Sunday, February 13, 2011

Sistem Waktu Solat

Salam.

Lama tidak menulis. Saya tidak menjadikan blog ini seperti diari harian. Biarlah ia menjadi bahan bacaan ringan, walau sesekali mungkin agak berat. Maklum sahaja, topik Ilmu Falak. Kadang kala sukar untuk meringankannya. Habis ayat, kata orang.

Setelah meneliti beberapa bacaan ringan dalam internet, suka saya merujuk artikel ini http://www.syifa-alhidayah.com/coretan_list_one.asp?id=76  yang menceritakan mengenai solat Dhuha dan waktunya. Manakala solat sunat Isyraq yang menjadi amalan sejak zaman sekolah, walau tidak istiqamah, dengan beberapa pendapat mengenainya, tidak perlu saya perpanjangkan di sini, melainkan fokus perbincangan saya kali ini hanyalah tentang waktunya, bukan tentang hukum dan kaifiatnya.

Sistem waktu solat ini telah disentuh secara umum, atau secara lalu, di dalam artikel sebelum ini Barat atau Timur?.  Cuma kali ini saya hendak perpanjangkan, atau perjelaskan lebih lanjut mengenai bagaimana sistem waktu ini disusun.



Tidak dapat tidak, perlu menerima hakikat bahawa waktu solat adalah merujuk kepada waktu solar (matahari). Sistem waktu solar yang digunakan sekarang adalah sistem waktu 24 jam, yang bermula tengah malam ke tengah malam berikutnya. Ketepikan waktu antarabangsa, GMT dan sebagainya. Sistem hari suria juga begitu (Masihi). Manakala sistem hari qamari, bermula maghrib ke maghrib berikutnya.Justeru, dalam aspek waktu solat, perlulah melihat dalam kerangka takwim qamari (Hijrah) untuk sehari semalam. Namun agak sukar juga tentunya dalam urusan sebuah negara, apabila Maghrib di Sabah adalah masuknya Hari Jumaat, manakala ketika itu masih hari Khamis bagi Semenanjung..... Tentunya ada hikmah juga sistem waktu dan hari yang digunakan sekarang, begini ragamnya.

Dalam sistem waktu solat, yang melibatkan waktu rasmi daerah, negeri dan negara yang kini menggunakan sistem zon, timbul beberapa masalah mengenai awal dan akhir waktu solat. Contoh biasa kedengaran adalah waktu solat di sempadan negeri. Terpaksalah menerima hakikat, bahawa dalam menyusun waktu rasmi zon, kawasan sempadan memang akan berbeza, dengan kata mudah, ada masalah. Penyelesaian terbaik hanyalah memastikan perbezaan itu tidak terlalu besar, dengan memastikan keluasan suatu zon waktu solat, tidak lebih dua minit (sesetengahnya hingga empat minit disebabkan daerah yang luas seperti di Sarawak, dan sukar dibuat sempadan zon). Pelarasan ini menyebabkan perbezaan waktu di sempadan zon, tidak lebih dua minit atau empat minit. Menyamakan waktu di sempadan zon adalah mustahil dilakukan tanpa menjejaskan sempadan berikutnya pula.

Apa maksud dua minit ini? Suatu zon waktu solat, yang biasanya mengandungi beberapa daerah, apabila masuknya waktu solat di sempadan timurnya, seterusnya masuknya waktu solat di sempadan baratnya, beza waktu tersebut dalam lingkungan dua minit. Untuk waktu rasmi zon tersebut, waktu sebelah barat digunakan sebagai paparan dalam jadual. Bermakna, bagi sempadan sebelah timur zon, waktu solatnya lewat dua minit, bagi meraikan waktu rasmi zon. Tidak boleh menggunakan waktu timur sebagai waktu rasmi, kerana belum masuk waktu bagi sempadan barat. Timbul masalah seterusnya. Akhir waktu. Jika waktu rasmi adalah lewat dua minit bagi timur zon, maka akhir waktu juga lewat dua minit... bagaimana dengan mereka yang solat lewat? Tidak menjadi keutamaan. Keutamaan adalah awal waktu perlu dipastikan waktunya benar telah masuk. Kerana itu syarat sahnya.Bagaimanapun, takwim Negeri Kedah mempunyai satu kaedah - akhir waktu adalah dua minit sebelum waktu seterusnya.

Waktu Syuruk berbeza. Ia menggunakan waktu timur zon sebagai waktu rasmi, dengan kata lain, Subuh dihabiskan dua minit awal bagi sempadan barat. Bagaimana Syuruk dihitung? Sama seperti Maghrib, apabila seluruh bulatan (cakera) matahari terbenam di ufuk. Syuruk adalah apabila cakera sebelah atas mula menyentuh ufuk, matahari telah disifatkan mula terbit, dan berakhirlah Subuh. Detik cakera atas matahari  mula menyentuh ufuk, sehinggalah seluruh cakera matahari berada di atas ufuk mengambil masa kira-kira 2 minit 8 saat. Jadikan 3 minit. Ringkasnya, matahari mengambil masa 3 minit untuk terbit seluruhnya. Oleh kerana waktu rasmi syuruk di timur, waktu tersebut telah merangkumi zon 2 minit, tetapi matahari belum terbit seluruhnya bagi barat zon, maka dicukupkan 3 minit bagi barat zon. Keseluruhannya, 5 minit untuk seluruh zon. Itu bagi zon 2 minit. Zon 4 minit? 3 min + 1 min + 3 minit = 7 minit. Umumnya, 5 minit tempoh terbit matahari bagi zon 2 minit, manakala zon 4 minit adalah 7 minit. Bagaimana? Waktu rasmi syuruk zon + tempoh 5 minit atau 7 minit = waktu terbit matahari seluruhnya.

Kadar yang dinyatakan di atas, adalah kadar menurut hitungan. Jika merujuk pendapat dan dalil hadis, kadar tinggi tombak digunakan untuk had tahrim solat sunat, tanpa menyebut kadar waktu secara jelas. Jika merujuk hitungan matematik di atas, kadar 7 minit hingga 10 minit mungkin boleh mewakili nilai tersebut. Menambah lagi selamat. Lihat perbincangan ini. Kesan penggunaan zon ini juga boleh digunakan dalam kes waktu imsakiyah, apabila waktu subuh itu di timur zon telah berlalu 2 minit atau 4 minit, untuk meraikan barat zon, justeru imsak 10 minit sebelum subuh adalah berbaloi diamalkan, terutama mereka di sempadan sebelah timur dalam zon.



WalLahu A'alaam..

Hamba yang fakir memberi noktah.

5 comments:

l.a.m.b.y.k.i.n.s.l.a.v..e said...

Assalamualaikum...
saya nak interview dengn awk boleh...utk project yang sedang kami jalankan....

Anonymous said...

Email sy taufan@unisza.edu.my

Anonymous said...

tak nok inetrview saka sekali ke ?? hehehehe...

Anonymous said...

assalammualaikum,

sy nak tanya tentang matahari terbit ditolak 5 minit....(2minit utk zon dan 3 mnit utk tempoh matahari terbit)

tentang tambahan waktu zon sebanyak 2 minit saya faham...

cuma utk 3 minit tu saya tak faham....sy faham jika wktu syuruk yg diberi ialah waktu matahari terbit keseluruhan cakeranya.....jadi perlu ditambah 3..

tapi bukankah waktu syuruk ialah waktu matahari mula terbit, bukan sudah terbit secara keseluruhan...??

jadi jika waktu syuruk ialah waktu matahari mula terbit, maka 3 minit tidak perlu dimbil kira.....


jika waktu syuruk ialah waktu matahari SUDAH terbit secara keseluruhan, maka barulah 3 minit diambil kira , betul tak?

faris rabu said...

ada tak cara nak mengira waktu tahrim solat ?