Monday, January 15, 2024

Maghrib dan Syuruk

Waktu Maghrib bagi lokasi sama aras laut, dan lokasi lebih tinggi dari aras laut, berbeza waktunya. Semasa observasi dengan alat ukur, pemerhati di lokasi lebih tinggi akan dapati matahari belum terbenam walau sudut junaman sudah melebihi 90° dari zenit. Sudut 90° ini dinamakan ufuk hakiki (astronomical horizon), manakala ufuk mar'i (true horizon) adalah sudut yang mengambilkira ketinggian suatu lokasi observasi dari aras laut. Keadaan ini adalah serupa bagi waktu terbit matahari (Syuruk).


Satu lagi pengaruh kepada posisi matahari (dan objek langit yang lain) ketika observasi adalah pembiasan atmosfera dengan berbagai faktor seperti suhu, tekanan udara, humidity dan sebagainya. Untuk observasi, ada kaedah hitungan semasa atau berdasarkan data sebenar, di mana pemerhati perlu mengambil bacaan parameter yang diperlukan untuk mengira kadar pembiasan. Pilihan kedua adalah menggunakan kadar standard bagi parameter yang diperlukan. Untuk hitungan falak bagi keperluan ibadat yang dimasukkan juga kadar tamkin atau ihtiyati, umum menerima untuk menggunakan kadar parameter standard sahaja untuk hitungan menjadikan kadar pembiasan (R) yang digunakan di Malaysia adalah R = 34'. 


Pembiasan atmosfera menghasilkan situasi posisi matahari sebenar (menurut hitungan) berbeza dengan matahari yang dilihat (observed). Mengetahui kadar pembiasan (R), membolehkan posisi matahari yang dilihat dihitung detik terbenam di ufuk mar'i, bersamaan detik Maghrib yang sebenar, iaitu matahari hilang di ufuk. 

Berdasarkan penjelasan di atas, parameter posisi matahari bagi hitungan waktu Maghrib menjadi;

90° 16' + R + D

Parameter ini sama untuk waktu Syuruk.



No comments: