Wednesday, October 31, 2012

Mantik, Matematik dan Ilmu Falak


Khabar angin, merupakan perkhabaran yang tidak dapat dipastikan benar atau tidak. Akal yang cerdas dapat menilai perkhabaran begini, menapis dan memutuskan untuk menerima atau menolak. Perkhabaran yang dibawa dari Nabi s.a.w. (hadis) sekalipun perlu dinilai isi (matan) dan pembawanya (periwayat), apalagi perkhabaran dari orang biasa, dan dibawa oleh orang biasa juga. Dalam pengajian Islam, Ilmu Mantik dan Matematik merupakan sebahagian ilmu yang perlu dipelajari untuk memenuhi skop pengajian ilmu Usul Fiqh, Syariah, Ilmu Falak dan lain-lain.

Ilmu Mantik

Ilmu Mantik adalah sains (ilmu) yang berkaitan dengan prinsip yang membolehkan pemikiran dan penaakulan dibuat secara teratur dan bersistem. Secara mudah, ia adalah ilmu tentang cara berfikir atau kaedah berfikir. Berdasarkan ini, kita perlu faham bahawa tidak semua cara berfikir kita betul, kerana cara berfikir boleh dipengaruhi oleh bimbingan wahyu (Al-Quran & Hadis), ilham daripada Allah swt, atau pun dipengaruhi nafsu (syaitan). Pemikiran yang sistematik ini diterjemahkan dalam bentuk penulisan yang menunjukkan kaedah atau metodologi suatu pemikiran atau penaakulan dibuat oleh si pemikir. Contoh: Suatu hadis biasanya dikhabarkan seperti berikut:

Daripada A daripada B bahawa Baginda Nabi s.a.w bersabda...... Hadis ini dinilai sebagai Hasan Sahih oleh ..... dinilai Sahih oleh .... 

Atau begini;

Daripada A daripada B bahawa Baginda Nabi s.a.w bersabda...... Hadis ini dinilai sebagai Maudu' oleh ..... kerana A disifatkan 'tidak jujur' oleh kebanyakan ahli hadis, dan A tidak hidup sezaman dengan B.

Contoh di atas adalah menunjukkan metod pemikiran dan penilaian yang dibuat oleh Ahli Hadis terhadap suatu hadis yang dikatakan daripada Nabi s.a.w. Catatan metod penilaian inilah yang membantu kita umat zaman ini untuk mengetahui suatu hadis itu benar atau tidak. Jika tiada catatan begini, Ahli Hadis akan menggunakan kaedah 'Takhrij Hadis' untuk mengenalpasti status suatu hadis tersebut. Kaedah ini juga digunakan jika terdapat keraguan pada catatan periwayat, dibimbangi ia dipalsukan oleh penulis lain yang keliru atau berniat jahat.

Matematik

Matematik adalah Ilmu Hisab, iaitu ilmu pengetahuan (sains) mengenai nombor, bentuk, susunan, hubungan dan lain-lain dengan menggunakan simbol. Berdasarkan definisi ini, Matematik adalah salah satu metod berfikir menurut Ilmu Mantik. Contoh: Jika A = B dan  B = C, maka A = C.

Ilmu Falak

Ilmu Falak adalah kajian saintifik (sains) tentang bintang, matahari, bulan, dan planet yang terdapat dalam alam semesta. Kajian saintifik ini merangkumi penggunaan kaedah Ilmu Mantik dan Matematik sebagai metodologi kajian, di samping ilmu lain yang kita kenali sebagai Geografi, Fizik dan sebagainya. Antara kaedah Mantik yang digunakan sebagai metodologi kajian Ilmu Falak adalah kaedah induksi (الاستقراء ) dan deduksi (الاستنتاج), dan dalam kajian falak, kedua-duanya melibatkan aspek empirik (التجربة).

Sebarang rumusan atau keputusan (نتيجة) daripada pemerhatian/kajian turun-temurun (empirik) adalah rumusan yang bersifat umum atau khusus. Justeru, apabila menerima khabar angin tentang sesuatu fenomena yang dikatakan fenomena falak, penilaian secara saintifik berdasarkan kaedah-kaedah Ilmu Falak perlu digunakan untuk memastikan apakah khabar tersebut boleh diterima atau tidak, benar atau palsu.Antara kaedah penilaian adalah ada/tiada percanggahan pada fenomena tersebut dengan kebiasaan (experience), percanggahan pada sumber maklumat, percanggahan pada logik (akal) dan juga percanggahan pada Nas al-Quran dan Hadis. Malah jika khabar itu turut membawakan Nas, ia juga perlu diberikan penilaian berkenaan sumber tafsiran, ambilan Hadis dan sebagainya.

Belajar Berilmu

Berdasarkan perenggan di atas, jelas bahawa umat Islam perlu menguasai (belajar) ilmu-ilmu di atas untuk mengelakkan kecelaruan maklumat yang merosakkan suasana dan pemikiran atau mungkin lebih besar lagi, akidah umat. Jika kita tidak dapat menilai sendiri dengan baik, atau bertanya kepada 'ahlinya', sekurang-kurangnya kita membuat penilaian awal berdasarkan What, When, Why, Who dan How, iaitu fenomena apa, bila berlaku, kenapa boleh berlaku, siapa sumbernya, dan bagaimana ia akan berlaku. Jika jawapannya tidak lengkap atau tidak jelas, contohnya sumber dikatakan daripada Agensi Angkasa Negara, sedangkan agensi itu tiada pula mengeluarkan kenyataan rasmi, maka ia dianggap tidak sahih, maka khabar itu perlu di 'KIV' atau dibakulsampah terus. Jika masih mahu menyiasatnya dengan bertanya kepada 'ahlinya', gunakan saluran tertutup supaya sebarang kecelaruan dapat dirungkai sebelum didedahkan kepada umum.


والله اعلم بالصواب

Sunday, October 7, 2012

Pelaburan Emas

Salam.

Saya bukan pakar pelaburan emas. Cuma berjinak-jinak dan belajar sedikit demi sedikit dari pakar-pakar dan rakan-rakan. Dalam belajar inilah, pelbagai isu keluar hari ini mengenai pelaburan emas. Apa yang saya faham, pelaburan emas ada beberapa cara:

  1. Beli emas fizikal (jongkong atau perhiasan), simpan/pakai dan jual bila harga tinggi (atau perlu duit... hehe) Keuntungan diperolehi berdasarkan kenaikan harga, atau pengekalan harga (dulu RM1000 boleh beli apa.. sekarang RM1000 boleh beli apa.. emas beli RM1000 dulu sekarang mungkin dah RM1500). Risiko? Faham sendirilah.
  2. Buka akaun emas di bank tempatan. Pun sama. Beli berapa gram mampu.. ada duit beli lagi. Bila perlu boleh ambil semula duit. Kadar RM ikut nilai harga emas. Macam no (1) cuma tak simpan emas fizikal. Risiko? Rendah. Simpanan dijamin - anda takkan ditipu.
  3. Trading Forex Emas. Ini pun lebih kurang aje dengan aspek BUY dan SELL. Cuma akaun anda dikendalikan oleh syarikat mana. Jika syarikat tersebut mengubah polisi atau menipu, adakah Bank Negara boleh mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut? Risiko? Terlalu tinggi. Ini belum mengambil kira aspek halal haram berkaitan.
  4. Skim Pelaburan Emas. Ini pun sama dengan no (3) di atas. Mana-mana syarikat yang menawarkan skim pelaburan melibatkan pengambilan deposit (bukan jual beli barang yang tertakluk di bawah akta lain) perlu berdaftar dengan BNM. Jika tidak, syarikat tersebut melakukan kesalahan jika transaksi itu dilakukan dalam negara. Risiko? Sangat tinggi. Sebarang perubahan polisi oleh syarikat, pembekuan aset, penipuan dan sebagainya, BNM atau kerajaan tidak dapat membantu.
Pelaburan risiko tinggi hanya sesuai bagi mereka yang sedia menerima risiko tersebut, seperti mereka yang tidak akan terkesan dengan kehilangan deposit. Apa pun, aspek halal haram perlu dijaga juga. 'Masuk perut' tu.. :) 

Itu baru beberapa aspek yang saya baru belajar. Sapa sudi kongsi atau perbetul, saya persilakan. Dapat ilmu lagi.. terima kasih.
Related Posts with Thumbnails