan arah kiblat, iaitu mendapatkan arah Utara. Ketika tengahari atau Zohor (lihat takwim) di tempat anda, gariskan (di lantai) dengan marker, atau dakwat mudah padam, bayang objek tegak seperti tiang pagar, tiang rumah dan sebagainya.

Seterusnya, langkah kedua, menentukan arah kiblat. Menurut Dr Baharrudin UniSZA, kaedah ini pernah digunakan oleh pihak berkuasa agama Kedah (Mufti?) 'dulu-dulu', untuk kegunaan daerah-daerah. Lihat rajah di bawah. Cetak rajah tersebut. Kemudian, sejajarkan garis utara selatan rajah dengan garis tandaan di lantai tadi. Pastikan utara selatan tidak tertukar. Bagaimana? April hingga Ogos, matahari di utara, bayang ke selatan. Ogos hingga April tahun berikutnya, matahari di selatan, bayang ke utara. Selepas jajaran, garis arah kiblat dalam rajah adalah arah kiblat kediaman anda.





Walaupun kaedah ini kurang jitu, tetapi lebih baik daripada mendapat selisih yang lebih besar. Ia juga lebih baik daripada menggunakan kompas yang terdedah kepada gangguan magnetik daripada kipas, pendingin udara, rosak dan sebagainya.

Moga bermanfaat.

- ATR

Monday, April 11, 2011

Bila Matahari Terbenam...

Salam.

Petang ini, atau boleh saja ketika ini, jika cuaca mengizinkan, anda jengah ke langit, mungkin anda dapat saksikan wajah Bulan suku muda (first quarter) menghias langit. Namun, ibarat kata orang lama, bagai rembulan kesiangan, tiada siapa yang peduli.

Saksikan sekarang Bulan berada di mana. Arah mana, tinggi mana. Petang nanti, ketika Matahari terbenam, anda akan dapat pula, dengan izinNya, menyaksikan Bulan berada di langit, pada arah dan tinggi yang berbeza. Dan sepatutnya anda menyedari bahawa bulan kelihatannya telah bergerak dari Timur ke Barat. Sebabnya, putaran Bumi. Itulah yang berlaku setiap hari, pada kedudukan dan jarak yang berbeza setiap hari, malah setiap detik, sebenarnya. Tidak kira pada fasa mana pun Bulan ketika itu, Bulan tetap terbit di Timur, dan terbenam di Barat setiap hari. Apa yang membezakannya hanya posisinya berbanding Matahari.





Jika dekat dengan Matahari, Bulan sukar kelihatan. Jika jauh, seperti hari ini dan seterusnya, mudah kelihatan. Anak Bulan, adalah Bulan ketika fasa amat muda, yang sememangnya masih hampir posisinya dengan Matahari, sekaligus menjadikannya sukar kelihatan, bukan tidak boleh kelihatan.




Dengan kaedah yang betul, melihat anak bulan lebih berkesan. Namun kekangan utama kenampakan adalah keadaan cuaca dan awan. Faktor utama kenampakan negatif bagi Anak Bulan di Malaysia.

- ATR

Saturday, April 2, 2011

Sungai

Salam.

Hampir setiap hari melalui jalan dari Manir, Kuala Terengganu ke Merang, Setiu, membolehkan saya memerhati perubahan kepada beberapa sungai sepanjang perjalanan ini. Terkenang semasa kecil, sungai yang menjadi tempat permainan.

Melalui jalan yang sama semasa kecil, pada ketika ini, nyata sungai-sungai ini berubah juga. Dulu, saya boleh terjun junam, kepala ke bawah, terus ke dalam air, dan menyentuh dasarnya. Kini, terjun kaki ke bawah hanya menyebabkan kaki anda terbenam ke dalam pasir separas lutut. Airnya? hanya paras lutut. Saya semakin tinggi, atau air semakin rendah?

Sungai Terengganu yang melalui Manir, pernah naik hampir paras jambatan, kali pertama sepanjang saya melalui jambatan tersebut. Tetapi sepanjang tahun, dan setiap tahun, hanya perubahan warna air sahaja yang ketara, terutama di Sungai Nerus, berhampiran Pekan Batu Enam. Sungai lain, sesetengahnya hanya bagaikan parit kecuali musim tengkujuh, yang mengalir lebih banyak untuk sehari dua, selepas hujan lebat. Sesetengah laluan air ini telah dijadikan tapak perumahan, disebabkan asalnya hanya tanah pertanian, telah diubah kepada kediaman, tanpa menyedari status asalnya, tanah yang dinaiki air setahun sekali, yang menjadi tanah dinaiki air, lima tahun sekali, atau lebih lama, sepuluh tahun.

Apa yang boleh difikirkan, atau dirumuskan dari pandangan singkat ini, air semakin kurang, namun pertambahan penduduk sebaliknya. Kesannya, timbul isu kekurangan air. Yang dipersalahkan, pembekal air, tanpa menyedari, pembekal hanya peniaga yang mengalihkan air dari sungai, menapis, membersih, dan menyalurkannya kepada pengguna. Pengguna membayar harga pemprosesan, bukan penghasilan.

Perhatikan di sana sini, pengguna yang memusnahkan sumber ini, dan pengguna juga yang menerima kesannya.

Fikirlah.


- ATR
Related Posts with Thumbnails