Pages

Monday, December 22, 2014

Menjelang Rabiul Awal 1436

Salam pembaca budiman.

Safar 1436 ke penghujung. Maghrib nanti Rabiul Awal menjelma berdasarkan data berikut;


Menjelang maghrib nanti (22 Dis 2014), bersamaan akhir 29 Safar 1436, Hilal disabitkan wujud berdasarkan hitungan di atas yang menunjukkan ia "ada dan boleh nampak dalam keadaan biasa". Cerapan yang dilakukan adalah untuk pengesahan sebagai bukti "syahadah" bagi hitungan tersebut. Namun ketika ini, potensi untuk nampak adalah tipis disebabkan faktor cuaca yang "bukan dalam keadaan biasa". Bagi mereka yang berada di lokasi atau negara yang lebih barat dari Malaysia dengan cuaca yang lebih baik, peluang nampak adalah lebih cerah. Menjelang maghrib nanti, waktu tempatan anda, cuba perhatikan pada kedudukan seperti dalam rajah di atas. Hilal berada di sebelah kanan (sekitar 5°) dari tempat matahari terbenam, dan ketika maghrib, ketinggian Hilal sekitar 4°.

Bagaimana menentukan sudut 4° atau 5°? Gunakan jari tangan anda untuk mengukur. Luruskan lengan anda, ukur sudut seperti petunjuk rajah di bawah;


Selamat mencuba.


Wednesday, November 26, 2014

Azimut Objek Tanda Rujuk Dengan Kaedah Interpolasi Koordinat

Salam.

Penentuan Azimut Objek Tanda Rujuk (T.R) menggunakan Cerapan Matahari (Solar Observation) merupakan kaedah yang penulis pelajari semasa mengikuti kursus Falak suatu ketika dahulu. Kaedah ini juga yang diajar kepada peserta kursus Falak sehingga hari ini. Kaedah ini asalnya merupakan salah satu kaedah Ukur Tanah yang dipermudahkan tatacaranya sesuai dengan objektif amali Falak.

Kaedah Cerapan Matahari dilakukan ketika Matahari masih rendah di ufuk Timur atau Barat sebelah petangnya. Dilakukan sekitar jam 8 - 9 pagi, 5 - 6 petang secara umum. Ia juga terhad kepada faktor 'kelihatan' Matahari untuk dicerap.

Amali Falak tidak memerlukan prosedur ketat sebagaimana kaedah Ukur. Justeru penulis meneliti kaedah penentuan sudut dari aspek matematik dan 'engineering', selain kaedah Ukur yang pelbagai. Setelah melakukan beberapa ujian, penulis merumuskan kaedah interpolasi koordinat boleh diaplikasikan sebagai alternatif kepada kaedah Cerapan Matahari, ketika 'ketiadaan' Matahari, dengan tahap kejituan yang sesuai untuk aplikasi Ilmu Falak seperti Penentuan Arah Kiblat dan Cerapan Hilal. Tahap kejituannya penulis anggap tidak sesuai untuk kerja-kerja Ukur.

Tatacara Kaedah Interpolasi Koordinat


  1. Dapatkan koordinat (latitud/longitud) stesen cerapan dengan sebarang peranti GPS. Untuk kejituan lebih tinggi, gunakan nilai koordinat sehingga perpuluhan saat.
  2. Dapatkan koordinat objek tanda rujuk dengan langkah yang sama. Contoh, jika objek tersebut adalah menara pencawang, seseorang perlu ke menara tersebut untuk mendapatkan koordinatnya menggunakan peranti GPS. ATAU
  3. Gunakan kemudahan peta laman web 'Google Maps' untuk mendapatkan koordinat objek berkenaan, itupun jika objek tersebut boleh dikenalpasti kedudukannya dalam peta. Jika tidak dapat dikenalpasti, anda perlu lakukan langkah (2).
  4. Menggunakan perisian ringkas yang penulis bangunkan sendiri (contoh gambar di bawah), Masukkan koordinat stesen dan tanda rujuk dalam ruang disediakan dan nilai azimut objek tanda rujuk akan diperolehi.
  5. Sekali lagi penulis tegaskan, nilai azimut yang diperolehi melalui kaedah ini tahap kejituannya tidak sebaik kaedah Cerapan Matahari, namun ia memadai dan sesuai untuk aplikasi Ilmu Falak.
  6. Menggunakan nilai tersebut, anda boleh menentukan Arah Kiblat atau membuat Cerapan Hilal menggunakan peralatan seperti Teodolit, atau sebarang instrumen atau kaedah lain yang sesuai.

WalLahu a'alam.


Thursday, November 6, 2014

Berita

Sepatutnya dalam satu struktur masyarakat...ada ramai pendidik dan pembantu bimbing...sorang jer kadi, hakim atau penghukum. Kalau ramai penghukum, huru hara negara.
( Mohd Nor Mamat - UiTM)

Berita (news) selalunya menumpu kepada suatu yang baru (new) bagi menarik pembaca (sebab ia dipanggil 'news'). Tidak kira media perdana atau tabloid (selalunya). Media sosial juga tidak terkecuali, pun ada 'media perdana', ada tabloid dan pihak ketiga - pihak atau individu yang 'suka-suka' atau 'berkepentingan', termasuk pihak/individu yang suka 'menjadi pendahulu' atau 'pemberita terawal'.

Kematangan kita, ilmu kita perlu menjadi 'penapis' kepada 'berita baru' (news) ini, dengan meneliti sumber berita itu adalah;


  1. kumpulan ramai individu atau banyak pihak yang berhati-hati dan boleh dipercayai, atau
  2. seorang individu atau satu pihak yang berhati-hati dan boleh dipercayai, atau
  3. kumpulan/individu/pihak yang tidak berhati-hati hingga tidak boleh dipercayai.


Langkah awal menilai suatu berita adalah 'mengenali sumber'. Sumber 'tidak dikenali' perlu disenaraikan sebagai sumber ke-3. Sekalipun kandungan beritanya memetik 'sumber yang dikenali'. Kandungan berita dengan pemberita adalah berbeza. Apabila berita yang sama dibawa oleh 'orang lain yang dikenali', maka sumber 'tidak dikenali' tadi boleh dianggap dikategori pihak ke-2 atau ke-1.

Sikap kita, tindakan kita yang betul in-sya Allah boleh memastikan hanya berita yang 'authentic' sahaja tersebar. Biarlah kita mendiamkan berita benar, daripada menyebarkan berita tidak benar. Ia lebih baik untuk maslahat umat Islam.

Belajar berilmu.

Wednesday, November 5, 2014

Celestron Power Tank

Salam.

Tulisan kali ini sedikit berbeza, tetapi masih dalam ruang lingkup aktiviti falak. Tujuan kali ini untuk berkongsi pengalaman penulis menggunakan bateri mudah alih Celestron Power Tank 17 seperti gambar di bawah.

Alat milik UniSZA ini amat berguna untuk aktiviti luar disebabkan pelbagai fungsi yang ada padanya. Ketahanan bateri juga cukup memuaskan apabila membolehkan penggunaan teleskop kecil/sederhana beberapa kali seminggu dengan setiap sesi penggunaan lebih 2-3 jam, tanpa perlu cas semula setiap kali. Baru-baru ini, disebabkan tempoh cas semula yang jarang dilakukan, menyebabkan bateri ini telah mengalami 'full discharge'. Betul-betul kosong. 

Apabila cubaan mengecas semula dilakukan dengan pengecas dibekalkan, powertank ini bertindakbalas - serentak dengan bunyi 'klik', lampu indikator merah tanda sedang dicas juga padam serta merta. Bila ulang langkah di buat - tutup suis, OFF butang merah (ON-OFF-CHA). Hidupkan suis, tekan butang merah kepada CHA, lampu indikator charging menyala sekejap, dan padam serentak dengan bunyi 'klik'. Usaha mengecas gagal, walau diulang berkali-kali langkah di atas.

Setelah diteliti menerusi forum dan pelbagai sumber, diketahui bahawa powertank ini mempunyai sistem 'halangan atau penyekat' (istilah penulis sendiri) apabila cubaan mengecas dilakukan apabila keadaan 'fully discharge'. Alat ini memutuskan litar input caj 15V disebabkan ia 'menganggap input power terlalu tinggi'. Mengecas dengan pengecas 15V dibekalkan tidak akan berhasil. Ia bukan rosak. Berikut cara mengatasinya.

1. Cas semula bateri ini memerlukan kaedah 'deep cycle charging'. Anda memerlukan 'deep cycle charger' untuk melakukan proses ini. Carilah pada mana-mana pembekal atau kedai elektronik.

2. ATAU - anda boleh melakukan 'deep cycle charging' secara manual. Begini. Dapatkan transformer multi voltage, di kedai biasanya membekal voltan dari 3V hingga 12V. Seperti imej di bawah.

3. Setkan butang merah pada CHA. Setkan kuasa voltan pada 9V. Jika gagal (lampu merah padam dan bunyi klik) setkan pada voltan lebih rendah - 7.5V atau 6V. Biarkan ia 'charging' beberapa jam.

4. Naikkan voltan satu 'step' lebih tinggi. Biarkan beberapa jam. Ulang langkah di atas beberapa kali hingga mencapai voltan 12V dan lampu merah tidak padam. Biarkan beberapa jam. 

5. Cuba dengan pengecas asal 15V dan bila lampu merah 'charging' tidak padam, usaha anda berhasil. Powertank anda boleh terus dicaj seperti biasa,

6. Pastikan anda mengecas powertank anda selepas digunakan. Jangan tunggu hingga ia 'habis' atau 'fully discharge' kerana anda terpaksa melakukan langkah di atas sekali lagi. Jika masih gagal mengecas, powertank anda mungkin telah 'kong'.

Moga bermanfaat.


Saturday, November 1, 2014

Sains

Sains adalah ilmu mengenai tabie makhluk berdasarkan hasil pemerhatian turun temurun (empirik). Suatu fakta adalah hasil drpd pemerhatian atau eksperimen yg berulang-ulang (dan memberi hasil yg sama). Suatu 'fakta yg baharu’ dan belum melalui penilaian empirikal, belum menjadi fakta, bahkan masih berstatus ‘teori’ atau ‘hipotesis’ yang belum diuji (andaian awal). Perkara ‘ghaib’ dan "sam'iyyat" antaranya menjadi asas atau rukun iman, yg pasti tidak dapat diuji melalui penilaian sains. Kiamat adalah kepercayaan ia akan berlaku, tanpa memerlukan ‘bukti saintifik’, apalagi jika bersandarkan ‘fakta’ yang sebenarnya merupakan hanya ‘hipotesis’ atau andaian awal.

Belajar berilmu.

Monday, June 30, 2014

Brunei Darussalam

Alhamdulillah. Segala puji dipanjatkan kepada Allah Tuhan sarwa sekelian alam. Salawat dan salam kepada Baginda Nabi Muhammad dan Keluarga Baginda.

Rukyah Hilal Ramadhan 1435 ditaqdirkan Allah bagiku untuk berada di Negara Brunei Darussalam. Keberadaan penulis di sini adalah bagi memenuhi pelaksanaan Kursus Sijil Falak Syarie UNISSA-UniSZA 2014 yang bermula pada 11 Syaaban hingga 7 Ramadhan  ini.

Pada 29 Syaaban 1435 baru-baru ini, penulis berpeluang menyertai aktiviti rukyah Hilal Ramadhan 1435 yang diadakan di empat lokasi di Brunei - Menara DST, Bukit Agok, Bukit Lumut dan satu lagi yang tidak sempat penulis catatkan. Penulis dibenarkan berada di Bukit Agok, Jerudong.

Rukyah pada 29 Syaaban 1435 berakhir di Bukit Agok dengan pengumuman oleh ketua rombongan, Pengiran Haji Badaruddin tentang hasil rukyah malam tersebut. Laporan menerusi telefon kemudian dibuat kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah. 

Rukyah pada petang 30 Syaaban 1435 telah dilakukan pula bersama peserta-peserta kursus falak, pegawai-pegawai UNISSA dan pegawai-pegawai Jabatan Ukur Negara Brunei.

Rukyah tersebut berjaya mengesan dan merakamkan Hilal Ramadhan 1435 dari Bukit Agok. Suka penulis nyatakan bahawa Hilal atau Anak Bulan adalah merupakan bulan sabit pada malam menjelangnya 1 haribulan. Tidak kira petang itu 29 atau 30 haribulan.

Syukur dan juga ribuan terima kasih penulis ucapkan kepada semua pihak terbabit di Negara Brunei Darussalam. Moga kita bertemu kembali di lain masa.


Tuesday, May 20, 2014

Teliti

Salam sejahtera. Segala puji bagi Allah swt. Salawat dan salam ke atas Nabi dan keluarga Baginda.

Kumulakan dengan kisah ini,

Seorang anak bercerita tentang jumpaannya di tepi jalan berdekatan rumahnya. Dengan penuh yakin, anak ini bercerita dia bertembung dengan sekawan babi berwarna hitam. Terkejut mereka yang mendengarnya.

Musykil dengan ceritanya, kerana jumpa babi tidak semudah itu. Ditanya lagi, dia memberitahu tidak lama kemudian tuan babi muncul menghambat babi itu pulang. Makin menghairankan. Menjawab pertanyaan seterusnya tentang rupa babi, dia menceritakan babi itu berwarna hitam, tinggi dan bertanduk!

Jika yang bercerita itu anak remaja, atau seorang dewasa, apa lagi seorang terpelajar, pasti semua percaya akan kemunculan babi itu bukan? Sedangkan mereka yang terpelajar hari ini pun belum tentu sepanjang hayatnya pernah bertemu babi secara berdepan. Apa lagi kucing hutan, harimau kumbang, harimau akar, lotong, siamang, dan apa yang orang kampung sebut sebagai jentirah, yang saya sendiri belum jelas haiwan apakah ia sebenarnya....

Belajar berilmu.

Saturday, April 26, 2014

Berilmu

Bismillah.

Segala pujian bagi Allah. Salawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad dan Keluarga Baginda.

Wahai penuntut ilmu, belajarlah dengan memenuhkan ilmu di dada. Persiapkan dirimu dengan ketrampilan dan keupayaan sesuai dengan ilmumu. Seorang pendekar tidak akan berjaya dengan mengumpul sekian banyak buku silat. Seorang pendekar tidak akan berupaya dengan hanya menghafal kandungan buku silat. Ia mesti dihadam, dipraktik, dilatih sehingga tubuhnya keras dan padu, akalnya tajam menyusun jurus dan membaca laku.

Wahai penuntut ilmu. Dengan begitu, dikau akan mampu mewarisi tradisi ilmu guru-gurumu, menyambung tugas menyebar ilmu mempertahan agamamu dan usulmu.

Belajar berilmu.

Yang fakir menekan noktah.

Wednesday, April 23, 2014

Menjadi Ahli Falak

Menjadi ahli falak memerlukan minat. Selain itu anda perlu menjadi;

1. Ahli fotografi dan ahli alatan fotografi.

Objek yang dilihat perlu atau mesti dirakam sebagai bahan analisis kajian. Merakam objek angkasa memerlukan kemahiran. Lain objek, lain tekniknya. Lain objek, lain alatannya. Rakaman foto (disebut astrofotografi) merupakan salah satu metodologi kajian falak.

2. Ahli komputeran. Ilmu Pengaturcaraan adalah bonus, termasuk kejuruteraan perisian dan elektronik.

Komputer sudah sebati dengan aktiviti falak. Asturlab (astrolabe) merupakan sejenis komputer analog. Kalkulator menggantikannya, dan kini komputer. Namun tidak semua perisian memenuhi objektif kajian dan aktiviti falak. Ketika inilah ilmu pengaturcaraan, kejuruteraan perisian dan elektronik memainkan peranan.
 
3. Ahli matematik. Ilmu falak sinonim dengan matematik.



Fotogrammetri (betulkah ejaan ini?) dan sub-bidang 'positional astronomy', merupakan sebahagian aspek fotografi dan ilmu falak yang melibatkan matematik.

4. Ahli fizik. Fizik angkasa juga sinonim dengan ilmu falak. 


5. Ahli geomatik. Ilmu ukur tanah adalah keperluan, termasuk kemahiran instrumen berkaitan. 


6. Ahli mekanikal. Modifikasi peralatan adalah perkara biasa.
 

Lain objek, lain metod kajian atau pemerhatian. Sesetengah peralatan yang digunakan tidak dapat memenuhi objektif aktiviti berkenaan. Ini memerlukan modifikasi dilakukan kepada peralatan sedia ada, atau memerlukan suatu rekabentuk baru, atau model alatan yang baru yang dapat memenuhi objektif tersebut.
 
7. Ahli Agama. Tidak dapat tidak, aspek agama amat berkaitan.


Ilmu Falak tetap berkait dengan banyak urusan ibadat. Ilmu Falak menjadi wasilah perlaksanaan malah wasilah kesempurnaan ibadat. Mempelajarinya menjadi fardhu kifayah. Dalam keadaan tertentu, ia menjadi fardhu 'ain. Apabila ilmu falak berkait rapat dengan agama, ilmu agama perlu didalami seperti mana ilmu falak didalami, supaya asimilasi ilmu, atau titik pertemuan dalam membuat justifikasi berkaitan falak-agama dapat dirumuskan dengan lebih baik dan sempurna, dengan kata lain, memenuhi justifikasi syarak.

8. Dan lain lain lagi. Ada beberapa, atau banyak lagi bidang yang boleh disenaraikan di sini sebenarnya, namun biarlah anda para pembaca budiman yang menyenaraikannya pula.


Senarai di atas bukan bermakna anda perlu kuasai semua ilmu itu untuk menjadi ahli falak, tetapi memahami secara asas semua aspek berkenaan adalah satu kelebihan. Menguasainya pula tentulah satu kurniaan.

Senarai ini adalah untuk menunjukkan bidang khusus yang boleh anda pilih sebagai pilihan kerjaya atau hobi, dan juga untuk memperjelaskan ruang lingkup ilmu falak yang melampaui pengertian 'ahli falak' yang difahami sebahagian besar masyarakat dewasa ini.

Belajar berilmu.

Raikan Falak (pinjam motto Ustaz Anuar Penang)

WalLahu a'alam.

Sunday, March 9, 2014

Kita Insan Biasa

أنَّهُ مرَّ بأبي بَكْرٍ وَهوَ يَبكي ، فقالَ : ما لَكَ يا حَنظلةُ ؟ قالَ : نافَقَ حنظلةُ يا أبا بَكْرٍ ، نَكونُ عندَ رسولِ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ يذَكِّرُنا بالنَّارِ والجنَّةِ كأنَّا رأيَ عينٍ ، فإذا رجَعنا إلى الأزواجِ والضَّيعةُ نسينا كثيرًا قال فواللَّهِ إنَّا لكذلِكَ انطلِقْ بنا إلى رسولِ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليه و سلَّمَ فانطلقْنا فلما رآهُ فقالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ قالَ : ما لَكَ يا حنظلةُ ؟ قالَ : نافقَ حنظلةُ يا رسولَ اللَّهِ ، نَكونُ عندَكَ تُذَكِّرُنا بالنَّارِ والجنَّةِ كأنَّا رأيَ عينٍ ، رجَعنا عافَسنا الأزواجَ والضَّيعةَ ونسينا كثيرًا ، قالَ : فقالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ : لَو تدومونَ على الحالِ الَّتي تقومونَ بِها من عندي لصافحَتكمُ الملائِكَةُ في مجالسِكُم ، وفي طرقِكُم ، وعلى فُرُشِكُم ، ولَكِن يا حنظلةُ ساعةً وساعةً ساعةً وساعةً .

الراوي:حنظلة بن الربيع الكاتب الأسيدي المحدث:الألباني المصدر:صحيح الترمذي الجزء أو الصفحة:2514 حكم المحدث:صحيح

Ringkasan:
Hanzhalah r.a. dan Abu Bakar r.a. mengadu kepada Baginda s.a.w. mengenai sifat munafik dalam diri mereka - ketika bersama Nabi s.a.w. mereka mengingati Neraka dan Syurga bagai di depan mata, tetapi apabila kembali kepada keluarga dan harta, mereka mula banyak melupakan Neraka dan Syurga. Maka jawab Baginda s.a.w. : Jika kamu berkekalan merasai sama seperti kamu bersamaku nescaya para malaikat akan sentiasa bersamamu di mana sahaja. Tetapi wahai Hanzhalah, ada masa (untuk akhirat) ada masa (untuk dunia).

(Diriwayatkan sahih oleh at-Tirmizi)

Ampunilah hambaMu Ya Allah.

Monday, February 24, 2014

Jom Tambah Ilmu

Salam sejahtera pembaca budiman.

Lama tidak menaip di sini. Setiap yang berlaku di sekeliling kita dan sekitar alam 'maya', hampir semuanya telah dibincangkan di sini, atau di laman pautan rakan-rakan, atau di mana lagi yang tidak dapat saya senaraikan. Perkara yang sebenarnya hanya ulangan. Lalu komen berkaitannya juga adalah ulangan. Namun disebabkan sesetengah kita 'baru membacanya, atau baru memperolehnya', jadilah ia 'baharu' baginya. Sayangnya, bagi sesetengah yang 'ahli' tentangnya, terpaksa mengulas untuk entah kali ke berapa. Itulah 'ilmu', makin diulang, makin berulang, tetapi percayalah, ulangan menjadikan kita lebih matang, lebih berkeyakinan, lebih upaya dan bahan apabila memberi ulasan. Soalan tambahan, 'laratkah?'.... hehe

Suatu maklumat 'baharu' yang datang kepada kita, kita akan sambut dengan tiga jawapan atau ulasan;

  1. Yakin
  2. Tidak Yakin
  3. Belum Yakin
Yakin/Tidak/Belum ini pula didasari dua asas;

(1) Berdasarkan ilmu sendiri, atau
(2) Berdasarkan kandungan maklumat itu sendiri (atau pembawanya).

Asas 1 ini disebut pepatah 'jauhari jua mengenal manikam'. Namun, bagaimana cara orang berilmu menerima ilmu baru? Ilmu yg dia masih belum arif tentangnya? Disinilah peranan ilmu mantik atau ilmu logik. Disinilah ilmu hadis memainkan tugas. Kaedah atau metodologi yang betul semasa membuat penilaian.

Asas 2 juga menghampiri ilmu logik, namun secara asas sahaja. Menggunakan logik mudah, berdasarkan pemikiran pintar tahap orang biasa. Sesuatu yang kedengaran 'macam tak logik je' perlu ditangguh penerimaan sehingga datang bukti atau penjelasan lebih meyakinkan. Kemahiran atau kepandaian pembawa maklumat memanipulasi keadaan selalu mendorong penerimaan sekalipun ia 'macam tak logik je'.

Sebagai umat Islam, kita impikan syurga. Justeru tindakan kita biarlah sebagai 'bakal ahli syurga'. Jika ayat ini bunyinya seperti gurauan, tanpa sedar, mungkin syurga dan neraka masih seperti gurauan bagi anda. Belajar berilmu.

WalLahu a'laam.

Alfakir menekan noktah.