Wednesday, February 19, 2025

Overview of Sun-Moon Elongation in Moonsighting

Oleh: Ahmad Taufan bin Abdul Rashid*

Pendahuluan

Jarak lengkung atau elongasi Matahari-Bulan memainkan peranan penting dalam rukyah hilal, iaitu proses pemerhatian anak bulan bagi menentukan permulaan bulan Hijriah. Elongasi ini merujuk kepada sudut pemisahan antara Matahari dan Bulan seperti yang dilihat dari Bumi. Kajian mengenai elongasi Bulan-Matahari membantu dalam menentukan kebolehnampakan hilal serta menyokong kaedah hisab dalam menetapkan awal bulan Islam.

Kategori Elongasi Bulan-Matahari

Elongasi Bulan-Matahari merujuk kepada sudut antara Bulan dan Matahari yang diukur dari Bumi. Semakin besar nilai elongasi, semakin jauh Bulan dari Matahari di langit dan semakin tinggi peluang untuk hilal dapat dilihat. Terdapat beberapa keadaan elongasi yang berkaitan dengan rukyah hilal:

1. Elongasi Minimum untuk Hilal - Berdasarkan kajian falak, hilal hanya boleh dilihat jika elongasi melebihi nilai ambang tertentu, biasanya sekitar 6-8 darjah bergantung kepada faktor atmosfera dan kecerahan langit.

2. Elongasi Kritikal - Julat elongasi yang menentukan kebolehnampakan hilal sekitar 5-6 darjah. Jika elongasi terlalu kecil, hilal akan terlalu dekat dengan Matahari dan sukar dikesan.

3. Elongasi Optimum - Nilai elongasi di mana hilal mempunyai ketinggian dan kontras yang cukup untuk dikesan dengan mata kasar atau alat optik (8 darjah ke atas).

Kepentingan Elongasi dalam Rukyah Hilal

Kajian elongasi Bulan-Matahari dalam rukyah hilal adalah penting dalam:

- Penentuan Kebolehnampakan Hilal: Elongasi yang mencukupi memastikan hilal dapat dilihat dengan jelas.

- Penggunaan Kaedah Hisab dan Rukyah: Data elongasi digunakan dalam perhitungan astronomi bagi menjangkakan kenampakan hilal sebelum cerapan dilakukan atau menyusun takwim.

- Keseragaman Takwim Islam: Memahami elongasi Bulan-Matahari membantu dalam menyelaraskan kaedah rukyah dan hisab bagi menentukan awal bulan Hijriah secara global.

Jenis Elongasi Bulan-Matahari

Sejak zaman dahulu, ilmuwan falak telah mencatat nilai elongasi untuk memahami fenomena hilal. Kini, dengan kemajuan teknologi seperti teleskop digital dan simulasi komputer, pengukuran elongasi Bulan-Matahari menjadi lebih tepat, membantu dalam meramalkan visibiliti hilal dengan lebih baik. Namun terdapat dua jenis elongasi yang menggunakan asas pengukuran yang berbeza, iaitu;

1. Elongasi geosentrik

Elongasi geosentrik merujuk sudut pemisahan bulan dan matahari berdasarkan garisan pusat bumi ke pusat bulan dan matahari. Disebabkan cerapan hilal dibuat pada waktu maghrib, terdapat perbezaan sudut pandang antara garisan dari pusat bumi dengan garisan dari permukaan bumi (toposentrik) berdasarkan kedudukan pencerap. Sudut ini dinamakan sudut parallaks. Ini menjadikan maksud elongasi toposentrik adalah seperti berikut;

        Elongasi toposentrik = elongasi geosentrik + parallaks

Jika anda meneliti aspek hitungan elongasi bulan-matahari ini, anda akan temui dua kaedah hitungan sudut pemisahan bulan-matahari iaitu;

i. menggunakan beza sudut antara longitud dan latitud ekliptik bulan dan matahari.

ii. menggunakan beza sudut antara azimut dan altitud bulan dan matahari.

Di sinilah anda akan temui nilai elongasi geosentrik yang sedikit berbeza apabila suatu aplikasi itu menggunakan hitungan i atau hitungan ii. 

2. Elongasi toposentrik

Elongasi toposentrik adalah sudut pemisahan bulan-matahari seperti yang dilihat dari permukaan bumi. Cerapan hilal dilakukan ketika maghrib, iaitu ketika sudut ketinggian matahari dan bulan jika di ukur dari atas kepala (sudut zenith) adalah menghampiri 90 darjah. Ketika sudut hampir ufuk ini, kesan biasan atmosfera adalah tinggi, di mana nilai altitud bulan perlu ambil kira nilai pembiasan;

        Altitud bulan (cerap/toposentrik) = altitud bulan (ketara/geosentrik) - parallaks + biasan

Perbezaan hitungan altitud akan pengaruhi hitungan elongasi toposentrik. Hitungan ii iaitu hitungan menggunakan azimut dan altitud bulan ini membahagikan elongasi toposentrik kepada dua kaedah hitungan, iaitu;

i. menggunakan nilai altitud bulan tanpa pembiasan (airless).

ii. menggunakan nilai altitud bulan dengan pembiasan ( + biasan).

Kesimpulan

Elongasi Bulan-Matahari merupakan salah satu faktor utama dalam rukyah hilal, memberikan panduan kepada ahli falak dalam menentukan kebolehnampakan hilal dan menetapkan awal bulan Hijriah serta penyusunan takwim. Dengan kemajuan teknologi moden, kajian elongasi ini terus diperkembangkan untuk meningkatkan ketepatan kalendar Islam. Bagaimana pun, berdasarkan penelitian di atas, terdapat dua kaedah hitungan elongasi geosentrik, dan dua kaedah hitungan elongasi toposentrik yang perlu dilakukan penelitian lanjut untuk menentukan hitungan mana yang digunakan sebagai nilai jarak lengkung bagi kriteria imkanurrukyah dahulu dan sekarang, dan yang mana lebih sesuai atau sepatutnya untuk digunakan dalam kaedah penetapan awal bulan.


*Penulis adalah,

i. AJK Falak Syarie Negeri Terengganu Penggal 2 2024-2026.

ii. mantan AJK Falak Syarie Negeri Terengganu Penggal 1 2022-2024.

iii. mantan AJK Takwim dan Rukyah Negeri Terengganu 2001 - 2022.



No comments: