13 Disember 2023 ini, merupakan hari ke 29 bulan Jumadal Awal 1445 menurut susunan takwim Hijri asas imkanurrukyah Malaysia. Menurut takwim juga, hari terakhir adalah 29 Jumadal Awal, apabila esoknya 14 Dis 2023 adalah bersamaan 1 Jumadal Akhir 1445. Ayuh lihat keterangan ringkas bergambar mengenai tarikh awal Jumadal Akhir 1445 ini.
Sifat anak bulan atau hilal setiap lokasi ditandakan dengan warna berbeza. Zon tidak berwarna adalah zon tiada klasifikasi, atau zon bulan di bawah ufuk. Zon berwarna membahagikan kawasan berdasarkan altitud bulan iaitu merah (antara 0° hingga 3°) ungu (3° - 4.3°) kuning (4.3° - 5°) biru (5° - 6.4°) oren (6.4° - 9°) pink (9° - 12°) dan hijau (12° ke atas, dan lazimnya adalah hari ke 30). Had altitud adalah perkadaran kasar sahaja melainkan pada had 3°, 4.3°, 5° dan 6.4° yang ada banyak kajian dan perbincangan. a lengkuk pula adalah pembahagian zon menurut had elongasi atau jarak lengkung iaitu hijau (6.4°) putih (7.5°) kuning (9°) dan oren (12°). Berdasarkan petunjuk ini, kita boleh tentukan zon-zon mustahil boleh kelihatan (tiada warna), tidak boleh kelihatan (merah), boleh kelihatan dengan alat optik sahaja(ungu, kuning dan biru, tidak lepasi garisan hijau), boleh kelihatan dengan mata dengan bantuan optik (ungu, kuning, biru dan oren, lepasi garisan hijau), boleh kelihatan dengan mata (lepasi garisan putih) mudah kelihatan (garisan kuning) dan sangat mudah kelihatan (garisan oren). Rajah ini masih dalam proses penyelidikan dan kejituan zon dan garisan masih boleh dipersoalkan. Bolehlah dikategorikan tahap kejituan sederhana, terutama bagi garisan lengkuk elongasi.
Apakah kategori kenampakan bagi Malaysia pada 13 Disember ini?
Malaysia terbahagi kepada dua kategori, Malaysia Timur masuk kategori boleh nampak menerusi alat optik sahaja, Malaysia Barat pula kategori boleh nampak dengan mata, berbantukan alat optik. Secara mudah, jika disatukan, menjadi kategori 'boleh kelihatan, agak sukar', apa lagi dalam keadaan cuaca terkini, had kenampakan akan menurun satu atau dua kategori. Turun dua maknanya merah, tidak kelihatan. Itu aspek rukyahlah. Aspek hitungan dan kategori sama ada memenuhi kriteria atau tidak, itu aspek penetapan dan penyusunan takwim oleh kerajaan. Kita fokus pada aspek rukyah saja.
Selamat Tahun Baharu.