Pages

Tuesday, December 29, 2009

Terima Perbezaan

Intipati masih sama. Isu seperti berbeza.

Dari Johor ke Terengganu, singgah di Kemaman, hinggalah ke Mengabang Lekor. Apa yang serupa, tetapi tidak sama?

Otak-otak.

Lain padang lain belalangnya, lain tempat lain buatannya. Apakah wajar untuk kita menilai buatan Mengabang Lekor tidak betul caranya, sama seperti di Kemaman juga, yang sepatutnya dibuat seperti di Johor punya? Apa kata orang Terengganu pula, tentulah Johor yang tidak kena cara.... apa penyudahnya?

Penyudahnya tiada.. sama seperti orang Johor mengatakan orang Terengganu salah sebutan bahasa, ikan menjadi ikang! Wajarkah?

Sesetengah perkara, perlu kita terima seadanya. Mengubah budaya, tidak semudah mengubah rasa manis dalam minuman kita, kurang ditambah gula.....

Sunday, December 20, 2009

Cadangan Praktik Pelaksanaan Takwim Hijri Peringkat Global

Setelah mengikuti Muzakarah Falak 2009 pada 27hb - 29hb Zulhijjah 1430 di Melaka minggu lalu, penulis cukup bersetuju dengan cadangan pelaksanaan takwim hijri global oleh Prof Madya Dr Abd Halim Abd Aziz (USM).

Sebelum ini penulis diketengahkan dengan cadangan takwim hijri global dalam bentuk keseragaman tarikh menurut garis kenampakan anak bulan yang dicadangkan oleh Prof Ilyas (dahulunya berkhidmat di USM). Kini Dr Halim muncul dengan cadangan yang lebih praktikal pada pandangan penulis. Cadangan beliau adalah penggunaan sistem takwim hijri Istilahi atau Takwim Imkanurrukyah (menggunakan kriteria sederhana) peringkat global, dengan satu garis tarikh rujukan tetap dengan konsep seperti Garis Tarikh Antarabangsa juga. Takwim ini digunakan untuk urusan pentadbiran sahaja untuk kegunaan antara negara dunia. Manakala takwim yang digunakan untuk urusan ibadat dan perayaan masih berdasarkan kenampakan tempatan.

Arab Saudi sebenarnya telah menggunakan konsep ini, dengan memperkenalkan takwim agama dan takwim sivil. Takwim sivil untuk kegunaan pentadbiran menggunakan kaedah tertentu (kemungkinan wujudul hilal) manakala takwim agama berdasarkan laporan kenampakan. Penggunaan dua jenis takwim dalam satu negara tidak sesuai pada pandangan penulis, tetapi untuk peringkat global, ia lebih praktik.

Berdasarkan laporan terdahulu, didapati beberapa negara menyambut perayaan sehingga berselisih 3 - 4 hari antara satu negara dengan negara lain. Dengan penggunaan satu takwim awam global sebagai rujukan pentadbiran, sekurang-kurangnya takwim ini dapat menjadi penunjuk kepada kenampakan tempatan yang kewajaran selisihnya adalah kurang lebih 1 hari sahaja (atau maksimum 2 hari). Ini dipercayai dapat mendidik umat Islam ke arah penggunaan takwim yang lebih baik.

Penulis mendoakan semoga cadangan ini dapat dibawa contohnya untuk perlaksanaan awal, di peringkat negara-negara OIC.

Semoga berjaya.

Amin.

Wednesday, December 9, 2009

Tahun Baru Dan Kisah Anak Bulan

Kali ini penulis memilih tajuk 'Tahun Baru Dan Kisah Anak Bulan' sebagai topik bulan 12 tahun 1431 dan 2009.

Setiap tahun pelbagai mesej baru atau ulangan akan dihidangkan kepada pembaca di mana sahaja, televisyen, akhbar malah majalah dan komik sekalipun.

Namun penulis mampir dengan mesej yang bukan baru, tetapi hubungannya kurang diserlahkan kepada pembaca. Itu sahaja.

Tahun baru 2010 akan tiba. Demikian juga tahun baru 1431. Cuma tahun baru 2010 tidak berkait langsung dengan anak bulan, tidak seperti tahun baru 1431. Tetap berkait dengan anak bulan. Bukan hanya puasa dan hariraya sahaja. Nak sambut tahun baru kena tengok anak bulan juga. Tidak penting. Siapa kata? Semua orang kata kut... tetapi penulis tetap kata ia penting. Kenapa? Banyak majlis akan diadakan. Semua sudah ditetapkan tarikhnya. Sudah ada jemputannya. Awal Muharram adalah 18 Disember 2009. Majlis menyambut tahun baru 1431 adalah pada 17 Disember.

Hari rukyah adalah 29 Zulhijjah. Hari penentu bulan tersebut 29 atau 30 hari. Tarikh Miladinya 16 Disember. Kenapa tidak majlis itu dibuat 16 Disember? Mana tahu takdir Allah anak bulan muncul kelihatan? Tetapi majlis doa akhir tahun dibaca sebelum Maghrib. Anak bulan hanya muncul selepas Maghrib. Macammana nak baca doa sebelum Maghrib jika akhir tahun belum diketahui?

Jawapan akhir adalah kerana penggunaan hisab falak. Malaysia menggunakan hisab falak, bukan rukyah. Maka itu jugalah pandangan terhadap kes puasa dan hariraya. Guna hisab falak juga, bukan rukyah. Rukyah yang dibuat itu hanya membazir sahaja.

Penulis telah bincangkan mengenai pembahagian ilmu falak dalam penulisan sebelum ini (Ilmu Falak). Buka minda. Seorang pejalan darat atau laut(zaman dahulu) menggunakan bintang sebagai panduan. Semua orang tahu ini. Soalannya, bagaimana caranya? Yang ini tidak semua orang tahu. Anda juga mungkin tidak tahu. Sedangkan Quran menceritakan mengenai perkara ini. Tetapi anda tidak tahu caranya.

Demikian soal anak bulan. Anak bulan hendaklah dirukyah. Boleh dikatakan semua orang tahu apa itu rukyah. Alah.. melihat anak bulanlah. Soalannya, bagaimana caranya? Andakah anda pasti anda tahu caranya?

Melihat bintang, adalah sebahagian praktik ilmu falak. Hitungan dan yang selanjutnya adalah sebahagian lagi yang menyempurnakan praktik ilmu falak. Demikian juga melihat anak bulan, juga sebahagian praktik ilmu falak. Hitungan dan selanjutnya, adalah sebahagian lagi. Apa buktinya? Melihat bintang tanpa sedikit pun ilmu falak, umpama melihat spesis baru haiwan yang anda tidak kenali langsung.

Justeru rukyah yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w. adalah dengan ilmu, sekurang-kurangnya ilmu mengenai rukyah sahaja. Tidak ada kewajipan dalam ibadat, yang anda boleh lakukan tanpa ilmu. Betulkan?

Rumusannya, pelajarilah mengenai ilmu falak, aspek rukyah dan hisabnya, sebelum anda mengulas mengenai kedua-duanya. Mengulas tentang sesuatu tanpa ilmu mengenainya, ibarat menjahit baju di malam hari. Baju belum tentu terjahit, tangan pula tercucuk jarum.

Allah Jua Yang Maha Mengetahui.

Tuesday, December 1, 2009

Pedoman Suria - Kaedah Praktik Penentuan Arah Kiblat

Pedoman Suria - mengambil istilah lama 'pedoman' bagi kompas, dan 'suria' merujuk matahari. Jadi, Pedoman Suria adalah Kompas Matahari. Merupakan satu kaedah penentuan arah mata angin menggunakan posisi matahari sebagai rujukan, merupakan suatu kaedah daripada pelbagai kaedah tradisional dalam usaha mendapatkan arah Utara (dan arah kiblat).

Kaedah ini ditonjolkan melalui Kalkulator Falak di laman web Unit Falak UDM (www.falak.udm.edu.my). Kaedah ini kemudiannya diajar kepada peserta Program Sijil Falak UDM, selain kursus-kursus berkala yang dianjurkan oleh Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berkaitan arah kiblat.

Kali ini penulis terlibat sebagai fasilitator bagi Kursus Falak (Modul Amali Ilmu Falak) bermula 12 - 15 Zuhijjah 1430 (30 Nov - 2 Dis 2009), bertempat di Hotel De Palma, Kuala Selangor. Kursus ini adalah anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan Dr Baharrudin Zainal sebagai penceramah.

Untuk kursus ini, penulis terlibat mengenengahkan kaedah praktik carian maklumat falak dalam internet, dan kaedah penggunaan Pedoman Suria untuk penentuan arah kiblat.

Walaupun matahari hanya muncul sekejap-sekejap, ia tetap memberi peluang kepada urusetia/peserta untuk menandakan garis bayang matahari yang muncul seketika.



Ternyata kaedah Pedoman Suria memberikan kelebihan berbanding kaedah lain, namun Pedoman Suria hanya kemudahan yang disediakan melalui Internet, kemudahan yang hanya boleh digunakan oleh anda yang dapat membaca tulisan ini.



Walaupun tiada tanah lapang, kawasan berumput masih boleh dimanfaatkan dengan menggunakan kertas sebagai lapik untuk melihat bayang kayu tegak. Benang diregangkan sejajar dengan bayang matahari pada waktu yang ditetapkan. Rajah pedoman suria kemudiannya dijajarkan dengan benang pada waktu tersebut. Seterusnya benang kedua dijajarkan dengan garis arah kiblat pada rajah, dan benang kedua tersebut adalah arah kiblat lokasi berkenaan.

Diharapkan penerangan dan praktik yang dilaksanakan pada kursus tersebut dapat dikembangkan praktiknya sekembalinya peserta ke tempat masing-masing.

Amin.

Sunday, November 22, 2009

Ilmu Falak

Kali ini, jom berbicara lebih serius. Namun tidaklah ini menjadi penulisan ilmiah. Membaca penulisan Prof. David A. King dalam dokumen Training For Trainers: Seminar On Islamic Astronomy, 3-5 Nov 2009 di INSTUN, Perak, yang lepas, adalah pendorong penulisan ini.

Penulis mendapati wujud pemahaman yang silap (atau keliru) mengenai definisi ilmu falak, peranan dan fungsi ilmu ini yang sebenar.

Umum melihat ilmu falak (terutama istilah falak syarie) yang menjurus kepada ilmu hisab, ilmu hitungan objek angkasa untuk penentuan arah kiblat, waktu solat, takwim dan waktu sahaja, dan melihat hukum (nas al quran dan al hadith) mengenai arah kiblat, solat dan takwim sebagai elemen yang lain, atau lebih mudah - hukum asal atau hukum utama (hadaf) seperti dalam al-quran/al-hadith, manakala ilmu falak adalah wasilah kepada hadaf tersebut.

Penulis bukan pakar. Namun 'jurang' yang wujud antara ilmu falak dan hukum fiqh di atas pada pandangan penulis, antara penyebab sehingga hari ini, aspek 'rukyah' dan 'hisab' masih hangat diperdebatkan.

Mari kita buka sedikit pemikiran kita, renungkan beberapa ayat al-quran yang menceritakan mengenai alam semesta. Penceritaan tersebut tidak langsung menyentuh mengenai apa-apa hukum, melainkan hukum alam ketetapan Allah swt (Sunnatullah) untuk pengetahuan, kajian dan kegunaan (faedah) kehidupan manusia, sebagai mangkin keimanan kepada Allah swt jua.

Kajian ilmu falak mendapati penceritaan dalam al-quran adalah benar, membuktikan al-quran itu benar. Maka penceritaan dalam al-quran adalah 'hint' kepada perkembangan ilmu falak, yang dihayati sepenuhnya dalam sejarah astronomi Islam.

Pembahagian Ilmu Falak

Ilmu Falak terbahagi kepada dua bahagian,

(1) Bahagian pencerapan (observasi atau 'rukyah'), dan
(2) Bahagian matematik (hitungan atau 'hisab')

Bahagian pencerapan boleh kita temui dalam dasar hukum fiqh (nas al-quran dan al-hadith) mengenai waktu solat contohnya, di mana awal waktu dan akhirnya dirujuk kepada fenomena alam yang boleh dicerap oleh manusia biasa, walaupun mereka yang kategori tumpul ilmu pun, mampu melakukannya. Dengan kata lain, bahagian pencerapan dalam ilmu falak boleh dilaksanakan hampir oleh semua orang. Hukum fiqh yang melibatkan aspek ilmu falak, kebanyakannya berada dalam kategori ini. Hikmahnya jelas, menjadikan ibadat itu mudah dilaksanakan. Tetapi kita dapati dalam aspek pembahagian harta pusaka contohnya (faraidh), disebabkan ia melibatkan ramai orang, dan kesannya besar jika tersilap dan sebagainya, hukum fiqh berkaitan harta pusaka tidak begitu mudah, bahkan ilmunya tidak dikuasai oleh semua orang. Setiap satu ada hikmahnya, walaupun hikmah yang hakiki jarang diketahui.

Bahagian matematik dalam ilmu falak adalah lanjutan kepada bahagian pencerapan. Hasil atau fakta) pencerapan yang dikumpul, kemudiannya dianalisis. Dapatan daripada analisis cerapan, dibentuk menjadi suatu hukum umum (Sunnatullah). Inilah dasar ilmu - mengkaji tabie makhluk, untuk memahami sunnatullah. Bahagian ini tentunya tidak mampu dikuasai oleh semua orang, sepertimana ilmu faraidh jua.

Justeru apabila melibatkan semua orang, seperti penentuan awal bulan (puasa contohnya), sudah sepatutnya ia diserahkan kepada pihak dengan kepakaran yang lebih tinggi (sama kes dengan faraidh). Manakala tentang awal waktu solat, tentulah terserah kepada individu. Namun dalam kes jamaah seperti Jumaat - kembali kepada ketetapan pihak berkuasa (paling rendah pun - imam masjid - yang telah diberi kuasa).

Berdasarkan penjelasan di atas, 'rukyah' dan 'hisab' sebenarnya adalah merupakan dua komponen dalam disiplin ilmu falak. Inilah maksud penulis mengenai kekeliruan definisi ilmu falak, berkenaan isu 'menerima hisab atau rukyah, atau kedua-duanya sekali?' yang masih hangat hari ini.

Menjadi ahli falak, memerlukan penguasaan kedua-dua bahagian disiplin ilmu tersebut.

WalLahu a'laam.

Wednesday, October 28, 2009

Hilal

Sekali lagi terbaca komen tentang bulan sabit yang kelihatan pada petang hari ke 30 hijriyah itu adalah anak bulan atau tidak.. kali ini dengan istilah 'secara teknikalnya ia bukan hilal. Hilal sepatutnya berusia kurang satu hari (24 jam)'.

Baik. Ini merupakan kes rukyah awal Zulkaedah 1430 baru-baru ini. Pada petang hari rukyah, umur bulan ketika matahari terbenam adalah kira-kira 5 jam lebih (pukul rata bagi seluruh Malaysia). Namun tempoh 5 jam lebih tidak memisahkan bulan dengan matahari dengan ketara, justeru bulan terbenam hampir sama dengan waktu matahari terbenam (faktor jarak bulan bumi - hampir apogee). Menurut hisab, anak bulan disabitkan tidak wujud kerana tidak memenuhi ciri memungkinkan ia boleh kelihatan pada petang tersebut. Rukyah yang dilaksanakan turut mendapat keputusan yang sama.

Petang hari esoknya, ketika matahari terbenam, umur bulan adalah 24 jam + 5 jam lebih = lingkungan 30 jam.

Jika kita menerima secara 'teknikal' bahawa bulan sabit yang kelihatan petang hari 30 adalah bukan anak bulan, maka secara 'teknikal' anak bulan Zulkaedah 'tidak ada?' Atau secara 'teknikal' juga, bulan sabit yang tidak boleh kelihatan pada petang hari 29 itu, adalah anak bulan???

Hilal adalah 'tanda' yang muncul/wujud selepas Maghrib malam awal bulan baru, iaitu malam 1hb hijriyah. 'Tanda' inilah yang dikesan melalui kaedah rukyah yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Apabila tanda ini dikesan, maka bermulalah bulan baru. Jika tidak dapat dikesan, teruskan ke hari 30. Ketiadaan tanda ini pada hari ke 29, menunjukkan kewujudannya pada hari ke 30, namun ketiadaan hari ke 31, menjadikan hari ke 30 tidak penting untuk rukyah lagi. Hari ini, masih ada negara yang menggunakan kaedah ini (tanpa hisab) sehingga hari rukyah mereka jatuhnya pada hari raya di negara kita. Bagaimana? kegagalan mengesan kewujudan anak bulan pada bulan-bulan sebelumnya, telah mewujudkan anjakan satu hingga dua hari kepada bulan-bulan berikutnya.

Kaedah hisab yang bertambah baik, membolehkan jangkaan kenampakan dibuat dengan lebih jitu. Menjadikan rukyah lebih sistematik dengan data dan peralatan yang lebih berkesan. Rukyah yang dilaksanakan telah menjadi metod saintifik bagi memajukan justifikasi kenampakan anak bulan. Ini menjadikan rukyah pada hari 29 atau 30 amat penting.

Kamus Dewan, mendefinisikan anak bulan sebagai 'bulan sebagaimana yg kelihatan pd hari pertama sesuatu bulan Hijrah'. Adalah bulan (anak bulan/hilal) yang kelihatan selepas Maghrib, tidak kira ia petang 29 atau 30 hijriyah. Ia bukan bulan sabit petang 1hb, kerana ia adalah bulan sabit malam 2hb.

Justeru, apa sebenarnya maksud 'teknikal' tersebut?

Thursday, October 15, 2009

Minatkah Mereka?

Setelah sekian lama (walau tidaklah selama orang lain yang lebih lama.. hehe) terlibat dalam bidang ini, dengan peranan kecil yang dipercayai orang lain, akhirnya diri ini percaya bahawa rumusan sendiri sudah boleh diketengahkan....

Setelah sekian lama, timbul soalan ini : Minatkah mereka dengan Imu Falak ini?

Menyentuh soal minat, bukan diri ini pakar dalam aspek berkenaan, malah tidak wajar untuk membuat rumusan terhadap sesuatu yang tidak ada kajian (sendiri) pun mengenainya.

Apa yang boleh diutarakan adalah sekadar pandangan peribadi, berdasarkan pemerhatian rambang terhadap beberapa acara yang berkaitan dengan Ilmu Falak dan sambutan yang diberikan terhadap acara tersebut.

Katakan suatu acara diadakan di suatu lokasi, sambutan terhadap acara tersebut adalah berdasarkan jawapan atau ulasan berikut, bermula dengan sambutan baik hingga sebaliknya:-

  1. Bagus program begini, patut diadakan lebih kerap.
  2. Alhamdulillah, bertambah ilmu.
  3. Bagus acara ini, tetapi masanya kurang sesuai. Tidak dapat ikut semua acara.
  4. Bagus, tetapi promosi kurang.
  5. Bagus, tetapi lokasi terlalu jauh.
  6. Sudah bagus, tetapi lebih bagus kalau beberapa acara berikut (.................) turut dimasukkan.
  7. Apa hala tuju program ini?
  8. Ilmu Falak ni apa?
  9. (Maklumat tidak sampai.... hehe)
Jika kajian statistik jawapan dibuat, mungkin rumusan yang lebih menarik diperolehi, seterusnya tindakan susulan untuk menarik minat kehadiran... dapat dilakukan...

Ilmu Falak... kadangkala.. meletihkan... mungkinkah ini punca kurangnya minat?

Macam mana hendak bagi seronok?

hehe..mikir ler....

Friday, October 2, 2009

Halo of The Moon

Malam semalam atau malam kemareng kata orang Teganu, berlakulah satu fenomena yang menarik sungguh. Fenomena halo, dan ia berlaku kepada bulan, jadi disebutlah ia moon halo. Memang indah, paling indah pernah aku tengok dengan mata aku sendiri.

Sayangnya aku takde kamera canggih manggih hingga boleh ambik gamba macam gamba kat tolahah.com ni... memang lawa. hehehe

Halo terjadi bila suhu rendah menghasilkan kristal ais dalam awan, lalu menghasilkan reflek cahaya bulan (atau matahari) yang membentuk lingkaran cahaya putih atau berwarna bagai pelangi dalam radius 22 degree dari bulan.

aku shot jugak gamba, guna kompak kamera, pastu ejas ngan gamma kat pc.. jadi la jugak heheheheh.. nak wat ganer...

Yang jadikan ia lebih best, planet Jupiter atau Musytari ada dekat je dengan bulan dalam lingkaran halo tu... tapi ada jugak yang kata ia bintang... hehe.. yerlah.. tak tahu nak wat camner... yg tahu jangan buat tak tahu dah le...

orait.. jumpa lagi.. bila aku dah ada cam mahal nanti hehehe

Monday, September 28, 2009

Testing system date

Berjaya juga buat sistem untuk papar tarikh ikut imkanurrukyah.

kodnya di bawah:-

<iframe src="http://www.falak.udm.edu.my/main/modultarikh3.php" marginheight="1" marginwidth="1" scrolling="no" width="260" frameborder="0" height="16">
<p>frame not supported<p></iframe>

dan hasilnya...



dengan frameborder=1 :-



APA PERLU DIBUAT?

Hanya copy kod di atas, paste pada line kod html anda yang anda kehendaki paparannya berada. Itu saja. Hanya satu saiz dan bentuk paparan buat masa ini.

Harap berguna jua.

Tuesday, September 8, 2009

Peranan Ilmu Falak

Oleh kerana ini hanya penulisan biasa, saya fikir tidak perlulah terlalu ilmiah dari segi rujukan. Namun buku yang sesuai boleh dibaca seperti buku Ilmu Falak penulisan Baharrudin Zainal, terbitan DBP antaranya.

Ilmu Falak adalah ilmu mengenai pergerakan objek di angkasa. Sedap sebut, ilmu orbit. Dalam budaya Melayu, ilmu falak adalah ilmu yang digunakan untuk menentukan waktu solat, kiblat, puasa dan lagi yang berkaitan dengan ibadat. Rupanya pemahaman begini ada juga bahayanya, apabila ilmu falak hanya dilihat sebagai kaedah untuk menentukan perkara di atas sahaja, bukan lebih besar dari itu.

Ilmu Falak mempunyai ruang peranan yang lebih luas. Mengambil isu kiblat, solat dan puasa sahaja, sudah cukup untuk membincangkan peranan ini. Kiblat, solat dan puasa adalah amalan yang berbeza, tetapi dalam rutin kehidupan yang sama. Setiap hari kita bersolat, lima waktu. Setahun sekali berpuasa. Namun jangan lupa perkara sunat, solat sunat, puasa sunat yang juga ada waktu dan tempoh yang perlu dipatuhi atau sunat bertukar menjadi haram dan berdosa melaksanakannya.

Kepatuhan terhadap detik suatu amalan perlu dilakukan atau ditinggalkan, memerlukan satu satu sistem khusus, atau kita akan teraba dalam kelam waktu, tidak tahu sama ada sudah subuh atau belum, boleh berbuka atau belum, dan sebagainya lagi. Keperluan terhadap suatu sistem inilah menyebabkan perkembangan ilmu yang melahirkan istilah ilmu falak.

Ilmu falak adalah ilmu yang berperanan membentuk sistem yang diperlukan oleh umat Islam yang dalam keadaan teraba-raba untuk melaksanakan perintah Allah swt dengan baik dan sempurna (awal waktu itu afdal, dsb.). Sistem itu dibentuk dalam jadual khusus yang disebut jadual waktu solat, jadual arah kiblat (sebagaimana sejarah Khalifah Al Makmun yang memerintahkan ahli falaknya membangunkan jadual arah kiblat lebih 3000 bandar), jadual yang dikenali sebagai takwim yang terdiri daripada hari, bulan dan tahun.

Jadual waktu solat pula dibangunkan berdasarkan waktu harian, yang peringkat awalnya merupakan susunan makluman ketinggian matahari yang bersesuaian dengan waktu solat, seterusnya sistem waktu harian 24 jam, penggunaan jam suria, sehinggalah jam yang lebih moden, membolehkan susunan jadual waktu solat dipaparkan berdasarkan waktu/masa.

Hari ini waktu solat berdasarkan waktu 24 jam ini, dan tarikh/takwim tahunan dipaparkan dalam satu dokumen yang kita kenali sebagai takwim hari ini. Kemudahan yang kita perolehi hari ini telah melupakan kita akan susah payah masa silam, bagaimana hitungan waktu solat dilakukan untuk setiap hari menggunakan buku log dan jadual cakerawala, tanpa mesin kira atau komputer seperti hari ini. Peranan masih sama, cuma teknologi mempercepatkan hitungan sehingga suatu jadual satu tahun dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat.

Ambil takwim tahunan terbitan negeri anda, renungkan sejenak setiap muka surat, dari awal hingga akhir, lihat maklumat yang tertera. Semuanya adalah berdasarkan hitungan komputer. Bayangkan jika hitungan secara manual.....

Lihat tarikh 1 Ramadhan, 1 Syawal, dan 10 Zulhijjah. Ia hanya 3 hari dari keseluruhan 354/355 hari setahun. Sedangkan ilmu falak digunakan untuk menentukan setiap hari dalam setahun. Tanpa maklumat setiap hari itu, bagaimana mungkin anda menunaikan solat 5 waktu dengan tenang, apalagi solat jumaat setiap 7 hari.

Renungkan..

Allah Maha Mengetahui.

Wednesday, August 26, 2009

Bila puasa, bila raya

Soalan maut tiap kali menjelang awal ramadhan dan syawal. Awal Zulkaedah lain sikit. Sebab raya 10hb. stress tak tinggi macam nak raya puasa. Kut raya 'dan dan', susah terkejut tergempar nak buat itu ini.

Tahun 1430 ni, agak menarik.

Isunya sama - anak bulan. Agak-agak anak bulan ada ke tidak? Agak-agak.

Cuba tukar ayat tu jadi begini:

1) Agak-agak matahari dah atas kepala belum? Nak solat Zohor ni.
2) Agak-agak dah fajar sadiq belum? Nak solat subuh ni.

nak sedap lagi...

1) Agak-agak zohor nanti matahari dah atas kepala belum?

Ada ke soalan begini?

Takde? Apa sebab takde? Tengok jam. Peduli dengan matahari. Kita yakin (atau tidak tahu pun) yang matahari sentiasa menurut jadual pergerakan yang ditetapkan, yang kita manusia diberi izin untuk mengetahui jua jadual tersebut, lalu kita pun bolehlah membuat jadual untuk kita sendiri - jadual waktu solat - contohnya.

Anak bulan - adalah bulan fasa sabit paling muda dalam kitaran fasa bulan untuk satu bulan qamariah. Jika bulan suku muda adalah bulan bagi malam ke 7/8 qamari, bulan purnama malam ke 14/15 qamari, bulan suku tua malam ke 21/22 qamari, bulan sabit termuda ini (anak bulan/hilal) adalah pada malam 1 qamari. Oleh kerana satu bulan qamari adalah 29 atau 30 hari, maka anak bulan boleh wujud pada petang hari ke 29 atau hari ke 30.

Bulan, seperti matahari, terbit di ufuk timur dan terbenam di ufuk barat setiap hari. Namun perbezaan masa terbit terbenam harian berbanding dengan matahari begitu besar, 50 minit hingga 1 jam sehari, dibandingkan dengan matahari. Contoh:

19 Ogos 2009
Matahari terbit 7.03 pagi, bulan terbit 5.38 pagi
Matahari terbenam 7.21 malam, bulan terbenam 6.15 petang
(bulan terbit dahulu, terbenam pun dahulu)

20 Ogos 2009
Matahari terbit 7.03 pagi, bulan terbit 6.38 pagi
Matahari terbenam 7.20 malam, bulan terbenam 7.14 petang
(bulan terbit dahulu, terbenam pun dahulu)

21 Ogos 2009
Matahari terbit 7.03 pagi, bulan terbit 7.38 pagi
Matahari terbenam 7.20 malam, bulan terbenam 8.04 malam
(bulan terbit kemudian, terbenam pun kemudian - selepas matahari terbenam, bulan belum terbenam untuk wujud sebagai anak bulan, iaitu bulan sabit bagi malam 1 Ramadhan)

Berdasarkan maklumat di atas, sebenarnya kita boleh mengagak, bila bulan akan terbenam pada 22 Ogos, iaitu - matahari terbenam masih lingkungan 7.20 malam bila berbuka kali pertama, manakala bulan kira2 jam 9 malam. Bulan yang kita lihat pada ketika ini adalah bulan yang sudah berusia 1 hari lebih, kerana bulan sabit ini adalah bulan sabit bagi malam 2 Ramadhan. Besar kan? memanglah. dah masuk hari ke 2.

Allah jua yang Maha Mengetahui.

Monday, February 23, 2009

What's in the sky

In the sky. Di dalam eh. Apa ada di langit. Langit ada bintang, bulan, matahari. Melihat dari bumi. Empat perkara ini sahaja dalam bahasa melayu. Bila lihat meteor... amender meteor? hehe.. keluar istilah tahi bintang. Sedap je kata bintang tu berak. Macam tahi minyak.

Bila dah sekolah jumpa istilah planet. Dah diMelayukan istilah tu. Jadi takde le istilah planet dalam bahasa melayu eh?

Lain dari itu? Ada nebula. Ada komet. Ada partikel angkasa (sky debris). Ada apa lagi.. apa yang aku tak tahu... cari lagi lah.

Menyentuh tentang sky debris, rupanya Surah Saba' ayat 9 ada sebut pasal ni.



Jadi... Al Quran dah cerita pasal objek angkasa yang boleh memusnahkan makhluk bumi...

Orang Melayu tahu tentang ini bila? sejak orang putih perkenal subjek sains ke?

ish ish ish.. sedihkan?