Sunday, July 19, 2026

Istiwa Matahari di Atas Kaabah: Panduan Arah Kiblat Mudah Dua Kali Setahun

Istiwa Matahari di Atas Kaabah (Istiwa A'zhom): Panduan Arah Kiblat Mudah Dua Kali Setahun

Setiap tahun akan timbul persoalan:

"Sebenarnya istiwa a'zhom berlaku pada 27 Mei atau 28 Mei? pada 15 Julai atau 16 Julai?"

Jawapannya ialah kedua-duanya boleh ditemui dalam pelbagai sumber, bergantung pada kaedah pengiraan, tahun, pembundaran masa, zon waktu, serta model astronomi yang digunakan. Perbezaannya biasanya hanya beberapa minit, menyebabkan ada rujukan menyatakan 15 Julai, manakala yang lain menyatakan 16 Julai bagi waktu Malaysia (juga 27/28 Mei).

Hakikatnya, perbezaan sehari ini hampir tidak memberi kesan kepada kaedah semakan kiblat menggunakan bayang Matahari, selagi pemerhatian dibuat ketika waktu Matahari berada hampir tepat di atas Kaabah.

Apakah perlu ketepatan yang tinggi detik Matahari di atas Kaabah itu hingga menidakkan kaedah am - dua hari saja setahun - 28 Mei 5.16pm dan 16 Julai 5.28pm yang lebih mudah diingat?

Kaedah bayang bergantung kepada arah cahaya Matahari. Di sekitar waktu istiwa a'zhom berlaku, bersamaan selepas jam 5 petang waktu Malaysia - kedudukan Matahari berubah dengan sangat perlahan dari sudut arah. Perbezaan beberapa minit hanya menghasilkan perubahan arah yang amat kecil, jauh lebih kecil daripada ralat yang lazim berlaku ketika membuat garisan bayang menggunakan kayu, pembaris, lantai yang tidak rata, atau kesilapan manusia.

Dalam keadaan sebenar, faktor seperti:

  • kayu tidak benar-benar tegak,

  • hujung bayang yang kabur,

  • permukaan tidak rata,

  • kesilapan melukis garisan,

selalunya memberi ralat yang lebih besar berbanding perbezaan beberapa minit dalam waktu istiwa a'zhom.

Yang lebih penting ialah teknik pemerhatian yang betul, bukannya terlalu bimbang sama ada tarikhnya 15 atau 16 Julai.

Sebenarnya, semakan kiblat tidak terhad kepada dua hari istimewa sahaja.

Terdapat banyak lagi kaedah berasaskan bayang Matahari yang boleh digunakan, antaranya:

  • Kaedah bayang mengikut azimut Matahari pada bila-bila masa (kaedah Sun Compass).
  • Kaedah bayang harian menggunakan tarikh dan masa tertentu yang dikira untuk sesuatu lokasi.
  • Kaedah istiwa tempatan dan pelbagai teknik falak yang berasaskan kedudukan sebenar Matahari.

Ini bermakna semakan arah kiblat boleh dilakukan hampir setiap hari/masa, asalkan kedudukan Matahari diketahui dengan tepat melalui pengiraan falak.

Justeru, dua tarikh istiwa a'zham setiap tahun adalah fenomena istimewa untuk orang awam semak kiblat dengan cara termudah. Dengan pengetahuan ilmu falak, Matahari boleh menjadi "kompas semula jadi" pada bila-bila masa.

"Matahari sentiasa menunjukkan arah. Tambahlah ilmu betullah langkah."

No comments: