Tuesday, December 30, 2025

Matlaʿ (مطلع) Dalam Konteks Penentuan Awal Bulan

 Konsep Matlaʿ (مطلع) dalam konteks kenampakan anak bulan dan penentuan awal bulan

Maksud matlaʿ
Matlaʿ merujuk kepada kawasan geografi yang berkongsi keadaan kemunculan anak bulan yang hampir sama. Perbezaan matlaʿ berlaku kerana bentuk bumi yang sfera, perbezaan longitud, latitud, waktu matahari terbenam, serta parameter astronomi bulan.
Ringkasnya, matlaʿ menjawab soalan:
Adakah rukyah di satu tempat terpakai untuk tempat lain atau terhad kepada kawasan tertentu sahaja?
Matlaʿ dari sudut astronomi (falak)
Dalam ilmu falak, kenampakan anak bulan dipengaruhi oleh:
1. Waktu ijtimak (konjungsi)
2. Waktu matahari dan bulan terbenam
3. Ketinggian bulan (altitud)
4. Jarak lengkung bulan–matahari (elongasi)
5. Umur bulan
6. Keadaan atmosfera dan cerapan
Disebabkan faktor ini:
1. Anak bulan boleh kelihatan di barat tetapi belum wujud di timur
2. Atau sudah wujud tetapi terlalu rendah untuk dilihat
3. Maka secara astronomi, setiap kawasan mempunyai matlaʿ tersendiri
Ukuran Matla'
1. Kaedah lazim bagi ukuran matla' adalah berdasarkan sifat imkan (boleh nampak) atau kriteria yang digunakan.
2. Secara umum, ulama dahulu menyifatkan ketinggian bulan (altitud) 7° apabila maghrib adalah sebagai 'ada imkan'. Tinggi 7° ini lebih kurang 30 minit tempoh rukyah dari matahari terbenam hingga bulan terbenam.
3. Ukuran matla' adalah kawasan yang berkongsi tempoh ini, iaitu kawasan yang beza longitud 7°, atau lebih kurang 30 minit jam. Dinamakan matla' lokal. Kenampakan di kawasan dalam lingkungan longitud 7° ke barat negeri boleh diterima atas dasar matla' yang sama.
4. Matla' negara (wilayah hukum) pula berdasarkan lebar suatu negara.
5. Matla' global boleh disebut sebagai tiada matla'.
Matlaʿ dari sudut fiqh
Ulama berbeza pandangan tentang sama ada matlaʿ:
1. Bersifat setempat (ikhtilāf al-maṭāliʿ)
Rukyah hanya terpakai untuk kawasan yang berkongsi matlaʿ yang sama. Negara luar matla’ menggunakan hasil rukyah sendiri.
2. Bersifat global (ittihād al-maṭāliʿ)
Rukyah di satu tempat mencukupi untuk seluruh dunia Islam. Hasil rukyah di bahagian lain digunakan untuk bahagian lain.

Logiknya, dengan kemudahan dunia hari ini, laporan kenampakan menjadi sangat mudah diperolehi. Bagaimanapun, ketika laporan dari bahagian barat diterima, bahagian timur sudah melepasi tengah malam, atau hampir pagi. Sesetengah negara menghadkan hingga Subuh (berkongsi malam) kerana sudah tidak munasabah untuk menerima kenampakan sedangkan hari siang telah bermula di situ. Ini menunjukkan masih ada had perlu ditetapkan kepada matla’ global, yg menjadikan satu negara itu 29 atau 30 hari. Justeru, matla’ global yang praktikal adalah membahagikan bumi kepada 2 bahagian, dipisahkan oleh garis kenampakan.
Seterusnya adalah bagaimana mewujudkan garis kenampakan itu, melalui rukyah mutlak, imkan-ur-rukyah (hisab), atau hisab hakiki (wujud-ul-hilal).
Imkan-ur-rukyah pula terikat pada kriteria ‘imkan’, yang masih melalui fasa penyelidikan dan perbahasan, hingga belum mempunyai satu kriteria yang diterima semua. Wujud-ul-hilal pula bersalahan dengan rukyah mutlak.

Rumusan
Hakikatnya, bumi terbahagi kepada siang dan malam. Tidak dapat tidak, sebahagian bumi akan tetap mendapat 29 hari, dan sebahagian lagi 30 hari. Perbezaannya hanya di garisan permulaan yang berubah setiap bulan disebabkan kewujudan dan kebolehnampakan anak bulan tidak berada pada garisan yang sama setiap bulan.



No comments: