Alhamdulillah. Segala puji dipanjatkan kepada Allah Tuhan sarwa sekelian alam. Salawat dan salam kepada Baginda Nabi Muhammad dan Keluarga Baginda.
Rukyah Hilal Ramadhan 1435 ditaqdirkan Allah bagiku untuk berada di Negara Brunei Darussalam. Keberadaan penulis di sini adalah bagi memenuhi pelaksanaan Kursus Sijil Falak Syarie UNISSA-UniSZA 2014 yang bermula pada 11 Syaaban hingga 7 Ramadhan ini.
Pada 29 Syaaban 1435 baru-baru ini, penulis berpeluang menyertai aktiviti rukyah Hilal Ramadhan 1435 yang diadakan di empat lokasi di Brunei - Menara DST, Bukit Agok, Bukit Lumut dan satu lagi yang tidak sempat penulis catatkan. Penulis dibenarkan berada di Bukit Agok, Jerudong.
Rukyah pada 29 Syaaban 1435 berakhir di Bukit Agok dengan pengumuman oleh ketua rombongan, Pengiran Haji Badaruddin tentang hasil rukyah malam tersebut. Laporan menerusi telefon kemudian dibuat kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah.
Rukyah pada petang 30 Syaaban 1435 telah dilakukan pula bersama peserta-peserta kursus falak, pegawai-pegawai UNISSA dan pegawai-pegawai Jabatan Ukur Negara Brunei.
Rukyah tersebut berjaya mengesan dan merakamkan Hilal Ramadhan 1435 dari Bukit Agok. Suka penulis nyatakan bahawa Hilal atau Anak Bulan adalah merupakan bulan sabit pada malam menjelangnya 1 haribulan. Tidak kira petang itu 29 atau 30 haribulan.
Syukur dan juga ribuan terima kasih penulis ucapkan kepada semua pihak terbabit di Negara Brunei Darussalam. Moga kita bertemu kembali di lain masa.