Penetapan awal bulan Hijriyah bagi penyusunan kalendar adalah berdasarkan hitungan awal bulan yang dengannya diketahui sama ada suatu bulan Hijrah itu 29 hari, atau 30 hari, menurut kriteria kenampakan 'imkanurrukyah' yang digunakan. Berdasarkan kaedah imkanurrukyah Malaysia yang baharu tahun 2021, di mana 1 Rabiulakhir 1446 adalah pada 4 Oktober 2024, maka tarikh 29 Rabiuakhir 1446 adalah pada 1 Nov 2024 yang lalu. Bagaimanapun, hitungan menunjukkan bahawa hilal tidak wujud di atas ufuk pada petang tersebut. Rukyah yang dilakukan di beberapa lokasi di Malaysia juga menunjukkan keputusan yang sama, tiada kenampakan.
Seterusnya ini menjadikan 1 Dis 2024 adalah bersamaan 29 Jamadilawal 1446. Pada petang tersebut, lihat rajah kenampakan di bawah.
Sekali lagi data hitungan menunjukkan hilal tidak wujud di atas ufuk selepas matahari terbenam. Bulan terbenam kurang 1 minit selepas matahari terbenam. Berdasarkan data, takwim menunjukkan tarikh 2 Dis 2024 adalah bersamaan 30 Jamadilawal 1446.
Ragam sifat hilal pada hari 29 sepanjang tahun berubah-ubah. Tidak mesti apabila rukyah pada hari 29 bulan ini, dan bulan kelihatan, lalu rukyah hari 29 bulan depan, bulan "boleh kelihatan juga". Terlalu banyak faktor dan elemen pergerakan bulan, bumi dan matahari yang akan menyebabkan rukyah setiap bulan sangat menarik, dan sangat wajar sentiasa dilakukan, tidak kira data menunjukkan bulan ada di atas ufuk, tiada di atas ufuk, bulan terbenam sama dengan matahari dan sebagainya.
Ikut sahaja susunan takwim, rukyah adalah pada hari 29, sama ada esoknya 30 atau 1hb, rukyah 'hari berikut' boleh mengesahkan rukyah hari 'sebelum', dan begitulah yang dilakukan oleh ahli-ahli/penggiat falak dan petugas falak di seluruh Malaysia, dan dunia amnya.
Tiada istilah "Rukyah pada hari hilal tiada adalah hari yang salah". Penulis tidak tahu bagaimana susunan dan jumlah hari sebulan takwim jika tiap kali rukyah hari 29 MESTI ada hilal, nampak atau tidak sahaja", kerana setahun Hijriyah MESTI 354 atau 355 hari sahaja.