Saturday, April 26, 2014

Berilmu

Bismillah.

Segala pujian bagi Allah. Salawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad dan Keluarga Baginda.

Wahai penuntut ilmu, belajarlah dengan memenuhkan ilmu di dada. Persiapkan dirimu dengan ketrampilan dan keupayaan sesuai dengan ilmumu. Seorang pendekar tidak akan berjaya dengan mengumpul sekian banyak buku silat. Seorang pendekar tidak akan berupaya dengan hanya menghafal kandungan buku silat. Ia mesti dihadam, dipraktik, dilatih sehingga tubuhnya keras dan padu, akalnya tajam menyusun jurus dan membaca laku.

Wahai penuntut ilmu. Dengan begitu, dikau akan mampu mewarisi tradisi ilmu guru-gurumu, menyambung tugas menyebar ilmu mempertahan agamamu dan usulmu.

Belajar berilmu.

Yang fakir menekan noktah.

Wednesday, April 23, 2014

Menjadi Ahli Falak

Menjadi ahli falak memerlukan minat. Selain itu anda perlu menjadi;

1. Ahli fotografi dan ahli alatan fotografi.

Objek yang dilihat perlu atau mesti dirakam sebagai bahan analisis kajian. Merakam objek angkasa memerlukan kemahiran. Lain objek, lain tekniknya. Lain objek, lain alatannya. Rakaman foto (disebut astrofotografi) merupakan salah satu metodologi kajian falak.

2. Ahli komputeran. Ilmu Pengaturcaraan adalah bonus, termasuk kejuruteraan perisian dan elektronik.

Komputer sudah sebati dengan aktiviti falak. Asturlab (astrolabe) merupakan sejenis komputer analog. Kalkulator menggantikannya, dan kini komputer. Namun tidak semua perisian memenuhi objektif kajian dan aktiviti falak. Ketika inilah ilmu pengaturcaraan, kejuruteraan perisian dan elektronik memainkan peranan.
 
3. Ahli matematik. Ilmu falak sinonim dengan matematik.



Fotogrammetri (betulkah ejaan ini?) dan sub-bidang 'positional astronomy', merupakan sebahagian aspek fotografi dan ilmu falak yang melibatkan matematik.

4. Ahli fizik. Fizik angkasa juga sinonim dengan ilmu falak. 


5. Ahli geomatik. Ilmu ukur tanah adalah keperluan, termasuk kemahiran instrumen berkaitan. 


6. Ahli mekanikal. Modifikasi peralatan adalah perkara biasa.
 

Lain objek, lain metod kajian atau pemerhatian. Sesetengah peralatan yang digunakan tidak dapat memenuhi objektif aktiviti berkenaan. Ini memerlukan modifikasi dilakukan kepada peralatan sedia ada, atau memerlukan suatu rekabentuk baru, atau model alatan yang baru yang dapat memenuhi objektif tersebut.
 
7. Ahli Agama. Tidak dapat tidak, aspek agama amat berkaitan.


Ilmu Falak tetap berkait dengan banyak urusan ibadat. Ilmu Falak menjadi wasilah perlaksanaan malah wasilah kesempurnaan ibadat. Mempelajarinya menjadi fardhu kifayah. Dalam keadaan tertentu, ia menjadi fardhu 'ain. Apabila ilmu falak berkait rapat dengan agama, ilmu agama perlu didalami seperti mana ilmu falak didalami, supaya asimilasi ilmu, atau titik pertemuan dalam membuat justifikasi berkaitan falak-agama dapat dirumuskan dengan lebih baik dan sempurna, dengan kata lain, memenuhi justifikasi syarak.

8. Dan lain lain lagi. Ada beberapa, atau banyak lagi bidang yang boleh disenaraikan di sini sebenarnya, namun biarlah anda para pembaca budiman yang menyenaraikannya pula.


Senarai di atas bukan bermakna anda perlu kuasai semua ilmu itu untuk menjadi ahli falak, tetapi memahami secara asas semua aspek berkenaan adalah satu kelebihan. Menguasainya pula tentulah satu kurniaan.

Senarai ini adalah untuk menunjukkan bidang khusus yang boleh anda pilih sebagai pilihan kerjaya atau hobi, dan juga untuk memperjelaskan ruang lingkup ilmu falak yang melampaui pengertian 'ahli falak' yang difahami sebahagian besar masyarakat dewasa ini.

Belajar berilmu.

Raikan Falak (pinjam motto Ustaz Anuar Penang)

WalLahu a'alam.