Foto diambil 12 minit selepas maghrib.
Menurut falak, cahaya senja bermula sebaik matahari terbenam (matahari dalam 1° di bawah ufuk, agak sukar membezakan warna langit detik ini) dan berakhir apabila matahari sekitar 18° di bawah ufuk, ketika langit mencapai kegelapan penuh (tanpa gangguan cahaya bulan, awan, atau lampu bumi).
Falak juga membahagikan senja/syafak kepada 3 bahagian atau peringkat, iaitu, ketika matahari terbenam (ghurub) hingga 6° bawah ufuk (hingga 24 minit selepas ghurub) dinamakan 'syafak awam' (civil twilight) di mana langit masih cukup terang untuk aktiviti tanpa lampu (ada kereta masih belum pasang lampu ketika ini), manakala dari 6° hingga 12° bawah ufuk (24 hingga 48 minit selepas ghurub) dinamakan 'syafak kelautan' (nautical twilight) di mana ufuk laut (kaki langit) masih boleh dilihat terutama untuk navigasi laut.
Bermula matahari 12° hingga 18° bawah ufuk (48 hingga 72 minit selepas ghurub), dinamakan 'syafak astronomi' (astronomical twilight), langit sudah mula gelap, tetapi masih ada sedikit cahaya matahari pada langit yang mungkin mempengaruhi cerapan astronomi. Bermula 18° bawah ufuk, langit sudah betul² gelap ketika normal.
Sayangnya sekarang ini, banyak cahaya buatan yg mempengaruhi kecerahan langit tempatan, termasuk juga formasi awan dan cahaya bulan pada tarikh² tertentu yang menyukarkan kita melihat perubahan ini. Cahaya fajar adalah sama, cuma ia berlaku secara berlawanan dengan keterangan di atas, bermula dari gelap menuju cerah.
Detik paling sukar ialah membezakan kecerahan langit seketika sebelum dan selepas matahari terbenam, juga sebelum dan selepas terbit (syuruk), melainkan kita menyaksikan sendiri pergerakan matahari melepasi ufuk. Cahaya merah pula biasanya lebih jelas kelihatan dengan adanya awan, maka formasi cahaya langit tiap hari tidak sama.