Wednesday, December 9, 2009

Tahun Baru Dan Kisah Anak Bulan

Kali ini penulis memilih tajuk 'Tahun Baru Dan Kisah Anak Bulan' sebagai topik bulan 12 tahun 1431 dan 2009.

Setiap tahun pelbagai mesej baru atau ulangan akan dihidangkan kepada pembaca di mana sahaja, televisyen, akhbar malah majalah dan komik sekalipun.

Namun penulis mampir dengan mesej yang bukan baru, tetapi hubungannya kurang diserlahkan kepada pembaca. Itu sahaja.

Tahun baru 2010 akan tiba. Demikian juga tahun baru 1431. Cuma tahun baru 2010 tidak berkait langsung dengan anak bulan, tidak seperti tahun baru 1431. Tetap berkait dengan anak bulan. Bukan hanya puasa dan hariraya sahaja. Nak sambut tahun baru kena tengok anak bulan juga. Tidak penting. Siapa kata? Semua orang kata kut... tetapi penulis tetap kata ia penting. Kenapa? Banyak majlis akan diadakan. Semua sudah ditetapkan tarikhnya. Sudah ada jemputannya. Awal Muharram adalah 18 Disember 2009. Majlis menyambut tahun baru 1431 adalah pada 17 Disember.

Hari rukyah adalah 29 Zulhijjah. Hari penentu bulan tersebut 29 atau 30 hari. Tarikh Miladinya 16 Disember. Kenapa tidak majlis itu dibuat 16 Disember? Mana tahu takdir Allah anak bulan muncul kelihatan? Tetapi majlis doa akhir tahun dibaca sebelum Maghrib. Anak bulan hanya muncul selepas Maghrib. Macammana nak baca doa sebelum Maghrib jika akhir tahun belum diketahui?

Jawapan akhir adalah kerana penggunaan hisab falak. Malaysia menggunakan hisab falak, bukan rukyah. Maka itu jugalah pandangan terhadap kes puasa dan hariraya. Guna hisab falak juga, bukan rukyah. Rukyah yang dibuat itu hanya membazir sahaja.

Penulis telah bincangkan mengenai pembahagian ilmu falak dalam penulisan sebelum ini (Ilmu Falak). Buka minda. Seorang pejalan darat atau laut(zaman dahulu) menggunakan bintang sebagai panduan. Semua orang tahu ini. Soalannya, bagaimana caranya? Yang ini tidak semua orang tahu. Anda juga mungkin tidak tahu. Sedangkan Quran menceritakan mengenai perkara ini. Tetapi anda tidak tahu caranya.

Demikian soal anak bulan. Anak bulan hendaklah dirukyah. Boleh dikatakan semua orang tahu apa itu rukyah. Alah.. melihat anak bulanlah. Soalannya, bagaimana caranya? Andakah anda pasti anda tahu caranya?

Melihat bintang, adalah sebahagian praktik ilmu falak. Hitungan dan yang selanjutnya adalah sebahagian lagi yang menyempurnakan praktik ilmu falak. Demikian juga melihat anak bulan, juga sebahagian praktik ilmu falak. Hitungan dan selanjutnya, adalah sebahagian lagi. Apa buktinya? Melihat bintang tanpa sedikit pun ilmu falak, umpama melihat spesis baru haiwan yang anda tidak kenali langsung.

Justeru rukyah yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w. adalah dengan ilmu, sekurang-kurangnya ilmu mengenai rukyah sahaja. Tidak ada kewajipan dalam ibadat, yang anda boleh lakukan tanpa ilmu. Betulkan?

Rumusannya, pelajarilah mengenai ilmu falak, aspek rukyah dan hisabnya, sebelum anda mengulas mengenai kedua-duanya. Mengulas tentang sesuatu tanpa ilmu mengenainya, ibarat menjahit baju di malam hari. Baju belum tentu terjahit, tangan pula tercucuk jarum.

Allah Jua Yang Maha Mengetahui.

No comments: