Thursday, July 28, 2011

Jangkaan Awal Ramadhan dan Syawal

Salam.

Sekali lagi mudah-mudahan dengan izin Allah swt kita akan lalui bulan Ramadhan yang mulia beberapa hari lagi. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini dapat dilalui dengan lebih baik berbanding tahun lepas. Mohon keampunan dan rahmat Allah swt jua, supaya dipanjang usia melepasi bulan penuh berkat ini.

Sekali lagi, memanjangkan perbincangan sebelum ini, pada topik Bila Matahari Terbenam, mengenai kedudukan bulan dan matahari ketika matahari terbenam, dan aspek kenampakan berkaitan.

Perbincangan ini bukan untuk menyelar mana-mana pihak, tidak juga bertujuan untuk mengubah sesuatu peraturan atau sistem, tetapi lebih merupakan perbincangan asas ilmu yang terdedah kepada sebarang komen dan ulasan, betul dan khilaf. Moga Allah swt memberikan kita rahmat kasih sayangnya supaya perbincangan ini mengarah kepada suatu yang baik, dan menghasilkan suatu yang baik jua.


Seperti yang dibincangkan dalam topik terdahulu, bahawa posisi bulan dan matahari berubah-ubah ketika matahari terbenam, disebabkan perubahan bulan pada orbitnya, perubahan bumi pada orbitnya, sekaligus mempengaruhi kedudukan matahari pada pandangan dari bumi pergerakan terbit terbenamnya.

Contoh yang diberi dalam topik tersebut adalah berkaitan dengan rajah berikut:


Gambarajah di atas merujuk kepada hitungan posisi bulan dan matahari pada petang hari rukyah 29 Syaaban nanti. Berdasarkan hitungan yang dibuat untuk lokasi yang dinyatakan, menunjukkan kedudukan bulan memenuhi kriteria kenampakan yang digunakan di Malaysia. Ia juga memenuhi kriteria kenampakan beberapa badan berkaitan Falak negara lain. Bermakna tiada isu untuk dibincangkan mengenai aspek kenampakan pada 29 Syaaban ini. Ianya jelas, menurut HITUNGAN PRA-CERAPAN, anak bulan dijangkakan boleh kelihatan (imkan ar-rukyah). Hitungan pra-cerapan tidak sepatutnya dianggap mendahului keputusan rasmi (PASCA-CERAPAN), bahkan apabila keputusan rasmi 'selari' dengan data pra-cerapan, ia menunjukkan tahap hitungan yang jitu dan boleh dipercayai (authentic) untuk digunakan dalam penyusunan takwim tahunan. Jika tidak selari? Panjang ceritanya.

Menjelang Syawal, berikut adalah data pra-cerapan;


Data pra-cerapan bagi kedudukan bulan dan matahari bagi awal Syawal menunjukkan bulan memenuhi kriteria kebolehnampakan yang digunakan di Malaysia. Tetapi ia tidak memenuhi semua syarat yang digunakan. Ini kerana Malaysia menggunakan 2 syarat utama, iaitu altitud (tinggi dari aras ufuk) dan jarak lengkuk (beza sudut bulan - matahari) sebagai 1 syarat bersama, dan umur bulan ketika bulan terbenam sebagai syarat yang kedua, secara berasingan. Maksudnya, bulan disabitkan 'boleh kelihatan' apabila ia memenuhi SALAH SATU syarat sahaja. Inilah intipati perbincangan saya dalam topik Bila Matahari Terbenam yang lepas. Menurut sains kenampakan anak bulan antarabangsa yang boleh diteroka di beberapa laman web, contohnya (moonsighting.com), anda akan dapati bahawa syarat yang digunakan di Malaysia adalah terlalu minimum, sehingga tidak menyamai, atau hampir dengan syarat/kriteria peringkat antarabangsa. Justeru, apabila bulan hanya memenuhi syarat umur 8 jam menurut hitungan pra-cerapan di atas, altitud bulan tidak memenuhi syarat kenampakan. Oleh sebab syarat yang digunakan tidak bersama (berasingan) maka anak bulan tetap dianggap memenuhi sifat 'boleh nampak'. Apakah 'boleh nampak' yang hanya bersandarkan syarat umur itu boleh diterima sebagai 'imkan ar-ukyah'? iaitu 'boleh nampak dalam keadaan biasa' dalam dinyatakan dalam kitab yang menjadi rujukan kaedah ini digunakan? Sudah tentu tidak. Ini menyebabkan penggunaan syarat umur SAHAJA adalah lebih hampir kepada kaedah yang lain dalam menentukan awal bulan hijriyah, iaitu kaedah WUJUDUL HILAL, yang berbeza dengan kaedah IMKAN AR-RUKYAH. Apakah Malaysia menggunakan kaedah campuran kedua-dua kaedah ini?

Sekali lagi saya nyatakan, perbincangan kali ni bukan menyelar mana-mana pihak. Selagi sistem tersebut digunapakai, ia tetap menjadi sistem yang saya pakai, seperti yang dinyatakan dalam hitungan pra-cerapan di atas. Apa yang mungkin menjadi isu (mungkin, pada hemat saya) adalah jika rukyah yang dilakukan nanti membuahkan hasil yang 'tidak selari' dengan hitungan pra-cerapan. Tentu panjang pula ceritanya. Saya tidak dapat memberikan cadangan terbaik, namun berdasarkan perbincangan ringkas ini, penggunaan kedua-dua syarat tersebut secara bersama adalah lebih sesuai ketika ini. Supaya kita benar-benar mengamalkan kaedah yang kita isytiharkan - Rukyah dan Hisab - berdasarkan syarat 'imkan ar-rukyah'.

WalLahu aalam.

No comments: