Pages

Monday, April 6, 2015

Kaedah Mudah Menentukan Arah Kiblat

Salam.

Pembaca yang budiman,

Untuk ke sekian kali, saya bincangkan semula tajuk Menentukan Arah Kiblat. Setelah mengendali beberapa kursus Arah Kiblat di beberapa negeri, saya cuba permudahkan beberapa kaedah supaya sesuai dengan tahap dan keupayaan orang awam pada aspek kemudahan dan peralatan yang ada pada mereka.

Keutamaan orang awam adalah menentukan Arah Kiblat di premis kediaman mereka sahaja, atau surau persendirian di pejabat, sebagai contoh. Justeru, mereka tidak memerlukan tindakan pihak berkuasa untuk menanda, atau menggunakan alat yang mahal.

Sayangnya, punca masalah kepada kegusaran tentang ketepatan Arah Kiblat adalah penggunaan kompas biasa, atau perisian kompas dalam smartfon. Kompas, adalah alatan magnetik yang mudah menerima kesan atau gangguan magnetik persekitaran. Ini menyebabkan kompas gagal menunjukkan arah yang betul terutama bagi penggunaan "indoor".

Untuk menyemak ketepatan kompas anda, atau untuk menentukan Arah Kiblat tanpa menggunakan kompas, sayugia saya cadangkan satu lagi kaedah yang mudah, sesuai untuk kegunaan awam sahaja. Kaedah ini tidak memerlukan sebarang hitungan dll.

Begini;

1) dapatkan sehelai kertas, atau kadbod. Kertas A4 biasa sudah memadai.
2) pergi ke masjid terdekat dengan kediaman atau lokasi anda pada waktu siang.
3) lihat bayang matahari pada tiang/dinding tegak atau tingkap/pintu masjid tersebut.
4) jajarkan satu sisi kertas dengan Arah Kiblat masjid. Pastikan bayang tiang melalui kertas tersebut. Buat garisan lurus yang mewakili garis bayang. Tandakan sisi kertas yang mewakili Arah Kiblat. Tulis waktu tandaan. Contoh jam 10.00 pagi.
5) sekarang, pada kertas anda, ada satu sisi yang mewakili Arah Kiblat dan satu garisan mewakili arah matahari. Tandakan arah dalam bentuk anak panah.
6) seterusnya, kembali ke lokasi anda. Anda hanya perlu tunggu keesokan hari, pada waktu yang sama, contoh jam 10 pagi, lihat bayang dinding/tiang/tingkap/pintu tegak rumah atau premis anda, dan selarikan garis bayang matahari sama seperti bayang di masjid (jangan terbalik arah). Sisi kertas Arah Kiblat akan selari dengan Arah Kiblat sebenar.
7) jika tandaan mahu dilakukan pada hari yang sama, waktu tandaan di masjid hendaklah sekitar setengah jam hingga sejam selepas Waktu Syuruk tempatan (pagi), atau dua jam hingga satu setengah jam sebelum Maghrib (petang). Kemudian kembali segera ke lokasi anda, buat tandaan arah dengan cara yang sama. Sela masa, atau tempoh antara tandaan di masjid dengan premis anda hendaklah dalam lingkungan setengah jam. Lebih cepat lebih baik.

(Kaedah 7 adalah disebabkan arah posisi matahari tidak banyak berubah dalam tempoh tersebut)

Allahumma. Moga bermanfaat.





No comments: