Kali ini, jom berbicara lebih serius. Namun tidaklah ini menjadi penulisan ilmiah. Membaca penulisan Prof. David A. King dalam dokumen Training For Trainers: Seminar On Islamic Astronomy, 3-5 Nov 2009 di INSTUN, Perak, yang lepas, adalah pendorong penulisan ini.
Penulis mendapati wujud pemahaman yang silap (atau keliru) mengenai definisi ilmu falak, peranan dan fungsi ilmu ini yang sebenar.
Umum melihat ilmu falak (terutama istilah falak syarie) yang menjurus kepada ilmu hisab, ilmu hitungan objek angkasa untuk penentuan arah kiblat, waktu solat, takwim dan waktu sahaja, dan melihat hukum (nas al quran dan al hadith) mengenai arah kiblat, solat dan takwim sebagai elemen yang lain, atau lebih mudah - hukum asal atau hukum utama (hadaf) seperti dalam al-quran/al-hadith, manakala ilmu falak adalah wasilah kepada hadaf tersebut.
Penulis bukan pakar. Namun 'jurang' yang wujud antara ilmu falak dan hukum fiqh di atas pada pandangan penulis, antara penyebab sehingga hari ini, aspek 'rukyah' dan 'hisab' masih hangat diperdebatkan.
Mari kita buka sedikit pemikiran kita, renungkan beberapa ayat al-quran yang menceritakan mengenai alam semesta. Penceritaan tersebut tidak langsung menyentuh mengenai apa-apa hukum, melainkan hukum alam ketetapan Allah swt (Sunnatullah) untuk pengetahuan, kajian dan kegunaan (faedah) kehidupan manusia, sebagai mangkin keimanan kepada Allah swt jua.
Kajian ilmu falak mendapati penceritaan dalam al-quran adalah benar, membuktikan al-quran itu benar. Maka penceritaan dalam al-quran adalah 'hint' kepada perkembangan ilmu falak, yang dihayati sepenuhnya dalam sejarah astronomi Islam.
Pembahagian Ilmu Falak
Ilmu Falak terbahagi kepada dua bahagian,
(1) Bahagian pencerapan (observasi atau 'rukyah'), dan
(2) Bahagian matematik (hitungan atau 'hisab')
Bahagian pencerapan boleh kita temui dalam dasar hukum fiqh (nas al-quran dan al-hadith) mengenai waktu solat contohnya, di mana awal waktu dan akhirnya dirujuk kepada fenomena alam yang boleh dicerap oleh manusia biasa, walaupun mereka yang kategori tumpul ilmu pun, mampu melakukannya. Dengan kata lain, bahagian pencerapan dalam ilmu falak boleh dilaksanakan hampir oleh semua orang. Hukum fiqh yang melibatkan aspek ilmu falak, kebanyakannya berada dalam kategori ini. Hikmahnya jelas, menjadikan ibadat itu mudah dilaksanakan. Tetapi kita dapati dalam aspek pembahagian harta pusaka contohnya (faraidh), disebabkan ia melibatkan ramai orang, dan kesannya besar jika tersilap dan sebagainya, hukum fiqh berkaitan harta pusaka tidak begitu mudah, bahkan ilmunya tidak dikuasai oleh semua orang. Setiap satu ada hikmahnya, walaupun hikmah yang hakiki jarang diketahui.
Bahagian matematik dalam ilmu falak adalah lanjutan kepada bahagian pencerapan. Hasil atau fakta) pencerapan yang dikumpul, kemudiannya dianalisis. Dapatan daripada analisis cerapan, dibentuk menjadi suatu hukum umum (Sunnatullah). Inilah dasar ilmu - mengkaji tabie makhluk, untuk memahami sunnatullah. Bahagian ini tentunya tidak mampu dikuasai oleh semua orang, sepertimana ilmu faraidh jua.
Justeru apabila melibatkan semua orang, seperti penentuan awal bulan (puasa contohnya), sudah sepatutnya ia diserahkan kepada pihak dengan kepakaran yang lebih tinggi (sama kes dengan faraidh). Manakala tentang awal waktu solat, tentulah terserah kepada individu. Namun dalam kes jamaah seperti Jumaat - kembali kepada ketetapan pihak berkuasa (paling rendah pun - imam masjid - yang telah diberi kuasa).
Berdasarkan penjelasan di atas, 'rukyah' dan 'hisab' sebenarnya adalah merupakan dua komponen dalam disiplin ilmu falak. Inilah maksud penulis mengenai kekeliruan definisi ilmu falak, berkenaan isu 'menerima hisab atau rukyah, atau kedua-duanya sekali?' yang masih hangat hari ini.
Menjadi ahli falak, memerlukan penguasaan kedua-dua bahagian disiplin ilmu tersebut.
WalLahu a'laam.