Sunday, December 20, 2009

Cadangan Praktik Pelaksanaan Takwim Hijri Peringkat Global

Setelah mengikuti Muzakarah Falak 2009 pada 27hb - 29hb Zulhijjah 1430 di Melaka minggu lalu, penulis cukup bersetuju dengan cadangan pelaksanaan takwim hijri global oleh Prof Madya Dr Abd Halim Abd Aziz (USM).

Sebelum ini penulis diketengahkan dengan cadangan takwim hijri global dalam bentuk keseragaman tarikh menurut garis kenampakan anak bulan yang dicadangkan oleh Prof Ilyas (dahulunya berkhidmat di USM). Kini Dr Halim muncul dengan cadangan yang lebih praktikal pada pandangan penulis. Cadangan beliau adalah penggunaan sistem takwim hijri Istilahi atau Takwim Imkanurrukyah (menggunakan kriteria sederhana) peringkat global, dengan satu garis tarikh rujukan tetap dengan konsep seperti Garis Tarikh Antarabangsa juga. Takwim ini digunakan untuk urusan pentadbiran sahaja untuk kegunaan antara negara dunia. Manakala takwim yang digunakan untuk urusan ibadat dan perayaan masih berdasarkan kenampakan tempatan.

Arab Saudi sebenarnya telah menggunakan konsep ini, dengan memperkenalkan takwim agama dan takwim sivil. Takwim sivil untuk kegunaan pentadbiran menggunakan kaedah tertentu (kemungkinan wujudul hilal) manakala takwim agama berdasarkan laporan kenampakan. Penggunaan dua jenis takwim dalam satu negara tidak sesuai pada pandangan penulis, tetapi untuk peringkat global, ia lebih praktik.

Berdasarkan laporan terdahulu, didapati beberapa negara menyambut perayaan sehingga berselisih 3 - 4 hari antara satu negara dengan negara lain. Dengan penggunaan satu takwim awam global sebagai rujukan pentadbiran, sekurang-kurangnya takwim ini dapat menjadi penunjuk kepada kenampakan tempatan yang kewajaran selisihnya adalah kurang lebih 1 hari sahaja (atau maksimum 2 hari). Ini dipercayai dapat mendidik umat Islam ke arah penggunaan takwim yang lebih baik.

Penulis mendoakan semoga cadangan ini dapat dibawa contohnya untuk perlaksanaan awal, di peringkat negara-negara OIC.

Semoga berjaya.

Amin.

No comments: