Pendahuluan
Antara sedar atau tidak, isu berkaitan perbezaan waktu antara Timur dan Barat selalu menjadi perhatian. Namun ia tidak muncul dengan nama Timur atau Barat, tetapi dengan nama tempat, Terengganu dengan Kelantan, Pahang dengan Selangor, Johor dengan Negeri Sembilan, apa lagi melibatkan antara Sabah dengan Sarawak, dengan Semenanjung. Lagi menarik, antara Malaysia dengan Thailand, Brunei dengan Malaysia, Malaysia dengan Singapura. Lagi parah, Malaysia dengan Arab Saudi. Punca? Perbezaan kedudukan di topografi Bumi, membezakan waktu antara lokasi-lokasi berkenaan. Pengetahuan sedikit atau keliru tentang perbezaan waktu, yang turut membezakan beberapa aspek lain, menyebabkan kadang-kala perbezaan itu gagal diterima secara logik, kerana pengetahuan dangkal atau keliru telah membentuk 'logik' yang berbeza, kadangkala 'logik yang tidak logik'. Tulisan ini berusaha memperjelaskan isu-isu ini berdasarkan perspektif ilmu falak, dengan objektif memberi kefahaman tentang sistem waktu, hubungkait dengan aspek ibadat, perlaksanaan peringkat individu, nasional dan antarabangsa, seterusnya mengemukakan beberapa rumusan dan cadangan yang mungkin sesuai dipraktikkan.
Sistem Waktu
Sistem waktu yang digunakan sekarang adalah waktu suria, berasaskan pergerakan matahari. Namun ia bukan lagi berdasarkan pergerakan matahari sebenar, di mana jam 12 tengahari adalah bila matahari di atas kepala, tetapi berdasarkan sistem waktu yang di'zon'kan berdasarkan sempadan tertentu. Justeru apabila jam 12 tengahari bagi satu 'zon', ia adalah detik matahari berada di garis rujukan zon tersebut. Sistem zon waktu ini memudahkan urusan dilakukan dalam satu zon, dan di antara satu zon dengan zon yang lain. Sistem zon waktu dunia dipisahkan berdasarkan julat longitud 15° (1 jam) atau 7.5° (0.5 jam). Malaysia dahulunya menggunakan 2 zon waktu, iaitu Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Kemudian disekalikan pada 1982 dengan menggunakan satu garis rujukan sahaja, iaitu 120° Timur. Penggunaan garis ini membezakan Malaysia dengan Greenwich sebanyak 8 jam (GMT +8). Arab Saudi pula berbeza 3 jam (GMT +3) dengan Greenwich, menjadikan Malaysia berbeza 5 jam dengan Arab Saudi. Apakah sistem zon waktu dan perubahan garis rujukan memberi kesan terhadap sistem penentuan waktu solat?
Waktu Solat
Waktu solat ditentukan berdasarkan pergerakan dan kedudukan matahari sebenar. Waktu Zohor bermula di satu tempat apabila matahari berada di garis tengahari tempat tersebut (meridian tempatan). Ia bersamaan dengan jam 12 tengahari menurut waktu sebenar, yang diukur menggunakan 'jam suria' (sundial). Bukan waktu menurut sistem zon. Kerana itu kita dapati Zohor di Terengganu lebih awal berbanding Kelantan. Zohor di Sabah 1 jam lebih awal daripada Terengganu. Sedangkan jam Sabah dengan Terengganu sama. Waktu masuk Zohor pula tidak sama. Ilmu Falak memberikan kaedah khusus menghitung waktu matahari berada di garis tengahari (masuk waktu Zohor) dan perbezaannya dengan waktu zon. Ini membolehkan waktu zon digunakan untuk paparan waktu solat. Perubahan sistem zon waktu, tidak memberi kesan kepada waktu solat, tetapi hanya pada paparan waktu rasmi sahaja. Contoh, Zohor di Kuala Terengganu (KT) menurut waktu Malaysia ialah 12.54 tgh. Kalau dulu semasa sistem dua zon, Zohor di KT adalah pada jam 12.24 tgh. Bila satu zon, jadilah 12.54 tgh (+0.5 jam). Bukan waktu yang utama, tetapi di mana matahari berada pada jam tersebut. Bila rujukan berubah, waktu turut berubah, tetapi matahari tetap berada di garis tengahari menandakan masuknya waktu Zohor. Boleh sahaja jika dipaparkan menurut waktu Arab Saudi, 12.54 - 5 jam = 7.54 pagi menurut waktu Saudi. Tapi kena guna jam Saudilah, jangan guna jam Malaysia 7.54 pagi, itu salah.
Penentuan waktu solat berdasarkan kedudukan matahari sebenar, membezakan detik waktu antara negeri, malah antara daerah, malah antara kampung. Namun adakah wajar untuk membentuk jadual waktu solat khusus untuk setiap kampung? Ini sekali lagi membentuk sistem zon. Sistem zon waktu solat. Bagaimana? Mengambilkira pandangan syarak berkaitan tempoh masa yang wajar antara detik akhir waktu dengan awal waktu, Malaysia menggunakan pendekatan 2 minit sebagai panduan membentuk zon waktu solat. Begini, jika menurut kedudukan matahari sebenar, waktu zohor antara kampung sudah berbeza. Menggunakan sistem zon waktu solat, jika kampung A masuk Zohornya jam 12.50 tgh, kampung B masuk Zohor jam 12.52, kedua-dua kampung (termasuk kampung lain dalam lingkungan A dan B) tersebut dianggap berada dalam satu zon. Waktu yang digunakan ialah waktu yang paling lewat dalam zon tersebut iaitu waktu kampung B, jam 12.52. Maka waktu bermulanya Zohor bagi zon tersebut adalah pada jam 12.52.
Menggunakan sistem zon waktu solat, rupanya memberi kesan kepada tempat yang berada sebelah-menyebelah, tetapi dalam zon berbeza. Sistem zon waktu solat dibahagikan menurut daerah dalam satu-satu negeri. Mustahil untuk memecahkan daerah yang sempadannya entah di mana, apa lagi satu kampung. Ini zon A, ini zon B. Satu kampung bahagi dua. Boleh? Sukar atau mustahil.
Daerah A dalam negeri S, dengan daerah B dalam negeri T, tetapi sebenarnya hanya sebelah menyebelah. Kampung paling barat dalam daerah A, dengan kampung paling timur dalam daerah B. Kampung paling timur di B perlu tunggu waktu masuk di kampung paling barat dalam B juga. Ini melewatkannya (2 minit atau mungkin lebih) berbanding kampung paling barat dalam daerah A. Sempadan daerah diketahui, sempadan kampung diketahui, tetapi rumahnya sebelah pagar sahaja. Apa hukumnya Syeikh? Jika sempadan ini digabungkan, ia akan menjadi zon besar, sehingga beza timur barat menjadi 4 minit, atau lebih. Tidak wajar. Ia akan berjangkit dengan zon seterusnya, daerah C. Jadi, berkorbanlah 2 minit, walau hanya sebelah pagar. Anda di alamat berbeza. Begitulah sistem zon waktu solat. Bagaimana pula dengan takwim? Brunei di dalam zon waktu yang sama dengan Malaysia, tetapi awal bulan hijriyah boleh berbeza?
Sistem Takwim
Sistem takwim berdasarkan penggunaan semasa, adalah jenis takwim Syamsiyah (solar/matahari) dan Qamariyah (lunar/bulan). Takwim Syamsiyah yang digunakan secara meluas hari ini adalah Takwim Masehi. Sistem Takwim Masehi ini pula adalah Sistem Gregorian. Manakala Takwim Qamariyah pula adalah Takwim Hijrah. Sistem yang digunakan untuk Takwim Hijrah terbahagi kepada tiga secara umum, Rukyah hakiki, Hisab hakiki, dan ketiga, Rukyah + Hisab disebut 'Imkanurrukyah'.
1) Rukyah Hakiki
Sistem rukyah hakiki, atau rukyah semata-mata, adalah sistem takwim hijrah yang memulakan bulan baru berdasarkan kenampakan anak bulan berdasarkan rukyah yang dilakukan. Ironinya, ia hanya diamalkan pada bulan2 ibadat (puasa/raya) sahaja, manakala bagi bulan lain menggunakan hisab hakiki pula. Jika kaedah rukyah hakiki digunakan untuk semua bulan, Takwim Hijrah tahunan tidak dapat diterbitkan, sebaliknya hanya boleh dikeluarkan sebulan sekali, dengan tanda (*) pada hari ke 30. Jika dikeluarkan pun, apabila hasil rukyah tidak sama dengan hisab hakiki, maka 'ambil pen, potong tarikh tercetak, tulis tarikh yang betul pada takwim yang telah dicetak'!
2) Hisab Hakiki
Sistem hisab hakiki, atau hisab semata-mata, adalah sistem takwim hijrah yang memulakan bulan baru berdasarkan hitungan hisab hakiki yang menunjukkan bulan ada di atas ufuk ketika matahari terbenam pada 29hb hijriyah. Anak bulan didefinisikan 'ada di atas ufuk' apabila waktu bulan terbenam, terkemudian daripada matahari terbenam, walau satu minit sahaja! Contoh: bulan terbenam jam 6.02 ptg. Matahari terbenam 6.01 ptg. Bulan disabitkan 'ada'. Hakikatnya, berdasarkan data di atas, kedudukan bulan dengan matahari lebih kurang seperti rajah di bawah (tidak boleh nampak menurut Imkanurrukyah):
Kedudukan bulan dalam zon serakan cahaya matahari |
3) Rukyah dan Hisab (Imkanurrukyah)
Sistem rukyah dan hisab adalah sistem yang menggunakan justifikasi sains kenampakan anak bulan bagi menentukan kewujudannya ketika matahari terbenam. Menurut sains kenampakan anak bulan, anak bulan boleh kelihatan apabila perbezaan waktu terbenam lebih besar, jarak pemisahan sudut bulan matahari lebih besar, yang digambarkan secara grafik seperti rajah di bawah, menurut zon yang diwarnakan:
Zon tidak boleh nampak dan zon boleh nampak seluruh dunia |
Sesuatu perlu difikirkan di sini, penggunaan rujukan paling Barat di Malaysia iaitu Langkawi, ada ketika garis kenampakan membelah Malaysia. Maka kenampakan di Langkawi bukan kenampakan di Sabah (Termasuk Brunei). Namun dalam kaedah zon takwim, Sabah menurut Langkawi, walau Sabah tidak boleh nampak. Iaitu kenampakan di Barat digunakan di Timur. Dalam zon waktu solat, waktu solat di Barat digunakan untuk waktu di Timur zon. Apa bezanya? Anak bulan- semakin ke barat, semakin boleh nampak. Waktu solat - semakin ke timur, semakin lama waktu masuknya. Berlawanan bukan? Sekiranya menggunakan sistem zon waktu solat, sepatutnya zon takwim menggunakan rujukan Timur, kerana jika di Timur boleh nampak, di Barat lagilah boleh nampak! Sudah barang tentu Malaysia tidak akan berbeza dengan Brunei, malah Sabah dengan Langkawi akan berkongsi 'boleh nampak', bukan seperti kaedah hari ini!
Dalam sistem orbit dan sains kenampakan anak bulan, bulan semakin hari semakin lebar sabitnya, dan semakin jauh dengan matahari dilihat waktu maghrib setiap hari. Apa yang sebenarnya berlaku ialah, setiap detik masa berlalu, semakin jauh jarak bulan matahari, dan semakin besar beza terbenam bulan dan matahari. Menyebut 'setiap masa yang berlalu' bermakna setiap zon muka bumi, dari timur ke barat. Bermakna, semakin ke barat, semakin lebar sabit bulan, semakin ke barat, semakin besar anak bulan, semakin ke barat, semakin mudah nampak anak bulan! Jika anak bulan tidak kelihatan di Malaysia, mungkin kelihatan di Saudi, atau Afrika, maka Saudi/Afrikalah yang memulakan bulan baru. Malaysia, tunggu giliran berikutnya.. esok!
Garis 1hb hijriyah bermula di Saudi, biarkan. Bumi terus berputar, Afrika 1hb, diikuti Amerika 1hb.. Jepun.. seterusnya Malaysia memulakan 1hb (selepas 19 jam permulaan di Saudi).. dan akhirnya India. Lengkaplah 1hb Hijriyah satu dunia. Masalah kita ialah, apabila melihat permulaan hari berdasarkan tarikh Masehi dan sistem jam yang digunakan sekarang. Kenapa melihat tarikh Hijrah dalam kerangka tarikh Masehi????
Penetapan tarikh awal Zulhijjah yang lalu jelas menunjukkan Arab Saudi memulakan bulan baru berdasarkan kaedah Hisab Hakiki. Jika ada laporan kenampakan, ia tidak berasas (not authentic) menurut sains.
Kesimpulan
1- Lihat sistem takwim dalam satu kerangka sahaja, kerangka takwim hijrah.
2- Penyatuan ummat adalah menerima perbezaan. Permulaan tarikh 1hb seluruh dunia berlaku dalam 24 jam, menurut giliran masing-masing. Sudah tentu berlaku selisih satu hari (29/30).
3- Barat dan Timur memberi kesan besar dalam banyak aspek ibadat. Perlu penilaian semula dalam beberapa kaedah penentuan tarikh dan takwim.
Rujukan
Baharrudin Zainal (2002) Pengenalan Ilmu Falak. DBP: Kuala Lumpur
Moonsighting.com (online)
No comments:
Post a Comment