Merujuk dua tulisan saya sebelum ini, bertajuk 'Bila matahari terbenam' dan 'Jangkaan awal Ramadhan & Syawal', suka saya meneruskan penulisan mengenai istilah yang disebut dalam tulisan tersebut, iaitu 'Wujudul Hilal'.
Penyusunan takwim Hijrah terbahagi kepada beberapa kaedah. Catatan sejarah yang agak kurang, saya hanya dapat membuat andaian. Bacaan lanjut boleh ditemui dalam buku Ilmu Falak tulisan Baharrudin Zainal terbitan DBP.
Pertama: Kaedah Istilahi atau Urfi, iaitu kaedah purata. Kaedah ini pada hemat saya adalah untuk membuat anggaran awal suatu tarikh tertentu. Hitungan purata membolehkan hitungan pendek dan ringkas digunakan, dengan hasilnya hanya ralat satu hari dengan tarikh sebenar. Ralat yang wujud tidak membenarkan ia digunakan sebagai takwim ibadat.
Kedua: Kaedah Hisab Hakiki. Suatu kaedah penetapan awal bulan berdasarkan hitungan sahaja. Ia bukan kaedah purata, kerana ia melibatkan hitungan yang kompleks melibatkan hitungan posisi matahari dan bulan yang digunakan untuk menetapkan awal suatu bulan tersebut. Terbahagi kepada dua jenis, Hakiki Ijtimak, dan Hakiki Wujudul Hilal.
Hisab Hakiki Ijtimak. Suatu kaedah menetapkan awal bulan di suatu lokasi berdasarkan hitungan menunjukkan ijtimak telah berlaku sebelum Maghrib di lokasi tersebut (atau negeri/negara). Saya mengandaikan kaedah ini adalah saduran daripada beberapa kaedah takwim Yahudi, China atau Hindu. Sistem ini menyebabkan bulan baru dimulakan sekalipun 'anak bulan tidak mungkin boleh dilihat', asalkan ijtimak telah berlaku sebelum Maghrib.
Hisab Hakiki Wujudul Hilal. Kaedah ini pula menetapkan awal bulan dimulakan apabila ijtimak telah berlaku dan bulan terbenam kemudian daripada matahari, yang membawa maksud, 'bulan ada di atas ufuk ketika matahari terbenam', sekalipun bulan 'tidak mungkin boleh dilihat'. Jelas perbezaannya kan?
Ketiga: Kaedah Imkanurrukyah. Kaedah yang menetapkan bulan baru dimulakan apabila hitungan menunjukkan 'anak bulan ada di atas ufuk dan boleh kelihatan dalam keadaan biasa'. Aspek 'boleh kelihatan dalam keadaan biasa' inilah yang mewujudkan apa yang dinamakan sebagai 'syarat' atau 'kriteria' yang menjadi ukuran untuk membuat justifikasi bahawa anak bulan suatu bulan itu 'boleh nampak' atau 'tidak boleh nampak'. Syarat dibentuk melalui rekod rukyah yang dilakukan. Tahun demi tahun syarat dikaji dan disemak kesesuaiannya. Berbeza dengan perlaksanaan, atau penguatkuasaan. Kajian dibuat. Perlaksanaan terpulang kepada Jawatankuasa peringkat kebangsaan yang bertanggungjawab.
Keempat: Rukyah sahaja. Kaedah ini bukan kaedah penyusunan takwim Hijrah. Ia adalah kaedah melaksanakan ibadat. Ia juga adalah kaedah kajian (metodologi) yang merupakan sebahagian komponen Ilmu Falak. Tidak dapat tidak, takwim tahunan mesti dibangunkan menggunakan kaedah Ilmu Falak sepenuhnya, iaitu melalui komponen utamanya, Rukyah dan Hisab. Takwim yang tidak seiring dengan rukyah, menyebabkan anda perlu memadam, atau menconteng pembetulan pada takwim rasmi setiap kali rukyah dilakukan.
Fokus saya adalah pada kaedah-kaedah di atas. Malaysia berada di latitud 1 hingga 5 darjah utara. Pergerakan terbit terbenam matahari dan bulan tidak begitu ketara perbezaannya dibandingkan dengan negara di latitud tinggi. Lihat rajah di bawah,
Rajah menunjukkan contoh satu posisi matahari ketika terbenam dan posisi bulan pada satu bulan tertentu. Garisan biru adalah contoh garisan ufuk bagi latitud 5 darjah utara. Pada masa yang sama, matahari juga sedang terbenam di satu lokasi di latitud 30 darjah utara. Yang lain sama, berbeza hanya pada garis ufuknya. Lihat contoh di bawah,
Di Malaysia, kita boleh menetapkan permulaan awal bulan berdasarkan bulan di atas ufuk. Bagi lokasi ini, bagaimana? Saya mengandaikan inilah kenapa wujudnya kaedah Hisab Hakiki, disebabkan rukyah tidak bermakna lagi bagi lokasi tersebut. Itu di 30 darjah utara. Jika 50 darjah? Seminggu selepas ijtimak pun bulan masih tidak boleh dilihat!
Lokasi di selatan pula berbeza amat. Lihat rajah,
Lokasi di 35 darjah selatan pada ketika yang sama, anak bulan boleh kelihatan lebih baik berbanding Malaysia tentunya.
Setiap kaedah ada alasan munasabah perlaksanaannya. Namun menggunakan kaedah yang bercampur dan mengelirukan mesti dielakkan. Dalam sains, kita boleh menunggu hasil kajian terbaik sebelum mengubah keadaan sedia ada. Tetapi dalam ibadat, jika ada kaedah yang agak baik dan sesuai daripada yang sedia ada yang meragukan, Ia sepatutnya disegerakan perlaksanaannya, supaya kita tidak terus dalam 'keraguan', sementara menanti hasil kajian dan kaedah lebih baik atau terbaik, yang pasti mengambil 'masa yang lebih lama'.
Hamba yang fakir menekan noktah.
2 comments:
Assalamualaikum
Sejak dikemaskini laman web Kusza, dimana letaknya kalkulator hilal.
aziz
Terima kasih pak aziz ingatkan. Saya telah tambah dekat kalendar di atas. Terima kasih sekali lagi.
Post a Comment