Sunday, January 3, 2010

Makkah Diminta Berusaha Ke Arah Keseragaman Kalendar Ummah

Hari ini, menerima emel:
-------------------------------------

Akhbar al-Madinah, Selasa, 12 Muharram – Setiausaha Agung Majma’
al-Fiqhi al-Islami ad-Dwali (Akademi Fiqh Islam Antarabangsa) di
Jeddah, Dr. Abd al-Salam al-Abbadi menuntut supaya ditubuhkan sebuah
lembaga rasmi di Makkah al-Mukarramah yang menghimpunkan golongan
ulama dan beberapa orang pakar falak serta mengadakan kerjasama dengan
pihak-pihak yang terlibat dalam penentuan kalendar bulan di seluruh
dunia Islam, Organisasi Konferensi Islam (OIC), dan Akademi Fiqh Islam
Antarabangsa bagi menyelia segala yang berkaitan dengan hal ini.



Beliau juga menekankan tentang kepentingan penentuan kalendar hijri
yang seragam yang akan digunapakai oleh umat Islam seluruh dunia
berdasarkan kelahiran anak bulan sebelum tenggelam matahari dengan
syarat waktu tenggelamnya yang diukur berdasarkan penentuan waktu
Makkah atau mana-mana negara Islam yang berkongsi sebahagian waktu
malam dengannya. Dengan ini, ia dapat melaksanakan pandangan syarak
tentang awal bulan. Usaha ini hendaklah dilakukan menerusi lujnah khas
yang bertindak menyediakan kalendar ini dan diari harian Islam. Ia
juga akan menjadi rujukan umat Islam dalam penentuan kalendar hijri
seperti yang dituntut oleh resolusi sidang kemuncak Islam kali ke - 9
dan kali ke -10.

al-Abbadi juga menyeru ke arah penentuan berasaskan rukyah
(pemerhatian anak bulan) dengan bantuan kiraan falak dan mekanisma
pencerapan tertentu demi untuk melaksanakan tuntutan nas-nas Islam dan
mengambil kira fakta-fakta sains. Hal ini memandangkan rukyah adalah
kaedah syarak untuk menetapkan awal bulan. Selain itu, ia hendaklah
melibatkan kiraan ilmu falak yang teliti yang dihasilkan oleh
organisasi-organisasi dan pihak-pihak yang berkaitan.

Sebelum ini, anggota Lembaga Ulama Perdana Arab Saudi, Dr. Abd
al-Wahhab B. Ibrahim Abu Sulaiman telah menuntut supaya diasaskan
sebuah lembaga Islam antarabangsa yang dianggotai oleh pakar-pakar
falak seluruh dunia Islam dan para fuqaha yang terkemuka untuk
mewujudkan takwim tahunan Islam yang menyatakan awal setiap bulan dan
akhirnya serta tarikh-tarikh berkaitan amalan agama mengikut kaedah
syarak. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan implikasi negatif yang
berlaku akibat pencerapan tidak terurus dan tidak seragam di seluruh
dunia serta sebagai satu usaha menonjolkan kesatuan dan mengangkat
kewibawaan ummah.
Akademi Fiqh Islam Antarabangsa adalah sebuah organisasi di bawah
OIC yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi. Laman web akademi, klik di
sini. [1]

Links:
------
[1] http://www.fiqhacademy.org.sa/

----------------------------- tamat emel -----------

Memetik perenggan ini :

"al-Abbadi juga menyeru ke arah penentuan berasaskan rukyah
(pemerhatian anak bulan) dengan bantuan kiraan falak dan mekanisma
pencerapan tertentu demi untuk melaksanakan tuntutan nas-nas Islam dan
mengambil kira fakta-fakta sains. Hal ini memandangkan rukyah adalah
kaedah syarak untuk menetapkan awal bulan. Selain itu, ia hendaklah
melibatkan kiraan ilmu falak yang teliti yang dihasilkan oleh
organisasi-organisasi dan pihak-pihak yang berkaitan."


Sesungguhnya, ahli falak telah mengemukakan pelbagai resolusi berkaitan saranan ini, sebelum saranan ini dibuat pun. Malah Makkah sepanjang pengetahuan penulis, sistem takwimnya telah menggunakan beberapa sistem demi untuk memurnikan takwimnya.

Namun apa yang berlaku adalah, apabila 'laporan kenampakan' yang nyata menyalahi fakta sains diterima juga, atas dasar rukyah adalah ketetapan syarak, maka, apa ertinya usaha ke arah penyelarasan, atau keseragaman?

Moga Allah swt memberi hidayat.

No comments: