Kali ini saya mengajak pembaca untuk meneliti isu yang boleh anda telusur di internet melalui kata kunci 'syafak atau fajar saddiq' atau berkaitan. Saya tertarik untuk membawa perkara ini kepada anda kerana saya baru sahaja mendapat satu maklumat bahawa terdapat sesetengah daripada kita di Malaysia yang beranggapan bahawa waktu solat Isyak dan Subuh dalam takwim tidak tepat. Ada yang memberikan pandangan berdasarkan kriteria yang digunakan ISNA Amerika berkaitan Isyak dan Subuh. Ada pula berdasarkan pemerhatian atau cerapan yang dilakukan sekali atau lebih, mendapati Subuh lebih lewat (berdasarkan kenampakan cahaya fajar yang disaksikan sendiri) daripada yang terpapar dalam takwim.
Bagaimana?
Merujuk pembentangan oleh Dr Baharrudin UniSZA berkaitan isu Isyak dan Subuh, saya mendapat rumusan berikut;
-penentuan Isyak dan Subuh adalah berdasarkan kaedah yang digunakan oleh ulama muktabar melalui kitab sama ada edisi Melayu atau Arab.
-kebanyakan kitab falak menggunakan nilai sudut tunduk, atau altitud matahari bawah ufuk 17 darjah bagi Isyak dan 19 darjah bagi Subuh, melainkan Syeikh Tahir Jalaluddin dalam Pati Kiraan (1938) menggunakan sudut 18 bagi Isyak dan 20 bagi Subuh.
-Kelantan yang menggunakan nilai 17 dan 19 ini didapati mempunyai asas untuk menggunakan nilai ini berdasarkan kenyataan banyak kitab. Manakala nilai 18 dan 20 yang digunakan negeri-negeri lain, hanya mungkin berpandukan naskhah Pati Kiraan. Bagaimanapun Pati Kiraan sendiri menyatakan kadar tambahan 1 darjah sebenarnya adalah pembetulan ufuk.
-kaedah hitungan yang diamalkan sekarang telah mengenakan pembetulan waktu ihtiyati, yang jika menggunakan nilai pembetulan ufuk, maka ada dua kali pembetulan, berbanding kelantan, hanya satu pembetulan sahaja.
Apa itu sudut tunduk?
Waktu Isyak dan Subuh dihitung berdasarkan posisi matahari di bawah ufuk seperti rajah berikut:
matahari waktu isyak
matahari waktu subuh
Boleh dikatakan sudut yang standard telah ada, namun kadar sebenar altitud matahari bawah ufuk yang mewakili sudut ketika muncul fajar atau akhirnya senja, masih dalam kajian lanjutan bagi penggunaan di Malaysia.
Penggunaan altitud berdasarkan negara lain adalah kaedah yang tidak sesuai kerana lain negara lain kadarnya, terutama negara di latitud lebih tinggi.
Rumusannya, kaedah yang digunakan bagi menentukan waktu Isyak dan Subuh di negara ini masih berasas, dan sepatutnya tidak menjadi persoalan pihak tertentu. Pemerhatian sendiri tanpa ilmu yang jelas tentang kaedah yang sebenar, hanya membawa kita kepada kekeliruan yang lebih ketara. Justeru, syor saya, pelajari ilmu falak, supaya anda boleh melakukan kajian lanjut dengan kaedah yang lebih sesuai dan betul.
- ATR
No comments:
Post a Comment