Rujukan: Perisian Kalkulator Falak (www.falak.unisza.edu.my/calc)
Jangkaan awal Ramadhan 1434
Berdasarkan hitungan menggunakan Kalkulator Falak, ijtimak, atau detik pemisahan fasa bulan lama (Syaaban) dengan fasa bulan baru (Ramadhan) berlaku pada 8 Julai 2013, bersamaan waktu Malaysia jam 3.16 petang. Tarikh 29 Syaaban, iaitu bersamaan hari rukyah, juga pada 8 Julai 2013. Ketika maghrib (matahari terbenam) di kebanyakan tempat di Malaysia sekitar jam 6.20 petang ke atas (di Sabah) hingga 7.40 malam di Pantai Barat Semenanjung, tempoh masa ijtimak berlaku (3.16 petang) hingga ke waktu maghrib adalah antara 3 jam hingga 4 ½ jam. Tempoh ini adalah tidak melepasi syarat kenampakan yang digunakan iaitu 8 jam ke atas. Berdasarkan maklumat ini, awal Ramadhan 1434 dijangka bermula pada 10 Julai 2013.
Jangkaan awal Syawal 1434
Berdasarkan hitungan menggunakan Kalkulator Falak, ijtimak, atau detik pemisahan fasa bulan lama (Ramadhan) dengan fasa bulan baru (Syawal) berlaku pada 7 Ogos 2013, bersamaan waktu Malaysia jam 5.51 pagi. Tarikh 29 Ramadhan, iaitu bersamaan hari rukyah (jika 10 Julai adalah 1 Ramadhan), juga pada 7 Ogos 2013. Ketika maghrib (matahari terbenam) di kebanyakan tempat di Malaysia sekitar jam 6.20 petang ke atas (di Sabah) hingga 7.40 malam di Pantai Barat Semenanjung, tempoh masa ijtimak berlaku (5.51 pagi) hingga ke waktu maghrib adalah antara 12 ½ jam hingga 14 jam. Tempoh ini telah melepasi syarat kenampakan yang digunakan iaitu 8 jam ke atas. Berdasarkan maklumat ini, awal Syawal 1434 dijangkakan bermula pada 8 Ogos 2013.
Penafian
Kenyataan ini dikeluarkan adalah selepas mengambilkira kepentingan orang awam dalam membuat persediaan lebih awal bagi menyambut awal Ramadhan dan Syawal, terutama membabitkan mereka yang perlu menetapkan cuti lebih awal. Adalah sukar untuk mereka ini menyusun jadual kerja dan cuti apabila tarikh awal Ramadhan, atau awal Syawal tidak diketahui langsung. Kenyataan ini adalah merujuk kepada perisian Kalkulator Falak di alamat (www.falak.unisza.edu.my/calc). Tarikh rasmi awal Ramadhan dan Syawal adalah tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
- Posted using BlogPress from my iPad
4 comments:
Salam, ustaz,
Mohon pencerahan waktu berbuka dan kaedah berpuasa bagi mereka yg berpuasa di negara midnight sun disebabkan bekerja disana. Jazakallahu khoiran...
Wsalam.
Terima kasih bertanya. Pernah baca di ruangan (lupa) tentang ini. Abdul Rahim Nyambek (1973) pernah menulis berkaitan isu ini dalam buku beliau. Baharrudin Zainal (2003) juga mengulangi isu sama dalam bukunya.
Secara am, ada tiga pilihan:
1) Menggunakan jadual tempatan ketika musim normal (berlaku terbit terbenam). Contohnya, jika bulan Mei normal, bulan Jun tidak, maka jadual hari terakhir yang normal pada bulan Mei digunakan sehingga musim normal kembali. Demikian juga ketika 24 jam malam.
Maksud 'tidak normal' adalah termasuk ketika syafak ahmar bertemu fajar sadiq.
2) Menerbitkan jadual dengan menggunakan latitud 45 darjah (U/S), walaupun anda berada di latitud 70 darjah.
3) Menggunakan jadual Mekah.
Wallahua'alam.
Salam.
Perkara kedua adalah aspek hukum berpuasa. Yang ini saya tidaklah mahir. Bagaimanapun, disebabkan jarang dibincangkan, saya sebutkan disini berdasarkan ilmu saya yg sedikit jua.
1. Puasa adalah wajib. Berbuka sebelum masa adalah jika wujud uzur yg membenarkan. Ayat dan hadis menyebut 'boleh berbuka' bukan 'boleh tidak berpuasa'. Ia dua maksud berbeza. Menunjukkan berpuasalah, dan jika tidak mampu teruskan, berbukalah dengan sebab uzur yg dibenarkan.
2. Tidak boleh berpuasa hanya pada wanita yg jelas hal keadaan tidak dibenarkan berpuasa.
3. Dalam kes tuan yg bertanya, mungkin berdepan dengan hari yang panjang. Maka seperti no (1), berpuasalah, dan berbukalah apabila benar tidak mampu meneruskan. Dan gantilah puasa itu nanti. Maka tuan tetap beroleh kelebihan puasa ramadhan, dan menggantinya pada bila-bila masa, sekalipun pada hari yg pendek, tidak bermakna 'ada untung', sebab anda sebenarnya telah pun berpuasa semasa hari yg panjang, cuma gagal dihabiskan sepenuhnya. Seolah-olah menyelesaikan bakinya. Yg dikejar kelebihan ramadhan, bukan isu sempurna puasa sehari dan sebulan.
Wallahua'alam.
Salam . En.Taufan lama x menulis blog...kemana menghilang ??
Terima kaseh atas info diatas .
Post a Comment