Monday, January 15, 2024

Maghrib dan Syuruk

Waktu Maghrib bagi lokasi sama aras laut, dan lokasi lebih tinggi dari aras laut, berbeza waktunya. Semasa observasi dengan alat ukur, pemerhati di lokasi lebih tinggi akan dapati matahari belum terbenam walau sudut junaman sudah melebihi 90° dari zenit. Sudut 90° ini dinamakan ufuk hakiki (astronomical horizon), manakala ufuk mar'i (true horizon) adalah sudut yang mengambilkira ketinggian suatu lokasi observasi dari aras laut. Keadaan ini adalah serupa bagi waktu terbit matahari (Syuruk).


Satu lagi pengaruh kepada posisi matahari (dan objek langit yang lain) ketika observasi adalah pembiasan atmosfera dengan berbagai faktor seperti suhu, tekanan udara, humidity dan sebagainya. Untuk observasi, ada kaedah hitungan semasa atau berdasarkan data sebenar, di mana pemerhati perlu mengambil bacaan parameter yang diperlukan untuk mengira kadar pembiasan. Pilihan kedua adalah menggunakan kadar standard bagi parameter yang diperlukan. Untuk hitungan falak bagi keperluan ibadat yang dimasukkan juga kadar tamkin atau ihtiyati, umum menerima untuk menggunakan kadar parameter standard sahaja untuk hitungan menjadikan kadar pembiasan (R) yang digunakan di Malaysia adalah R = 34'. 


Pembiasan atmosfera menghasilkan situasi posisi matahari sebenar (menurut hitungan) berbeza dengan matahari yang dilihat (observed). Mengetahui kadar pembiasan (R), membolehkan posisi matahari yang dilihat dihitung detik terbenam di ufuk mar'i, bersamaan detik Maghrib yang sebenar, iaitu matahari hilang di ufuk. 

Berdasarkan penjelasan di atas, parameter posisi matahari bagi hitungan waktu Maghrib menjadi;

90° 16' + R + D

Parameter ini sama untuk waktu Syuruk.



Saturday, January 13, 2024

Rahmatilah Kami di bulan Rajab, dan Syaaban

 Seperti sedia maklum, tarikh 29 hb Jamadil Akhir adalah pada 11 Jan 2024, kerana 1 Jamadil Akhir adalah pada 14 Dis 2023 yang lalu. Namun, pada maghrib 11 Jan, hilal belum wujud di atas ufuk, menjadikan tarikh 12 Jan 2024 adalah 30 Jamadil Akhir, dan 13 Jan 2024 adalah bersamaan 1 Rajab 1445. 


Seterusnya kita lihat 29 Rajab pula, yang bersamaan 10 Feb 2024. 


Data menunjukkan hilal memenuhi syarat kenampakan di Malaysia, dan sesuailah tarikh 11 Feb 2024 adalah bersamaan 1 Syaaban 1445, sebagaimana dicatat dalam takwim rasmi. 

Semoga kita dirahmati setibanya Rajab, dan menjelangnya Syaaban.

Monday, January 1, 2024

Terima kasih untuk anda semua dan selamat tahun baharu

appfalak.com telah beroperasi sejak April 2021, setelah beroperasi sejak 2001 dengan nama Kalkulator Falak sebelum itu. Berdasarkan rekod bermula tahun 2022, appfalak.com telah mendapat perhatian pengguna daripada pelbagai negara, dan sudah pasti pengguna terbanyak adalah dari Malaysia dan Indonesia. Apabila pemetaan lokasi dibuat, saya temui juga penggunaan melibatkan lokasi tengah laut mungkin di dalam kapal atau seumpamanya. 

Ribuan terima kasih kepada anda semua yang menggunakan aplikasi di appfalak.com dan semoga ia dapat memenuhi keperluan anda serperti diharapkan. Anda masih boleh menyampaikan pendapat dan saranan anda menerusi butang PESANAN/MESSAGES di laman tersebut. 

Semoga tahun 2024 menjadikan kita lebih baik lagi.