Tuesday, December 1, 2009

Pedoman Suria - Kaedah Praktik Penentuan Arah Kiblat

Pedoman Suria - mengambil istilah lama 'pedoman' bagi kompas, dan 'suria' merujuk matahari. Jadi, Pedoman Suria adalah Kompas Matahari. Merupakan satu kaedah penentuan arah mata angin menggunakan posisi matahari sebagai rujukan, merupakan suatu kaedah daripada pelbagai kaedah tradisional dalam usaha mendapatkan arah Utara (dan arah kiblat).

Kaedah ini ditonjolkan melalui Kalkulator Falak di laman web Unit Falak UDM (www.falak.udm.edu.my). Kaedah ini kemudiannya diajar kepada peserta Program Sijil Falak UDM, selain kursus-kursus berkala yang dianjurkan oleh Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berkaitan arah kiblat.

Kali ini penulis terlibat sebagai fasilitator bagi Kursus Falak (Modul Amali Ilmu Falak) bermula 12 - 15 Zuhijjah 1430 (30 Nov - 2 Dis 2009), bertempat di Hotel De Palma, Kuala Selangor. Kursus ini adalah anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan Dr Baharrudin Zainal sebagai penceramah.

Untuk kursus ini, penulis terlibat mengenengahkan kaedah praktik carian maklumat falak dalam internet, dan kaedah penggunaan Pedoman Suria untuk penentuan arah kiblat.

Walaupun matahari hanya muncul sekejap-sekejap, ia tetap memberi peluang kepada urusetia/peserta untuk menandakan garis bayang matahari yang muncul seketika.



Ternyata kaedah Pedoman Suria memberikan kelebihan berbanding kaedah lain, namun Pedoman Suria hanya kemudahan yang disediakan melalui Internet, kemudahan yang hanya boleh digunakan oleh anda yang dapat membaca tulisan ini.



Walaupun tiada tanah lapang, kawasan berumput masih boleh dimanfaatkan dengan menggunakan kertas sebagai lapik untuk melihat bayang kayu tegak. Benang diregangkan sejajar dengan bayang matahari pada waktu yang ditetapkan. Rajah pedoman suria kemudiannya dijajarkan dengan benang pada waktu tersebut. Seterusnya benang kedua dijajarkan dengan garis arah kiblat pada rajah, dan benang kedua tersebut adalah arah kiblat lokasi berkenaan.

Diharapkan penerangan dan praktik yang dilaksanakan pada kursus tersebut dapat dikembangkan praktiknya sekembalinya peserta ke tempat masing-masing.

Amin.

No comments: