Pages

Tuesday, August 6, 2013

Syawal 1434 di 4 Negara

Bismillah.

Salam Ramadhan, dan Salam Idulfitri.

Menjelang Syawal 1434 ini, meneliti teks berkaitan rukyah dan kenampakan Hilal (Anak Bulan) Syawal 1434, mendorong saya untuk menulis sedikit (lagi) tentang aspek Rukyah dan Hisab. Mungkin ada juga hikmahnya kenapa Rukyah dan Hisab masih dilihat secara berasingan, walaupun sebenarnya ia adalah komponen Ilmu Falak (Teori dan Praktik).

Kalian mungkin biasa mendengar perbincangan tentang aspek ini dalam negara Malaysia tercinta ini.  Namun mungkin juga kalian jarang mendengar tentang aspek ini di luar negara. Bagaimana rukyah di sana.. dan sebagainya.

Baik. Mungkin tiada daya buat masa ini untuk berkunjung ke sana, namun menggunakan perisian tertentu, kita boleh juga untuk 'merasai sedikit' bagaimana jika rukyah dilakukan di negara luar. Gambar rajah di bawah menunjukkan hitungan kedudukan Bulan dan Matahari ketika Maghrib (ghurub) di negara masing-masing secara umum pada 7 Ogos 2013.


Perlu jelas bahawa  penduduk Bumi berkongsi Bulan dan Matahari yang sama. Perbezaan kedudukan pemerhati di topografi Bumi membezakan kedudukan Bulan dan Matahari yang dilihat. Terbit Matahari di Australia tentulah lebih awal berbanding Afrika. Apa lagi Amerika. Namun, sekalipun terbit dan terbenam Matahari tidak jauh beza antara Saudi dengan Belanda, kedudukan Bulan dan Matahari yang dilihat dari dua tempat ini jauh berbeza. Kedudukan Belanda yang jauh ke utara Bumi, menyebabkan ketika Maghrib, Bulan telah berada di bawah ufuk, berbanding Saudi yang mendapati Bulan masih ada di atas ufuk ketika Maghrib di sana. Manakala Australia yang jauh ke selatan Bumi pula, mendapati Bulan lebih tinggi kedudukannya berbanding dua negara tadi, termasuk Malaysia, sedangkan rukyah dilakukan pada hari yang sama. Berdasarkan ini juga, Malaysia dan Australia mungkin (saya ulang, mungkin) memulakan 1 Syawal pada 8 Ogos, manakala Saudi dan Belanda pada 9 Ogos.

Dalam keadaan ini, rukyah masih relevan untuk negara Malaysia, Saudi dan Australia, tetapi tidak relevan sebenarnya bagi Belanda, kerana ketika ini (Ogos 2013) Bulan tidak akan berada di atas ufuk ketika Maghrib pada 7 Ogos, juga pada 8 Ogos dan beberapa hari berikutnya, walaupun umur Bulan sudah menjangkau lebih 40 jam.

Tidak hairan wujud kaedah penyusunan takwim asas ijtimak, yang hanya menggunakan umur Bulan sebagai asas penetapan awal bulan hijriyah, tanpa mengambilkira aspek rukyah dan kenampakan.

Lain tempat lain sifat. Lain hari lain posisi. Belajar berilmu.

Selamat hari raya, maaf lahir batin.