Saturday, April 16, 2011

Menentukan Arah Kiblat

Salam.

Arah Kiblat. Merupakan syarat sah solat. Justeru ia menjadi keutamaan umat Islam dalam urusan seharian. Ia mungkin kurang dirasakan di negara ini, kerana kemudahan bersolat seperti surau dan masjid mudah ditemui, sebagaimana yang anda rasakan ketika melakukan perjalanan jauh. Namun ia ketara melibatkan premis persendirian seperti kediaman dan hotel.

Alhamdulillah, kebanyakan atau hampir semua hotel di Malaysia mempunyai tanda Arah Kiblat. Anda boleh temui di siling, di lantai atau dalam laci. Dalam laci? Kalau meja itu dialih? Alasan logik adalah penginap terdiri dari pelbagai agama. Sesetengahnya yang tidak tahu langsung mengenainya melihat tanda itu seperti simbol agama, seperti kalimah keagamaan (macam kalimah Allah, Muhammad, dan lain-lain). Tanda yang mungkin dianggap mempunyai unsur mistik, yang menyebabkan mereka menjadi takut melihatnya. Islam belum dikenali sepenuhnya.

Bagi rumah kediaman, masalah ini timbul biasanya ketika 'naik rumah baharu'. Panduan yang digunakan biasanya adalah jiran sebelah, surau atau masjid berdekatan. Jiran sebelah, itu bagi perumahan sedia ada, tetapi masalah juga bagi perumahan baharu, semua tidak tahu.

Justeru, di sini saya kemukakan satu kaedah yang boleh dipraktik oleh pemilik rumah. Kejituan dalam 2 darjah. Bagaimana? Dari Johor di Selatan tanah air, hingga Perlis dan Sabah, arah kiblat adalah dalam lingkungan 290 darjah hingga 293. Jika 3 darjah masih dalam khilaf yang boleh diterima, maka satu negeri satu arah boleh digunakan. Lebih kasar lagi, satu negara boleh menggunakan satu arah sahaja.

Ketika tengahari di satu tempat atau zon, atau boleh juga waktu Zohor, yang selisihnya hanya dua tiga minit, matahari berada di garis pemisah langit timur dan langit barat bagi tempat atau zon berkenaan. Garis pemisah ini adalah garis utara selatan bagi tempat tersebut (disebut garis meridian tempatan). Ketika matahari berada di garis ini (tengahari) bayang objek tegak akan mengarah ke utara atau ke selatan, bergantung kepada tarikh.

Pada sekitar April dan Ogos, bayang agak pendek ketika tengahari. Bayang objek ketika tengahari akan selari (atau hampir selari) dengan garis utara selatan tempat tersebut. Itulah langkah pertama untuk menentukan arah kiblat, iaitu mendapatkan arah Utara. Ketika tengahari atau Zohor (lihat takwim) di tempat anda, gariskan (di lantai) dengan marker, atau dakwat mudah padam, bayang objek tegak seperti tiang pagar, tiang rumah dan sebagainya.

Seterusnya, langkah kedua, menentukan arah kiblat. Menurut Dr Baharrudin UniSZA, kaedah ini pernah digunakan oleh pihak berkuasa agama Kedah (Mufti?) 'dulu-dulu', untuk kegunaan daerah-daerah. Lihat rajah di bawah. Cetak rajah tersebut. Kemudian, sejajarkan garis utara selatan rajah dengan garis tandaan di lantai tadi. Pastikan utara selatan tidak tertukar. Bagaimana? April hingga Ogos, matahari di utara, bayang ke selatan. Ogos hingga April tahun berikutnya, matahari di selatan, bayang ke utara. Selepas jajaran, garis arah kiblat dalam rajah adalah arah kiblat kediaman anda.





Walaupun kaedah ini kurang jitu, tetapi lebih baik daripada mendapat selisih yang lebih besar. Ia juga lebih baik daripada menggunakan kompas yang terdedah kepada gangguan magnetik daripada kipas, pendingin udara, rosak dan sebagainya.

Moga bermanfaat.

- ATR

No comments: