Salam untuk anda.
Selalunya saya tidak membincangkan aspek hukum dan aqidah dalam blog ini. Namun entah kenapa, membaca beberapa tulisan dan info mengenai apa yang berlaku hari ini, mendorong saya untuk menulis juga sedikit. Isunya, Hukum Allah swt yang dikritik hebat sebagai tidak sesuai dengan zaman, menurut piawaian hukum akal. Tidak logik dan sebagainya. Saya fikir, tidak perlulah saya menulis semula pandangan-pandangan tersebut memandangkan di internet ini, anda boleh mencapainya dengan mudah sekali.
Saya juga fikir bahawa tidak perlu saya mengemukakan hujah ilmuan yang sekian banyak dalam buku dan internet, yang juga anda boleh gelintarinya dengan mudah.
Justeru apa yang saya lontarkan di tulisan ini adalah rumusan dan pendirian saya berasaskan pembelajaran dan pemahaman, terhadap pandangan sedemikian, dengan harapan dan doa, saya tidak terjerumus untuk mengikuti dan menerima pandangan yang jelas terpesong dan keliru tentang apa itu hukum Allah swt. Allahu robbi.
Hukum Allah bersifat kolektif. Hukum Allah tidak untuk individu, walaupun hukum itu seperti bersifat individu. Seperti hukum puasa contohnya. Apa yang kelihatan seperti hanya bersifat individu seperti sah, batal, makruh dan sebagainya, masih bersifat kolektif apabila dilihat secara terperinci. Bagaimana? Jika batal, masih perlu 'imsak' iaitu menahan diri daripada makan sehingga waktu berbuka tiba. Kenapa? Hormat dengan Allah swt, hormat dengan bulan wajib puasa, hormat hukum Allah swt, hormat orang lain, maka walau terbatal, tidak ditonjolkan. Hikmahnya, tidak perlu saya panjangkan. Apalagi jika memang hukum itu melibatkan orang lain, seperti jual beli, nikah kahwin dan lain-lain lagi. Malah dalam aspek syarat sah wuduk yang memerlukan antara lain 'air mutlak', adalah sejenis air yang tidak mampu seorang individu itu menyediakannya, melainkan secara kolektif juga, melalui Jabatan Bekalan Air contohnya, baharulah penyediaan 'air mutlak' itu lebih sempurna. Air sungai yang dikatakan bersih, tidak lagi menjadi identiti banyak sungai hari ini. Malah sesetengah sungai yang disedut airnya oleh JBA pun, masih memerlukan proses pembersihan yang memakan kos yang tidak sedikit.
Menyebut tentang kolektif, sudah tentu suatu hukum atau peraturan itu tidak dinilai sama oleh semua orang. Lain orang lain akalnya, lain orang lain pandangannya. Maka peraturan sebegini tidak dapat tidak perlu memenuhi objektif secara kolektif, bukan individu. Kebaikan dan keburukan perlu dilihat kesannya secara keseluruhan, bukan pada individu. Perlaksanaan hukum mahkamah seperti sebat kepada pesalah, tentulah dilihat kejam pada individu, tetapi secara kolektif, ia memberi pengajaran kepada kelompok untuk tidak melakukan kesalahan yang sama. Ia juga memberikan keadilan kepada pihak yang kesalahan itu dilakukan terhadapnya. Dengan ini, kesalahan sama tidak diulang oleh orang lain. Kelompok akan hidup lebih aman.
Demikian dalam hal perkahwinan, seperti isu hari ni, poligami. Dilihat secara individu, tentulah tidak adil pada wanita, terpaksa berkongsi. Dilihat secara kolektif, seorang wanita boleh berkahwin dengan suami orang (selagi ada kuota), atau duda, atau bujang teruna. Lelaki boleh berkahwin 'hanya' dengan 'janda' atau 'anak dara' sahaja. Dia tidak boleh mengahwini 'milik' lelaki lain. Dengan ini, wanita boleh mendapatkan perlindungan dalam meneruskan kehidupannya dengan mana-mana lelaki yang mampu. Tidakkah ia memberikan kelebihan kepada wanita? Jika aspek perlindungan tidak diambilkira, hanya aspek keseronokan, tampak seperti kelebihan pada lelaki. Namun walau berapa isterinya, semuanya tanggungannya. Lelaki, jika dihalang pun, jalan mudah tolak satu ambil ganti. Atau, menjadi penzina. Mahukah isteri mendapat suami penzina?
Atau, wanita juga berharap jika mendapat kelebihan serupa? Berkahwin lebih? Fikir sendirilah. Hukum akal kan ada.
Sesungguhnya setiap orang dari umat lelaki dan wanita diberikan kelebihan akal untuk menentukan jalan hidup. Dalam membuat keputusan, yang sebaiknya adalah mengambilkira kesan secara kolektif, bukan secara individu. Kesungguhan menyempurnakan hasrat sendiri kadangkala merosakkan hasrat kelompok, atau memusnahkan ikatan kelompok itu sendiri, dan kesannya akan terkena kepada individu itu juga. Kadang kala akal kita gagal melihat 100 tahun ke depan, dan sesungguhnya Allah swt maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment