Wednesday, July 31, 2013

Kalkulator Posisi Hilal (Kalkulator Falak)

Bismillah.

Selamat meneruskan ibadah puasa. Tulisan kali ini fokus kepada Kalkulator Posisi Hilal yang boleh diakses menerusi capaian Kalkulator Falak di sudut kanan weblog ini, di bawah Takwim.

Pernahkan anda menggunakannya? Jika belum, ini maklumatnya. Kalkulator Posisi Hilal adalah perisian yang menghitung posisi Bulan relatif dengan posisi Matahari yang dipaparkan dalam bentuk rajah tanpa skala, berdasarkan pandangan/pemerhatian/observasi dari suatu lokasi yang anda pilih sendiri. Paparan ditetapkan hanya pada petang 29hb Hijriyah dan jika berkenaan, petang 30hb Hijriyah.

Paparan maklumat mungkin berbeza dengan takwim rasmi, kerana paparan adalah berdasarkan lokasi yang anda pilih, bukan lokasi rujukan rasmi. Lokasi rujukan rasmi boleh diperolehi di laman web JAKIM. Biasanya penggunaan lokasi pilihan sendiri tidaklah berbeza sangat dengan takwim rasmi, kecuali pada tarikh-tarikh tertentu di mana posisi Bulan berbanding Matahari agak 'kritikal' (istilah saya sendiri - merujuk sifat Anak Bulan yang terlalu minimum berbanding syarat kenampakan).



Cara menggunakannya, pertama, anda perlu tentukan lokasi (menu TETAPAN LOKASI) pilihan anda. Pastikan GMT yang betul jika bukan di Malaysia. Ikut arahan diberikan. Lokasi pilihan anda sepatutnya tertera pada penjuru kanan atas.

Kedua, buka Kalkulator Posisi Hilal. Pilih Bulan Hijrah (1 - 12) dan Tahun Hijrah. Pilih Kriteria jika berkenaan (Malaysia 1992 adalah kaedah sekarang. Istanbul 1978 adalah kriteria sebelum 1992). Kemudian, tekan butang HITUNG.

Perisian akan memaparkan maklumat yang keterangan terperinci diberikan pada muka depan pengenalan perisian Kalkulator Posisi Hilal, beserta gambarajah. Jika Anak Bulan memenuhi Kriteria, hanya satu rajah sahaja diterbitkan, dengan anggapan bulan tersebut hanya 29 hari. Jika tidak memenuhi Kriteria, dua rajah diterbitkan dengan anggapan bulan tersebut 30 hari. Seperti dijelaskan di atas, perbezaan mungkin ada dengan takwim rasmi disebabkan berbeza lokasi rujukan.

Berikut adalah contoh bagi mengetahui bilakah awal Syawal 1434 berdasarkan hitungan.
Menggunakan perisian ini, anda boleh membuat persediaan lebih awal mengenai cuti, pembahagian kerja, jadual tugas dan sebagainya. Bagi petugas teknikal falak, perisian ini memberikan maklumat lengkap lebih cepat berbanding mendapatkannya menggunakan perisian lain.

Bagaimanapun, harap maklum bahawa perisian ini menggunakan formulasi hitungan kejituan rendah yang sesuai untuk persediaan awal, dan maklumat umum sahaja. Ia tidak sesuai untuk kenyataan rasmi atau rujukan tahap tinggi seperti yang digunakan dalam penyusunan takwim rasmi oleh pihak berwajib. Disebabkan inilah, tarikh sebenar tetap tertakluk kepada Perisytiharan Rasmi.

Semoga bermanfaat.

Selamat berpuasa dan Selamat berhariraya.

-ATR





No comments: