Bismillah.
Salam Ramadhan, dan Salam Idulfitri.
Menjelang Syawal 1434 ini, meneliti teks berkaitan rukyah dan kenampakan Hilal (Anak Bulan) Syawal 1434, mendorong saya untuk menulis sedikit (lagi) tentang aspek Rukyah dan Hisab. Mungkin ada juga hikmahnya kenapa Rukyah dan Hisab masih dilihat secara berasingan, walaupun sebenarnya ia adalah komponen Ilmu Falak (Teori dan Praktik).
Kalian mungkin biasa mendengar perbincangan tentang aspek ini dalam negara Malaysia tercinta ini. Namun mungkin juga kalian jarang mendengar tentang aspek ini di luar negara. Bagaimana rukyah di sana.. dan sebagainya.
Baik. Mungkin tiada daya buat masa ini untuk berkunjung ke sana, namun menggunakan perisian tertentu, kita boleh juga untuk 'merasai sedikit' bagaimana jika rukyah dilakukan di negara luar. Gambar rajah di bawah menunjukkan hitungan kedudukan Bulan dan Matahari ketika Maghrib (ghurub) di negara masing-masing secara umum pada 7 Ogos 2013.
Perlu jelas bahawa penduduk Bumi berkongsi Bulan dan Matahari yang sama. Perbezaan kedudukan pemerhati di topografi Bumi membezakan kedudukan Bulan dan Matahari yang dilihat. Terbit Matahari di Australia tentulah lebih awal berbanding Afrika. Apa lagi Amerika. Namun, sekalipun terbit dan terbenam Matahari tidak jauh beza antara Saudi dengan Belanda, kedudukan Bulan dan Matahari yang dilihat dari dua tempat ini jauh berbeza. Kedudukan Belanda yang jauh ke utara Bumi, menyebabkan ketika Maghrib, Bulan telah berada di bawah ufuk, berbanding Saudi yang mendapati Bulan masih ada di atas ufuk ketika Maghrib di sana. Manakala Australia yang jauh ke selatan Bumi pula, mendapati Bulan lebih tinggi kedudukannya berbanding dua negara tadi, termasuk Malaysia, sedangkan rukyah dilakukan pada hari yang sama. Berdasarkan ini juga, Malaysia dan Australia mungkin (saya ulang, mungkin) memulakan 1 Syawal pada 8 Ogos, manakala Saudi dan Belanda pada 9 Ogos.
Dalam keadaan ini, rukyah masih relevan untuk negara Malaysia, Saudi dan Australia, tetapi tidak relevan sebenarnya bagi Belanda, kerana ketika ini (Ogos 2013) Bulan tidak akan berada di atas ufuk ketika Maghrib pada 7 Ogos, juga pada 8 Ogos dan beberapa hari berikutnya, walaupun umur Bulan sudah menjangkau lebih 40 jam.
Tidak hairan wujud kaedah penyusunan takwim asas ijtimak, yang hanya menggunakan umur Bulan sebagai asas penetapan awal bulan hijriyah, tanpa mengambilkira aspek rukyah dan kenampakan.
Lain tempat lain sifat. Lain hari lain posisi. Belajar berilmu.
Selamat hari raya, maaf lahir batin.
3 comments:
Dan masih ada yang mengatakan.. "Kenapa hari raya berbeza-beza? Umat Islam tak bersatu kah?"
Mentaliti dan ayat yang selalu kita dengar bila nak dekat-dekat raya.
Selamat Hari Raya. :)
Alhamdulillah..Really good explaination..Oleh itu di Belanda, hilal akan kelihatan sebelum terbenam matahari. Jika ufuk masih cerah sudah pasti sukar untuk melihat hilal dan memerlukan umur hilal yang lebih lama berbanding yang digunapakai di Malaysia.
Umat Islam tidak bersatu??..tidak berilmu sebenarnya..pahit untuk menerimanya tapi itulah hakikat di Malaysia. Jika penentuan awal bulan tidak difahami, masih lagi diterima akal sebab hanya 12 kali penentuan setahun dan yang diwarwarkan hanyalah dua kali setahun iaitu ramadhan dan syawal. Jika bertanya bagaimanakah menentukan waktu solat 5 kali sehari? ramai terpingga-pingga untuk menjawab. Apa susah kalendar Jakim dah ada..rujuk je la.. Tidak tahu kira tak mengapa tapi biarlah kita tahu prinsip dan asas penentuannya. Disinilah hilangnya asas astronomi dalam jiwa Islam..
"Oleh itu di Belanda, hilal akan kelihatan sebelum terbenam matahari"
Bagi posisi yang dibincangkan dalam artikel, kenyataan di atas kurang tepat, kerana amat jelas selagi matahari masih ada, kecerahan (magnitud) matahari melebihi kecerahan sabit hilal, menjadikan kenampakan adalah mustahil pada tabie. Justifikasinya adalah "bulan terbenam dahulu berbanding matahari, hilal tidak wujud ketika matahari terbenam".
Wallahuaalam.
Post a Comment