Pages

Wednesday, June 26, 2013

JANGKAAN KENAMPAKAN HILAL

Rujukan: Perisian Kalkulator Falak (www.falak.unisza.edu.my/calc)

Jangkaan awal Ramadhan 1434

Berdasarkan hitungan menggunakan Kalkulator Falak, ijtimak, atau detik pemisahan fasa bulan lama (Syaaban) dengan fasa bulan baru (Ramadhan) berlaku pada 8 Julai 2013, bersamaan waktu Malaysia jam 3.16 petang. Tarikh 29 Syaaban, iaitu bersamaan hari rukyah, juga pada 8 Julai 2013. Ketika maghrib (matahari terbenam) di kebanyakan tempat di Malaysia sekitar jam 6.20 petang ke atas (di Sabah) hingga 7.40 malam di Pantai Barat Semenanjung, tempoh masa ijtimak berlaku (3.16 petang) hingga ke waktu maghrib adalah antara 3 jam hingga 4 ½ jam. Tempoh ini adalah tidak melepasi syarat kenampakan yang digunakan iaitu 8 jam ke atas. Berdasarkan maklumat ini, awal Ramadhan 1434 dijangka bermula pada 10 Julai 2013.

Jangkaan awal Syawal 1434

Berdasarkan hitungan menggunakan Kalkulator Falak, ijtimak, atau detik pemisahan fasa bulan lama (Ramadhan) dengan fasa bulan baru (Syawal) berlaku pada 7 Ogos 2013, bersamaan waktu Malaysia jam 5.51 pagi. Tarikh 29 Ramadhan, iaitu bersamaan hari rukyah (jika 10 Julai adalah 1 Ramadhan), juga pada 7 Ogos 2013. Ketika maghrib (matahari terbenam) di kebanyakan tempat di Malaysia sekitar jam 6.20 petang ke atas (di Sabah) hingga 7.40 malam di Pantai Barat Semenanjung, tempoh masa ijtimak berlaku (5.51 pagi) hingga ke waktu maghrib adalah antara 12 ½ jam hingga 14 jam. Tempoh ini telah melepasi syarat kenampakan yang digunakan iaitu 8 jam ke atas. Berdasarkan maklumat ini, awal Syawal 1434 dijangkakan bermula pada 8 Ogos 2013.

Penafian

Kenyataan ini dikeluarkan adalah selepas mengambilkira kepentingan orang awam dalam membuat persediaan lebih awal bagi menyambut awal Ramadhan dan Syawal, terutama membabitkan mereka yang perlu menetapkan cuti lebih awal. Adalah sukar untuk mereka ini menyusun jadual kerja dan cuti apabila tarikh awal Ramadhan, atau awal Syawal tidak diketahui langsung. Kenyataan ini adalah merujuk kepada perisian Kalkulator Falak di alamat (www.falak.unisza.edu.my/calc). Tarikh rasmi awal Ramadhan dan Syawal adalah tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.


- Posted using BlogPress from my iPad