Salam.
Hampir setiap hari melalui jalan dari Manir, Kuala Terengganu ke Merang, Setiu, membolehkan saya memerhati perubahan kepada beberapa sungai sepanjang perjalanan ini. Terkenang semasa kecil, sungai yang menjadi tempat permainan.
Melalui jalan yang sama semasa kecil, pada ketika ini, nyata sungai-sungai ini berubah juga. Dulu, saya boleh terjun junam, kepala ke bawah, terus ke dalam air, dan menyentuh dasarnya. Kini, terjun kaki ke bawah hanya menyebabkan kaki anda terbenam ke dalam pasir separas lutut. Airnya? hanya paras lutut. Saya semakin tinggi, atau air semakin rendah?
Sungai Terengganu yang melalui Manir, pernah naik hampir paras jambatan, kali pertama sepanjang saya melalui jambatan tersebut. Tetapi sepanjang tahun, dan setiap tahun, hanya perubahan warna air sahaja yang ketara, terutama di Sungai Nerus, berhampiran Pekan Batu Enam. Sungai lain, sesetengahnya hanya bagaikan parit kecuali musim tengkujuh, yang mengalir lebih banyak untuk sehari dua, selepas hujan lebat. Sesetengah laluan air ini telah dijadikan tapak perumahan, disebabkan asalnya hanya tanah pertanian, telah diubah kepada kediaman, tanpa menyedari status asalnya, tanah yang dinaiki air setahun sekali, yang menjadi tanah dinaiki air, lima tahun sekali, atau lebih lama, sepuluh tahun.
Apa yang boleh difikirkan, atau dirumuskan dari pandangan singkat ini, air semakin kurang, namun pertambahan penduduk sebaliknya. Kesannya, timbul isu kekurangan air. Yang dipersalahkan, pembekal air, tanpa menyedari, pembekal hanya peniaga yang mengalihkan air dari sungai, menapis, membersih, dan menyalurkannya kepada pengguna. Pengguna membayar harga pemprosesan, bukan penghasilan.
Perhatikan di sana sini, pengguna yang memusnahkan sumber ini, dan pengguna juga yang menerima kesannya.
Fikirlah.
- ATR
No comments:
Post a Comment