Tuesday, February 16, 2010

Sejarah Berulang, Atau Mengulang Sejarah?

Kali ini kita bincang bab yang masih serius. Mungkin berat, tapi mudah.

Pertama, perbincangan merujuk Penyata Parlimen 1978 hingga 1982. Memetik beberapa bahagian dan dijadikan bahan perbincangan kali ini. Berdasarkan perbahasan ahli parlimen tahun tersebut, beberapa maklumat menarik diperolehi, tetapi untuk sumber asal, atau maklumat terperinci, adalah sukar, kerana sesetengahnya tidak menyebut sumber, atau memberi maklumat yang kabur.



Kedua, masa untuk merenung sejenak. Apakah sejarah berulang, atau kita mengulang sejarah.

Baik. Kita mulakan. Merujuk penyata parlimen 17 Dis 1980.








Kenyataan seorang ahli parlimen di sini jelas menunjukkan bahawa semasa Allahyarham Tun Razak, kaedah falak telah digunakan "apabila anak bulan tidak kelihatan, padahal menurut kiraan falak anak bulan boleh kelihatan, maka kiraan ahli falak boleh digunakan". Kemudian kaedah ini telah tidak digunakan lagi semasa perbahasan ini berlaku. (Bila, bagaimana, kenapa?). 

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke 128 pada 13 Oktober 1983, bersetuju menggunakan kaedah rukyah dan hisab "Anak bulan Ramadhan dan Syawal, sekiranya tidak kelihatan kerana terlindung oleh keadaan cuaca, pada halnya mengikut kiraan ahli-ahli falak, anak bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli falak boleh digunakan".

Penyata 14 Jan 1982 pula memberikan maklumat mengenai kenampakan anak bulan (tiada maklumat lanjut apakah bentuk rupa, tetapi dikatakan ia adalah anak bulan) di Port Dickson, dengan Kadi Wilayah sebagai ketua, tetapi pihak Ukur tidak menerima kenampakan tersebut disebabkan ia tidak berada pada sudut posisi yang betul menurut hitungan.

Meneliti isu-isu ini, jelas menunjukkan polemik rukyah hisab berlaku, dan menyebabkan sekejap guna rukyah hisab, sekejap guna rukyah semata.

Apa yang nyata, penggunaan kaedah Imkanurrukyah sekarang ini (Kaedah Rukyah Hisab jugalah) adalah entah kali ke berapa sebenarnya, dan meneliti polemik yang masih berlaku, apakah akan berlaku perubahan lagi?

Kita renung sejenak... Apakah sejarah berulang, atau kita mengulang sejarah?

Penulis percaya, jika kita boleh menerima definisi sebenar rukyah dan hisab sebagai komponen ilmu falak, pasti selesai beberapa polemik, sekalipun tidak sepenuhnya.

Ya Allah. Pada Mu Kami Mohon Petunjuk

1 comment:

Marribel V9 said...
This comment has been removed by a blog administrator.