Pages

Tuesday, August 30, 2011

Imkanurrukyah

Salam Eidulfitri.

Hari raya telah tiba. Imkanurrukyah masih digunakan. Apa itu imkanurrukyah? Satu model kenampakan yang digunakan untuk menetapkan setiap awal bulan Hijrah, dari Muharram hingga Muharram tahun berikutnya. Model kenampakan ini menggunakan kriteria minimum anak bulan yang disifatkan memenuhi had boleh nampak. Kriteria ini masih dipertikai sesetengah pihak sebagai 'terlalu minimum', dibimbangi tidak berada pada had boleh nampak yang sepatutnya, yang menjurus kepada memulakan bulan baharu secara khilaf.

Memanjangkan ceramah Ustaz Dr Ismail Lutfi Patani dalam video lepas, merumuskan perkara penting, di mana menurut pendapat sahih dalam Mazhab Syafie, ulama-ulama Mazhab Syafie memberikan 2 pendapat dalam hal berkaitan anak bulan, iaitu:

1. WAJIB menerima kenampakan anak bulan dari mana-mana tempat tanpa mengambilkira MATLA'.

2. TIDAK WAJIB (juga bermaksud harus) menerima kenampakan di luar MATLA'.

Menyorot dasar yang digunakan di Malaysia, seolah-olah kedua-dua pendapat tersebut digunakan. Bagaimana? Berdasarkan saiz Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah, hukum Matla' diabaikan. Sabah wajib mengikut kenampakan di Langkawi. Manakala kenampakan di luar Malaysia pula, tidak diikuti oleh Malaysia. Antara sebab yang saya andaikan adalah kebanyakan kenampakan yang dilaporkan adalah disifatkan kenampakan 'khilaf' (ironinya, kenampakan 'khilaf' ini juga dikatakan digunakan untuk membentuk kriteria minimum imkanurrukyah Malaysia).

Meneliti kaedah yang digunakan di www.makkahcalendar.org, iaitu awal bulan baharu ditetapkan berdasarkan hitungan kebolehnampakan di lokasi ke barat Makkah, di mana ketika anak bulan dijangka boleh nampak menurut hitungan di lokasi tersebut, fajar belum atau hampir terbit (bermulanya Subuh) di Makkah. Dengan kata lain, menggunakan hitungan kenampakan di lokasi sebelah barat yang berkongsi malam dengan Makkah.

Jika kaedah ini boleh digunapakai, dan pendapat ulama Syafieyyah berkaitan abai matla', penggunaan syarat kriteria minimum atau terlalu minimum di Malaysia yang digunakan sekarang ini bukan isu yang besar.

Selamat Hari Raya Eidulfitri.
Maaf Zahir Batin.

dengan hormat,

Ahmad Taufan bin Abdul Rashid
Penolong Pegawai Tadbir
Unit Falak
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
Universiti Sultan Zainal Abidin
Terengganu



No comments: